Jiwa Rasa Gelora

September 15, 2004

Belanjawan 2005

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:42 pm

Belanjawan 2005 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri kita merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen pada petang Jumaat lepas. Ianya diikuti oleh sidang akhbar pasca belanjawan yang telah berlangsung pada hari Isnin lepas. Kakitangan kerajaan tersenyum lebar bila mendapat berita gembira pengumuman bonus. Penghisap rokok dan pencandu arak pula mula rasa gelisah bila cukai rokok dan arak dinaikkan. Begitulah adat setiap kali pembentangan belanjawan, ianya tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak, kerana bukannya mudah membahagikan kek yang kecil kepada semua.

Di samping pengumuman memgenai kenaikan dan penurunan cukai, saya lebih tertarik kepada dua isu yang sangat penting yang telah disebut di dalam belanjawan iaitu belanjawan defisit dan pengenalan cukai nilai tambah atau GST. Keduanya sudah pasti akan memberi impak yang besar kepada negara.

Belanjawan 2005 merupakan belanjawan defisit yang kelapan berturut-turut. Bagi tahun 2005 negara akan mengalami defisit sebanyak RM17.7 bilion. Defisit secara mudahnya bermakna, kerajaan perlu berhutang untuk menampung perbelanjaan mengurus Negara. Hutang ini diperolehi daripada sumber dalaman, seperti KWSP, Tabung Haji, LTAT dan juga pengeluaran bond, ataupun melalui hutang dari luar negara. Hutang Kerajaan persekutuan dianggarkan sebanyak RM219.3 bilion dan hutang dalam negeri adalah sebanyak 83.8%.

Berbanding dengan belanjawan yang lepas, Perdana Menteri telah menunjukkan ketelusan dengan mengakui akan ketidakupayaan kita untuk mencapai belanjawan berimbang hingga tahun 2006. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak mungkin boleh melupuskan defisit belanjawan secara keseluruhan menjelang tahun 2006 kerana langkah seumpamanya boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan menganggar defisit belanjawan akan turun ke paras 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun depan, daripada paras 4.5 peratus yang dicatat tahun ini.

Penyumbang terbesar hasil negara dijangka datang dari cukai petroliam yang menyumbang sebanyak 14.4% dari cukai langsung. Jumlah ini meningkat sebanyak 20.1% daripada tahun 2004 disebabkan oleh peningkatan harga minyak di pasaran. Untuk tahun 2005, kerajaan Persekutuan akan berbelanja sebanyak RM117.4 bilion (2004: RM122.7 bilion) – perbelanjaan mengurus RM89.1 bilion atau 75.9% (2004: RM91.5 bilion) dan pembangunan RM28.3 bilion atau 24.1%.(2004: RM31.1 bilion).

Jumlah hasil ialah RM99.2 bilion (2004: RM96.9 bilion). Dengan pengurangan belanjawan dan kenaikan hasil, adalah dijangka defisit belanjawan akan menurun kepada 3.8% daripada KDNK dalam tahun 2005.

Isu yang kedua adalah pengenalan cukai nilai tambah ataupun Value Added Tax (VAT) yang akan dikenali sebagai cukai barangan dan perkhidmatan ataupun Goods and Services Tax (GST). Isu pengenalan cukai ini sebenarnya pernah dibincangkan dengan hangat di penghujung tahun 80-an lagi, tetapi ianya tidak melibatkan perubahan besar dalam system percukaian negara pada masa itu. Namun, kali ini, kerajaaan benar-benar serius untuk memperkenalkan GST yang akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2007.

Secara dasarnya, GST ini akan mengambil alih cukai pendapatan yang ada sekarang. Cukai pendapatan buat masa ini, dikenakan ke atas pendapatan, tetapi GST adalah cukai ke atas penggunaan barang dan perkhidmatan. Apabila terlaksana sepenuhnya, sebahagian besar barang dan perkhidmatan akan dikenakan cukai dalam lingkungan 5 %. Di masa yang sama, cukai pendapatan sebanyak 28% akan dikurangkan mungkin ke 10% sahaja.

Kebaikan dari perlaksanaan ini ialah kita akan mendapat `take-home pay’ yang kelihatan lebih banyak. Walaubagaimanapun, kita akan membayar cukai kepada kerajaan secara tidak langsung apabila membeli barangan atau menggunakan perkhidamatan yang dikenakan cukai GST.

Yang menjadi soalnya sekarang, apakah jenis barangan yang akan dikenakan cukai dan apakah barangan yang akan dikecualikan dari cukai tersebut? Perkara ini perlu diperhalusi supaya tidak membebankan pengguna, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berpendapatan rendah yang sebelum ini memang tidak dikenakan cukai pendapatan.

Cadangan kerajaan untuk melaksanakan cukai ini sepenuhnya hanya pada tahun 2007 harus disambut semua pihak, dan sepatutnya akan merancakkan sesi perbincangan untuk mencari formula supaya GST dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: