Jiwa Rasa Gelora

Oktober 2, 2006

Dari Jiwa Rasa

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 6:46 am

        Sila ke  http://www.jiwarasa.blogspot.com  untuk posting terkini.

Ogos 24, 2006

Lamanya…

Filed under: blogger — jiwarasa @ 5:56 am

Semalam saya cuba menggunakan blogger beta. Nampak gayanya lama betul masanya untuk upload semua 200 lebih posting di blog saya.

Sehinga hari ini saya masih menunggu. 

Kalau  lama sangat, tawarlah hati saya untuk terus aktif dalam dunia blog.. 

Ogos 21, 2006

Israk Mikraj

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:00 pm

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Hari ini 27 Rejab, pernah berlaku sebuah peristiwa besar dalam sejarah Islam.

Israk Mikraj adalah satu kejadian luarbiasa yang berlaku kepada Rasulullah. Israk Mikraj adalah peristiwa ajaib, miracle, yang sukar dipercayai akal. Kalaulah Islam itu menggunakan akal semata-mata sudah tentu ramai yang tergelincir dari agama.

Israk Mikraj tahun ini disambut di celah-celah kedurjanaan Zionis di Palestine, bumi berlakunya Israk, iaitu di Masjidil Aqsa, di mana Nabi diangkat ke langit.

Sampai bila agaknya masjid yang ke-3 mulia di sisi Islam ini akan teguh berdiri. Sudah kedengaran adanya rancangan jahat Zionis untuk meruntuhkan masjid ini dan dibina `Solomon Temple’. Sampai bila rakyat Palestin dapat menanggung azab menderita di tanah air sendiri?

Tulisan saya tentang Israk Mikraj di blog ini, dua tahun lepas. Peristiwa Israk Mikraj

Ogos 15, 2006

Gubra Filem Yang Gabra

Filed under: Layar — jiwarasa @ 5:10 pm
Image Hosted by ImageShack.us

Akhirnya filem Gubra dinobatkan sebagai filem terbaik Festival Filem Malaysia yang ke 19. Saya menonton siaran langsung ini di celah-celah siri kegemaran The Apprentice.

Kebetulan saya baru sahaja menonton vcd Gubra. Masa ditayangkan di pawagam dahulu, saya tidak sempat tonton, kerana sibuk buat persiapan mengerjakan Umrah. Dengar cerita Faisal Tehrani ada tulis komentar panjang lebar tentang filem itu di blog beliau.

Filem Gubra ini adalah sambungan filem Sepet. Saya pernah menonton Sepet dan saya suka filem itu secara keseluruhannya, walaupun ada beberapa adegan yang saya rasakan tidak perlu ada dan tidak sesuai dipertontonkan. Sepet adalah mengenai cinta antara dua insan berlainan bangsa.

Saya boleh terima filem Sepet kerana tertarik dengan jalan ceritanya. Tetapi filem Gubra tidak berjaya memikat saya. Kalau Sepet adalah kisah cinta dua insan. Gubra yang menyambung kisah itu cuba menjangkau ke daerah toleransi agama menurut fahaman pengarahnya.

Saya cuba bersangka baik bila filem ini dimulakan dengan adegan si bilal memegang anjing dalam perjalanan ke surau. Memang kita biasa dengar riwayat di mana seorang itu masuk syurga kerana memberi minum seekor anjing. Begitu juga bila ditonjolkan keintiman keluarga bilal dengan jirannya seorang pelacur, Kata hati saya, mungkin si bilal pernah menegur kerja munkar si pelacur tetapi tidak ditunjukan di dalam filem. Itu memang contoh teladan yang baik, hatta kepada seorang pelaku maksiat.

Namun, babak-babak seterusnya, saya benar-benar rasa `terganggu’ apabila menonton fiem ini. Banyak sangat adegan berpeluk cium, bergomol di atas katil. Ditambah pula apabila dipertontonkan tingkah laku sebuah keluarga yang saya anggap pelik.

Banyak adegan yang sepatutnya kelakar tetapi tidak menggelikan hati saya. Banyak dialog bahasa tonggang langgang. Nak kata Bahasa Melayu bukan, bahasa Inggeris pun bukan. Tapi itu bukan salah pengarah, memang itulah kenyataan pahit yang terpaksa kita telan, bahawa bahasa kita sudah rosak. Kita tidak boleh melengkapkan satu ayat dalam Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang sempurna.

Paling mengganggu fikiran saya adegan sembahyang berbagai agama di akhir filem. Babak itu digambarkan seolah-olah bersambung seperti satu doa yang panjang. Saya terasa bagai sedang didakyahkan oleh seorang pendokong pluralisme agama. Bagai sedang disogokkan dakyah bahawa semua agama adalah sama, semuanya menuju kebenaran. Faham pluralisme agama menganggap semua agama adalah benar, penganut agama apa pun adalah Muslim dan semuanya akan masuk syurga. Yang berbaza hanya nama agama, jalan berbeza tetapi semuanya menuju matlamat yang satu. Inilah yang cuba digambarkan di akhir filem ini melalui petikan kata Maulana Jalaluddin al-Rumi “The Lamps may be different but the light is the same”.

Minta maaf, ilmu agama saya mungkin sedikit, saya bukan sekolah agama, tetapi saya rasa ianya bertentangan dengan konsep syahadah yang saya faham. Konsep Syahadah yang kita ulangi setiap hari menyeru kita berpegang kepada tauhid Rububiyyah juga tauhid Uluhiyyah yang menafikan Tuhan-Tuhan lain. Mengesakan Allah bermakna menolak tuhan-tuhan yang lain.

Saya boleh menerima toleransi agama, malah ianya memang dituntut Islam, agar kita saling hormat-menghormati rakan-rakan kita yang berlainan agama. Garis pemisah antara toleransi agama dan pluralisme agama sangat tipis. Kita harus tahu membezakan antara toleransi agama dan pluralisme agama.

Kalaulah ini wajah filem Melayu Muslim, saya rasa sangat sedih dan kecewa. Filem ini mungkin menang anugerah filem terbaik, tapi saya rasa seperti seorang yang tewas. Bagai menang sorak kampung tergadai. Rasa hancur luluh jiwa, berat rasa beban tidak upaya bertongkat lagi.

————————-

Baru saya tahu rupanya perkataan gubra dan gabra adalah dua perkataan yang berlainan di dalam Kamus Dewan. Gubra bermaksud gugup, manakala gabra bermaksud keadaan tidak tentu arah, kelam kabut.

Ogos 9, 2006

Semalam di Bumi Kenyalang

Filed under: kembara jiwa, Uncategorized — jiwarasa @ 7:41 pm

Saya tersenyum bila membaca catatan perjalanan Nisah Haron ke negeri Sabah. Kali pertama katanya, walaupun sudah sampai ke negara lain yang lebih jauh.

Begitulah kita. Ramai yang dah pergi melancong ke seluruh dunia tetapi banyak lagi negeri di tanahair yang belum sempat kita terokai. Bagi yang berada di Semenanjung, ramai lagi yang belum sampai ke tanah Borneo. Berbagai-bagai telah dilakukan untuk menggalakkan rakyat Malaysia terutamanya dari Semenanjung untuk datang berziarah ke Sabah dan Sarawak. Dahulu ada khidmat Feri Malaysia yang agak berjaya juga menjadi pengangkutan alternatif selain penerbangan MAS. Namun hayatnya tidak panjang, mungkin tidak mampu menanggung kos penyelanggaraan yang tinggi.

Kini sudah ada penerbangan tambang murah, Air Asia. Kalau pandai membeli, anda boleh dapat tambang yang sangat murah. Kalau tak kerana Air Asia mungkin lama lagi agaknya baru saya dapat menjejak kaki ke Bandar Kuching. Hampir kami terlupa tarikh penerbangan ini, kerana kami sudah lama beli tiket di talian. Waktu itu ada promosi jualan, banyak tiket yang dijual murah.

Itulah kali pertama saya menggunakan perkhidmatan Air Asia. Mulanya agak cuak juga. Kerap sudah mendengar rungutan dari rakan-rakan. Saya sangat berpuashati dengan layanan mereka. Business model yang digunakan sangat berjaya. Kos penjualan berjaya dikurangkan dengan hanya menyediakan perkhidmatan asas kepada pengguna. Tiada tiket dan numbered seats , tiada boarding bridges, tiada onflight meals. Pekerja melakukan muti-skilling tanpa mengurangkan mutu layanan.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
LCT Sepang

Pertama kali juga saya ke Terminal Tambang Murah di Sepang. Tidak mengecewakan, walaupun sedikit jauh dari KLIA. Saiznya sama besar dengan lapanganterbang Jeddah. Kemudahan asasnya mencukupi.

Penerbangan kami tiba di lapanganterbang Kuching sebelum tengahari. Baru diubah usai lapanganterbang ini. Macam mini KLIA rasanya.

Kami mengambil teksi ke Bandar Kuching. Tak jauh. Tak sampai pun 30 minit. Sebelum ke sini saya sudah minta rakan sekerja dari Tabuan Laru tolong tempah bilik hotel. Sangat strategik lokasinya. Dekat dengan Waterfront dan Main Bazaar. Layanan pekerja hotel juga sangat memuaskan hati. Kami dibenar daftar masuk awal.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Rumah Panjang, Kampung Budaya


Petang itu kami dibawa ke Kampung Budaya Sarawak. Mesti pergi untuk pelancong ke Sarawak. Perjalanan dari hotel ke Kampung Budaya di Santubong lebih kurang 30 minit. Ada beberapa rumah panjang yang didirikan di dalam kawasan ini yang mempamirkan keadaan sebenar rumah suku kaum di Sarawak.
Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Rumah panjang, Kampung Budaya

Akhir sekali, kami disajikan dengan persembahan tarian etnik Sarawak. Sungguh mengasyikkan.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Kampung Budaya

Dalam perjalaan balik, kami sempat singgah di sebuah rumah yang menjual kek lapis. Bermacam jenis dan warna. Kalau ke Kuching jangan lupa makan mee kolok. Macam mee segera, tapi sedapnya tak terkata. Malamnya, rakan saya belanja makan di TopSpot, tempat makan di tingkat atas sebuah tempat letak kereta bertingkat. Seronok betul tengok berbagai makanan laut dan sayuran yang tersusun.
Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Koridor Old Courthouse
Besoknya kami habiskan waktu berjalan di sekitar Bandar Kuching. Banyak muzium di sini. Kami ke Muzium Sarwak, Muzium Islam dan Courthouse. Kalau mahu mencari cenderahati atau kraftangan Sarawak, pergilah ke Main Bazaar. Macam-macam barangan yang mahu dibeli.
Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Waterfront dari atas kapal
Petangnya sebelum berangkat pulang, kami menaiki Sarawak River Cruise, menyusuri waterfront dan melihat pemandangan di sepanjang sungai.
Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Senja di Sg Sarawak
Perjalanan singkat kami ke Kuching sangat menghiburkan. Dua hari di Bandar Kuching memang tidak mencukupi. Kami terpesona dengan keramahan orangnya dan kebersihan bandarnya. Lain kali pasti kami akan datang semula.
30-31 Julai, 2006

Ogos 3, 2006

Memartabatkan Persuratan Melayu

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:10 pm

Memartabatkan Persuratan Melayu
Baha Zain
DBP 2006
75 mukasurat
RM9

Buku ini merupakan Ucap Utama Baha Zain, Timbalan Presiden PENA yang disertakan juga kertas bahasannya oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Prof Madya Zainal Abidin Borhan. Ianya telah disampaikan di Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 yang telah berlangsung di Tanjung Piai, Pontian Johor. Perhimpunan ini dianjurkan bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) di Kukup Golf Resort dan Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor.

Saya selalu baca dalam blog rakan-rakan penulis muda yang sering mengenang kembali perjumpaan di Tanjung Piai ini. Ramai yang nostalgik. Maklumlah, 300 orang penulis muda dari seluruh negara telah berhimpun. Khabarnya Perhimpunan ini mendapat pujian ramai kerana dedikasi pihak penganjur memastikan program berjalan lancer. Pihak penganjur juga dipuji kerana berjaya menerbitkan empat buah buku, iaitu Idealisme Penulis Muda (antologi esei), Memartabatkan Persuratan Melayu (ucap utama Baha Zain), Idealisme & Intelektualiti Dalam Karya dan Karya Sasterawan 2005 (antologi puisi dan cerpen).

Tidak hairanlah mengapa perhimpunan ini dikenang oleh para peserta sehingga kini. Namun, molek juga rasanya peserta perhimpunan sesekali melihat kembali isi kandungan dan perbincangan seminar. Naskhah ucaputama yang saya tatap ini adalah satu ucapan besar dan penting yang sepatutnya dikongsi dengan orang lain, bukan disimpan dalam fail para peserta perhimpunan tersebut.

Baha Zain dalam ucapannya telah membawa khalayak menyelusuri perjuangan pembela Bahasa Melayu dengan melihat kembali peristiwa 13 Mei, 1969 dan langkah penyusunan semula masyarakat. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu begitu gigih dilaksanakan dalam tahun 70an. Peranan dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperkukuhkan melaui Fasal 152 Perlembagaan negara, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pelajaran. Lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia adalah salah satu kejayaan dalam memrtabatkan penggunaaan Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu melalui tragedi sedih menyayat hati apabila khidmatnya sebagai bahasa ilmu tidak diperlukan lagi bermula sesi persekolahan 2003. Maka bermulalah babak sedih perjuangan sebuah bahasa. Bahasa Melayu sudah tidak layak menjadi bahasa ilmu apabila diharamkan jadi bahasa pengantar pelajaran sains dan matematik. Bahasa Melayu dianggap sebagai penghalang untuk kita maju dengan lebih cepat.

Ucapan hebat ini sepatutnya boleh menggerakkan jiwa-jiwa yang menghadiri Perhimpunan Tanjung Piai untuk mengatur langkah sekurang-kurangnya menyedarkan khalayak pembaca akan kewajiban yang patut digalas semua. Bayangkan jika 300 penulis muda tersebut menulis tentang perjuangan memartabatkan bahasa melalui pelbagai media. Bayangkan jika mereka benar-benar tulus dan ikhlas menulis terus menerus menyuarakan hasrat dan keyakinan pada Bahasa Melayu.

Kalau dahulu SN Usman Awang bersama rakan-rakan berjuang sehingga sanggup mengusung Keranda 152, sebagai lambang matinya sebuah bahasa. Bagaimana pula dengan pejuang bahasa sekarang? Masih adakah yang sanggup bergolok bergadai semata-mata mahu mempertahankan khazanah bangsa?

Pejuang bahasa Melayu perlu bijak mengatur langkah. Sekadar menulis di ruangan sastera di akhbar hujung minggu bukan berjuang namanya. Menangis, mengeluh dan meratap sudah tak berkesan lagi. Tenaga perlu digembeling untuk melahirkan gerak kerja yang tersusun dan merakyat. Kumpulan pelobi perlu wujud untuk menyampaikan hasrat kepada golongan pembuat keputusan di setiap peringkat.

Ucapan Baha Zain ini patut dijadikan dokumen penggerak kepada pencinta Bahasa Melayu untuk terus berjuang. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ucapan ini patut dijadikan sebuah manifesto bagi pejuang Bahasa Melayu. Lihat bagaimana Marx & Engel berjaya merobah masyarakat dengan manifesto mereka yang pada saya hanya catatan-catatan idea yang penuh retorik.

SN Usman Awang dan penggerak persuratan Melayu dahulu berjuang menaikkan Sastera untuk Masyarakat dan menolak Sastera untuk Sastera. Soal saya, sastera penulis sekarang pula untuk apa?

Hujung minggu ini akan berlangsung Seminar Persuratan & Peradaban Nasional di Port Dickson. Seminar ini anjuran PENA dan DBP dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Khabarnya seminar ini akan membincangkan dengan serius, nasib bahasa Melayu dan tulisan Jawi juga halatuju persuratan Melayu.

Saya teringin mahu sertai, tetapi terikat dengan urusan kerja. Lagipun saya bukannya seorang penulis, manakan layak mahu berlanggar bahu dengan tokoh-tokoh sastera negara. Harapan saya seminar itu dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk memartabatkan persuratan Melayu.

Julai 29, 2006

Buku Lagi, Teater & Ayam Panggang

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 10:37 am
Walaupun sekejap, banyak benda juga sempat saya buat bila ke Kuala Lumpur hari Ahad dan Isnin lepas.

Pagi itu kami bertolak dari Ipoh, sempat singgah sebentar di Masjid Wilayah. Ramai sungguh orang!

Sebelum ke masuk menginap, kami menjenguk Pustaka Indonesia, atau nama barunya Fajar Ilmu Baru(susahnya nak ingat nama ni) di Wisma Yakin. Nasib kami baik. Selalunya kedai buku itu tutup hari Ahad. Memang tidak berhajat mahu membeli buku baru, tetapi teringin nak lihat stok buku baru yang dibeitahu oleh tuanpunya kedai melalui email. Memang banyak buku-buku baru. Ada banyak buku yang baru terbit. Ada dua novel terjemahan Tariq Ali yang baru sampai. Saya tidak beli kerana masih mencari yang asli dalam bahasa Inggeris.

Dalam menahan perasaan tidak mahu membeli buku baru, saya beli juga beberapa buku baru. Setelah pilih, ambil dan letak semula sebahagian, saya beli buku-buku ini.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Rasulullah SAW Sejak Hijrah Hingga Wafat – Ali Shariati
Musyawarah Buku – Khaled Abou El Fadl
Alam Pikiran Yunani – Mohamad Hatta
Kenapa Saya Keluar dari Syiah – Sayid Husain Al-Musawi
Daras Firasat Islam – Muhammad Taqi Mishbah Yazdi


Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Saya juga beli 3 jurnal Islamia. Jurnal ini memuatkan banyak tulisan lulusan ISTAC-UIA. Ada tulisan Prof Wan Mohd Nor Wan Mohd dan lain-lain sarjana Islam terkemuka.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Mujur ada Suri Jiwa di sebelah, menyabarkan saya. Kalau tidak, dah tentu lebih banyak buku yang saya borong.🙂

Setelah selesai urusan, kami berkira-kira samada mahu ke Pelabuhan Kelang, atau ke DBP. Di Pelabuhan Kelang, ada pameran buku terbesar di atas kapal bernama Doulous. Lepas tengok koleksi buku di kapal boleh makan ikan bakar di Muara.

Mengenangkan jauh juga nak ke Pelabuhan Kelang, kami hanya ke DBP. Malam itu ada teater Qasidah dari Gunung Semanggol. Pertama kali tengok teater di Stor DBP. Teater Qasidah Gunung Semanggol ini adalah hasil buah fikir dan arahan Dr Anuar Nor Arai. Ianya mengisahkan tentang perjuangan Dr Burhanudin Al-Helmy dan rakan beliau Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Hanya ada dua watak utama yang seakan bermonolog di dalam teater ini.

Sangkaan saya, teater ini akan menceritakan tentang Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, yang gigih memimpin Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Kisah mengenai peranan Hizbul Muslimin dalam perjuangan kemerdekaan, juga perjuangan menghidupkan pengajian agama memang sangat kurang diceritakan.

Rupanya watak utama teater ini adalah Burhanudin Al-Helmy, tentang sikap dan pandangan beliau terhadap suasana politik negara pada masa itu. Dr Burhanudin Helmy terkenal dalam sejarah sebagai tokoh pejuang kemerdekaan dalam PKMM yang kemudiannya memimpin PAS.

Banyak yang saya tidak senang dengan pemaparan watak Dr Burhanudin dalam teater ini. Kedua-dua watak Dr Burhanudin & Ustaz Abu Bakar digambarkan tidak lekang dengan senjata api, sedangkan mengikut bacaan saya, Dr Burhanudin dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir tidak pernah berjuang menentang British menggunakan senjata api Sedangkan API yang dikatakan sayap pemuda yang lebih agresif pun tidak pernah berjuang dengan senjata api sehinggalah sesetengah dari mereka bergabung dengan PKM di bawah Rejimen 10, kemudiannya.

Watak Dr Burhanudin juga kelihatan sebagai seorang yang pembengis dan pemarah. Walaupun begitu, saya tetap menganggap ini sudah satu cubaan yang sangat baik dalam memperkenalkan watak yang penting dalam perjuangan kemerdekaan negara kepada khalayak penonton.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Di pintu masuk ke teater ini juga ada dijual buku Dr Burhanudin Al Helmy – Pemikiran dan Perjuangan – Kamarudin Jaffar. Buku ini memuatkan juga tulisan dan ucapan Dr Burhanuddin yang memang payah dicari. Tak payah dikempen, terus saya beli. Rupanya skrip teater ini banyak berpandu kepada kisah dalam buku ini.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Sebelum itu kami melapik perut di Ayam Panggang Nara. Tempat makan kegemaran kami di Pantai Dalam. Enaknya ayam panggang bila dimakan dengan sup campur. Rasa sempurna ke KL kali ini, bila banyak hajat tercapai.

Julai 22, 2006

Buku Lagi?

Filed under: Buku — jiwarasa @ 10:14 am
Saya sedang kemaruk membaca buku. Sibuk membaca buku tanpa henti. Lepas satu buku satu buku. Minggu lepas saya membeli buku macam orang kaya. Tiga kali beli buku dalam masa seminggu!
Hari Khamis saya singgah di DBP Kawasan Utara. Saja-saja singgah tengok buku. `Terbeli’ tiga buah buku.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Ziarah Tanah Kudup – Kemala, kumpulan puisi hasil cipta Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala. Saya beli setelah baca ulasan tenatng buku ini dalam Dewan Sastera.

Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid – Mohd Affandi Hassan. Saya sering baca artikel tulisan penulis dalam media. Saya memang mencari karya Affandi Hassan semenjak kali pertama saya berjumpa beliau di kampus hampir 20 tahun lepas. Saya masih ingat waktu itu saya menjadi pengerusi sebuah majlis forum tentang pengurusan organisasi. Affandi dijemput atas kapasiti sebagai pegawai dari Intan. Terkedu saya bila beliau memperkenalkan diri sebagai seorang penting dalam dunia sastera. Semenjak hari itu, tulisan beliau yang kritis sering saya ikuti.

Memartabatkan Persuratan Melayu – Baha Zain adalah ucap utama dalam Perhimpunan Penulis Muda di Tanjung Piai, Johor.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Hari Sabtu saya gatal tangan ke laman web ujana Ilmu bila mendapat tahu tentang buku terbaru Pak Samad Said dan buku Pak Abdullah Hassan.

Secara jujur, saya kurang gemar membeli di talian. Saya lebih menghargai pengalaman mencari buku dari satu rak satu rak lain dan dari satu kedai buku ke kedai buku yang lain. Itu satu keseronokan bagi saya. Namun, jika buku yang ingin dicari susah sangat dicari, kedai buku ditalianlah jalan yang paling selamat.

Saya beli buku Ilham di Tepi Tasik tulisan A Samad Said. Buku ini adalah himpunan esei terbaik mengenai berbagai isu tulisan A Samad Said. Saya juga beli VCD A Samad Said – Kehidupan Seorang Seniman Malaysia – yang diusahakan oleh Dinsman dan diarah oleh Nasir Jani. Seronok saya menonton hidup Pak Samad yang dikelilingi oleh timbunan buku.

Saya juga beli dua lagi buku tentang yang menghimpunkan tentang sastera dan penulisan. Satu buku Idealisme & Intelektualiti Dalam Karya – Mohammad Saleeh Rahamad yang menghimpun kertas kerja Perhimpunan Penulis Muda di Tanjung Piai. Satu lagi, buku Sastera Junjungan tulisan Mana Sikana yang diulas di Dewan Sastera terbaru.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Bagusnya layanan di di Ujana Ilmu ini, pembeli akan dihubungi untuk mengesahkan pembelian. Hari Sabtu itu saya dihubungi Sdri Nisah untuk pengesahan juga memberitahu ada buku baru sampai yang sedang panas di pasaran. Buku apa lagi kalau bukan buku Perjalanan Ku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi – tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Ramai yang menanti buku ini untuk membaca pandangan beliau tentang penglibatan di dalam Al-Arqam dan parti politik PAS. Saya sudah selesai baca. Senang-senang nanti, saya tulis di blog.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Hari Ahad saya dan Suri ke Kinta City Ipoh. Seperti biasa mesti singgah di MPH, menengok buku-buku baru. Sebenarnya saya mencari majalah Islamica baru, jika ada. Ada beberapa buah buku yang berjaya memikat saya. Banyak buku yang sudah lama saya idamkan tetapi, berjaya saya sabarkan jiwa agar tunggu dulu, mungkin lain kali. Saya hanya beli dua buah buku.

Yang pertama buku Islam & Pluralisme yang disusun oleh Al-Mustaqeem terbitan Middle-Eastern Graduates Sdn. Bhd (MEGC) (bukan IKD seperti yang saya sebutkan sebelum ini). Buku ini memuatkan himpunan penulis yang menyokong pluralisme agama. Buku ini seakan mahu memberitahu bahawa pluralisme agama itu ada banyak jenis dan mazhabnya Ada tulisan yang sangat meresahkan saya apabila menyamakan semua agama. Ayat Qur’an dan sirah Nabi yang sering kita baca apabila menyokong toleransi agama dibaca sebagai mengiktiraf semua agama sebagai betul, benar dan diterima Allah. Jiwa rasa resah.

Buku kedua ialah buku penulis terkenal, Milan Kundera. Terkejut saya bila melihat begitu banyak buku Milan Kundera di situ. Seingat saya sebelum ini memang tiada. Kelabu mata saya mahu memilih satu. Akhirnya saya memilih buku The Book of Laughter and Forgetting – Milan Kundera yang dikatakan sebagai buku pertama yang melonjak nama beliau di tahun 70an.

Hari Ahad ini saya ke Kuala Lumpur. Hajat hati nak ke Pustaka Indonesia dan MPH Midvalley, kalau sempat. Skoob dan Silverfish pun tak jauh dari tempat kami menginap di Jalan Kelang Lama.

Buku Lagi?

Julai 19, 2006

Muhammad Al-Durrah

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 3:21 pm

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Ingat lagi kisah berdarah di Netzarim? Kisah Muhammad Al-Durrah dan ayahnya Jamal Al-Durrah yang ditembak semasa pertempuran? Tak Ingat? Sudah lupa?

Muhammad Al-Durrah masih berumur 12 tahun ketika syahid ditembak Rejim Israel enam tahun yang lalu. Peristiwa 30 September 2000 itu telah menggemparkan dan rakaman fotonya tersebar ke seluruh dunia.

Pagi itu Muhammad al-Durrah mengikut ayahnya keluar ke bandar. Malangnya tiba di satu persimpangan jalan di Netzarim, mereka terperangkap dalam pertempuran antara pihak berkuasa Palestin dan Israel yang sedang berbalas tembakan. Jamal cuba melindungi anaknya lalu berlindung dibalik tembok bangunan. Selama 45 minit jeritannya meminta pertolongan tidak dihiraukan. Muhammad terkena tembakan di kaki. Akhirnya Muhammad Al-Durrah terkorban di riba ayahnya setelah terkena empat tembakan peluru. Jamal juga cedera parah walaupun berjaya diselamatkan selepas menjalani rawatan kecemasan di Jordan.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Kejadian ini berjaya dirakam oleh jurufoto France 2 yang berjaya merakam 27 minit dari kejadian tersebut. Imej ini akhirnya tersebar ke seluruh dunia dan menjadi bukti kekejaman Zionis Israel.

Rejim Israel seperti biasa dengan berbeli-belit, mahu berlepas tangan. Berbagai tuduhan dilemparkan. Sehingga direka cerita bahawa tragedi itu hanyalah sebuah lakonan untuk menarik simpati. Yang peliknya ada juga yang percaya. Betapa besarnya pengaruh rejim Israel. Semua media memainkan propaganda jahat Zionis.

Sehingga kehari ini, peristiwa itu terus menjadi igauan ngeri buat keluarga Al-Durrah. Zionis mungkin lupa. Dunia akan lupa. Namun meraka akan sentiasa ingat. Mereka tidak akan lupa. Jamal Al-Durrah berkata, kematian anaknya tidak sia-sia. Muhammad al-Durrah syahid demi Al-Aqsa. Amal, ibunya menambah, perginya Muhammad adalah satu pengorbanan mereka untuk tanahair tercinta, Palestin.

Kisah di Netzarim ini turut diabadikan dalam album Phoenix Bangkit karya M Nasir.Lagu bertajuk Masirah ciptaan M Nasir dan lirik oleh S Amin Shahab cuba berkongsi rasa penderitaan sebuah bangsa. Kebetulan semalam saya menonton kembali VCD Konsert Phoenix Bangkit (sambil membaca buku SN A Samad Said, Ilham di tepi Tasik).

Tersentuh jiwa. Sudah lupakah dunia akan kisah berdarah ini. Berapa ramai lagi Ad Durrah yang akan terkorban sebelum dunia berbuat sesuatu?

MASIRAH

Suara duka angin Gazza
Gegar jantung bumi kita
Nyawa anak di hujung senjata
Tangisan bonda hanya sia-sia

Masirah anak al-Durrah
Netzarim bermandi darah
Begitu megah mata
memandang dusta

Masirah dalam amarah
Hilang kalam kebenaran
Kudrat alam hanya menjadi rebutan

Berbaris-barislah ke satu arah
Jangan sampai berpisah menyusun langkah
Mencari-cari erti kedamaian
Di dalam jiwa tersirat jawapan

Masirah anak al-Durrah
Netzarim lambang perjuangan
Kita menanti tangan pembelaan

Masirah dalam amarah
Hilang kalam kebenaran
Kudrat alam hanya menjadi rebutan

Masirah anak al-Durrah
Netzarim lambang perjuangan
Kita menanti tangan pembelaan
Masih menanti tangan pembelaan…

Lagu: M.Nasir
Lirik: S.Amin Shahab/ Puisi dalam bahasa Perancis oleh Tok Mat Sungai Congkak

Album: Phoenix Bangkit
Luncai Emas 2001

Julai 17, 2006

Palestin

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:38 pm
.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Peta negara Palestin dari tahun 1946 sehingga kini

Kemenangan Hamas dalam pilihanraya di Palestin rupanya telah menyebabkan rejim Zionis hilang akal. Berbagai sekatan dan tekanan dikenakan ke atas Hamas dan rakyat Palestin sebagai hukuman kerana mengangkat Hamas sebagai parti memerintah.

Rejim Israel lalu menggila. Mengamuk macam orang gila. Hanya kerana seorang tentera Isarel yang ditawan, habis diamuk Semenanjung Gaza. Tidak cukup dengan rakyat Palestin, Lubnan pula diserang kerana menuduh Hizbulllah menyokong Hamas dan keganasan.

Maka merajalelalah rezim ganas Israel. Dunia terpaku. PBB macam kena guna-guna dengan Amerika. Liga Arab kata proses damai selama ini membuang masa. Baru tahu ke? Itupun tak mahu buat apa. Duduk dan tengok. Sambil goyang kaki.

OIC dan NAM pun tak mampu menolong. Pengerusinya pun tak betah duduk nak menyelesaikan masalah dalam negara sendiri. Bagaimana mahu menolong Palestin?

Umat Islam dan rakyat dunia yang prihatin, menganjurkan perhimpunan aman membantah tindakan kejam Israel. Beribu yang turun ke jalanraya. Jadilah, berkongsi rasa kemanusiaan.

Rakyat Malaysia pula tak mungkin mahu turun ke jalanraya. Itu ganas, kata mereka. Orang tak bertamadun sahaja yang menjerit-jerit memegang sepanduk. Kita orang bertamadun banyak cara lain, kata mereka. Harga minyak naik pun kami tak protes, inikan pula kisah yang berlaku jauh di hujung sana. Kita sepatutnya bersyukur kerana negara kita aman, kata mereka lagi.

Rakyat Palestin sebenarnya bersendirian menghadapi rejim Israel. Kelengkapan perang serba kekurangan, malah mungkin hampir tiada. Setakat ini hanya Hizbullah Lebanon yang berani mengisytiharkan perang terhadap Israel. Iran juga tampak berani memberi katadua kepada Israel. Negara umat Islam yang lain senyap dan hanya tunggu dan lihat. Jangan kata membantu menghentikan serangan Israel, memberi sokongan moral pun payah. Paling hebat pun mereka akan mengutuk dan mengecam Isreal ketika menonton Berita TV sambil mulut mengunyah kacang.

Apakah kesudahan episod kali ini. Adakah ianya akan berlalu seperti episod-episod lalu? Sudah ribuan nyawa tak berdosa menjadi korban. Adakah kita juga akan jadi saksi setia sekali lagi? Atau kita sudah tidak ada rasa apa-apa? Sudah hilang deria rasa. Tidak berbekas di jiwa.

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Ia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Al-A’raf – 167

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah orang Islam berperang dengan orang-orang Yahudi (di sebuah tempat). Orang Islam akan membunuh mereka beramai-ramai sehinggakan apabila mereka bersembunyi disebalik batu dan pokok, tiba-tiba pokok-pokok dan batu-batu itu bersuara menjerit memanggil umat Islam agar membunuh orang-orang Yahudi itu, kecuali pokok ‘Gharqad’, kerana ia adalah pokok Yahudi”. Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Faisal Tehrani telah memulakan satu blog buat melaporkan perkembangan terbaru di Palestin. Jangan klik jika anda mahu melihat yang indah-indah, kerana tiada keindahan di Palestin. Ada foto kanak-kanak yang dibunuh rejim Zionis. Di Palestin kanak-kanak hanya hidup untuk dibunuh rejim Israel.

Older Posts »

Blog di WordPress.com.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.