Jiwa Rasa Gelora

Oktober 29, 2004

Bangsa yang telah musnah

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 11:10 am

Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita )oleh orang-orang yang sebelum mereka?. Orang-orang itu adalah lebih kuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. Maka Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri. (Al-Qur’an Surah Al Rum 9)

Banyak bangsa yang telah musnah, kerana tidak mahu beriman dan patuh kepada Allah. Berapa banyak bangsa yang maju dan hebat, membina mahligai menggapai langit tetapi juga lalai dan leka dengan maksiat dan dosa, akhirnya musnah, tersungkur di bumi. Semoga ianya menjadi peringatan dan pengajaran kepada kita.

Terima kasih kepada Amar yang telah mengirim link ke website Bangsa Musnah yang sangat menarik dan begitu menginsafkan diri. Lihat juga Harun Yahya

Oktober 28, 2004

Bibliolexicon

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:01 pm

I took this from A Passion for Books (page 134).
How many of the words below apply to you?

Bibliobibule
One who reads too much

Biblioclast
One who tears pages from or otherwise destroys books

Bibliodemon
A book fiend or demon

Bibliognoste
One who is knowldgeable about editions, colophons, printers, and all the minutiae of books

Bibliographe
One who describes books

Biblioklept
One who steals books

Bibliolater
One who worships books

Bibliolestes
A book robber or plunderer

Bibliomancer
One who practices divination by books

Bibliomane
One who accumulates books indiscriminately

Bibliomaniac
A book lover gone mad

Bibliophage
One who eats or devours books

Bibliophile
One who loves books

Bibliophobe
One who fears books

Bibliopole
One who sells books

Biblioriptos
One who throws books around

Bibliosopher
One who gains wisdom from books

Bibliotaphe
One who buries or hides books

Excerpt from
A Passion for Books, A Book Lover’s Treasury of Stories, Essays, Humor, Lore, and Lists on Collecting, Reading, Borrowing, Lending, Caring for, and Appreciating Books
Edited by Harold Rabinowitz and Rob Kaplan
Published by Three Rivers Press, New York

Oktober 25, 2004

Kelas di bulan puasa

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:46 pm

.

Berbanding subjek yang lepas, subjek Managerial Economics kali ini begitu memenatkan. Yang pertama, kerana banyak teori perlu difahami dan juga pengiraan perlu dilatihtubi. Keduanya, kami terpaksa menghadiri kelas setiap hujung minggu dalam bulan puasa!

Kali ini dirasakan bagai tak cukup masa mengejar deadline. Belum sempat siap assignment Demand Theory, dah datang assignment Regression Analysis. Itu belum lagi ujian, Case Study dan presentation. Semuanya perlu disiapkan dalam masa kurang dari sebulan!

Pensyarah turut hairan dengan jadual yang ketat. Beliau terpaksa berulang-alik dari Shah Alam ke Ipoh setiap minggu. Mungkin kerana ingin disesuaikan dengan cuti Hari Raya, Fakulti telah mengubah jadual yang sepatutnya selang seminggu menjadi tiap-tiap minggu.

Beliau mengingatkan kami supaya bekerja keras, kerana memang begitulah rutin EMBA, perlu banyak diskusi dan latihan memandangkan kami semua bekerja sepenuh masa.

Beliau mengingatkan juga, itu adalah pilihan kami sendiri, untuk menyambung pelajaran. Jadi, kami harus banyak berkorban. Berkorban masa cuti hujung minggu, berkorban masa rehat malam hari, berkorban tak dapat menghadiri banyak program keluarga dan peribadi.

Memang benar, saya sendiri, dengan dorongan isteri, telah membuat keputusan mengeluarkan wang simpanan untuk membayar yuran pengajian. Bukan mengejar kenaikan gaji, atau ingin mencari kerja lain, kerana saya sudah selesa dengan kedudukan sekarang. Kalau ada rezeki, itu cerita lain. Niat di hati hanya ingin menambah ilmu, melawat kembali teori perniagaan dan pengurusan yang pernah dipelajari semasa mengambil ijazah dahulu dan berkongsi pengalaman dengan pensyarah dan rakan-rakan pelajar yang datang dari industri yang pelbagai.

Sabtu lepas, ramai yang berbuka di kelas, kerana kelas tamat pukul 6.30 petang. Kami yang duduk sekitar Ipoh, sempat balik ke rumah, namun bagi yang tinggal jauh seperti Sri Manjung, Tapah dan Teluk Intan terpaksalah berbuka di kelas atau dalam perjalanan, sesuatu yang jarang berlaku di Ipoh.

Kali ini juga, tak dapatlah saya balik berbuka di kampung pada setiap hujung minggu, dan tak dapat juga memanjakan diri membaca akhbar, majalah dan buku di depan TV dan melelapkan mata sambil menunggu waktu berbuka, bagai rutin tahun lepas.

Tak mengapalah. Berkorban sikit.

Oktober 20, 2004

Tok Mat dalam Ingatan

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:10 pm

Entah kenapa, bulan puasa sering membuatkan saya teringat kepada kenangan lama semasa kecil, mengingatkan pada watak-watak yang pernah hadir dalam hidup, membimbing dan mendidik dan mengajar saya tentang erti hidup. Semalam, sebaik selesai solat terawih, saya tiba-tiba sahaja terbayang akan wajah arwah Tok Mat. Tok Mat adalah jiran sebelah rumah kami di awal tahun 70-an. Masa itu saya berumur sekitar 5 tahun dan Tok Mat rasanya sudah berumur lebih 60 tahun. Kami menyewa di sebuah rumah yang berhampiran dengan masjid di Sungai Siput. Rumah itu sebenarnya rumah wakaf masjid dan Tok Mat adalah Tok Siak masjid tersebut.

Bila Abah pergi kerja, saya selalu minta pada Mak untuk ikut Tok Mat ke masjid, kononnya nak menolong Tok Mat untuk membersihkan masjid, tolong sapu sampah dan tolong bentang sejadah. Sebenarnya saya suka bermain dan itulah peluang saya berlari dan meneroka ke setiap ceruk masjid.

Saya suka ikut Tok Mat ke masjid. Tok Mat akan bawa saya ke semua tempat yang selalunya berkunci di masjid. Tok Mat pernah bawa saya menaiki menara masjid. Gayat betul. Antara hari yang selalu saya nantikan ialah hari Jumaat. Setiap pagi Jumaat, sudah menjadi rutin bagi Tok Mat untuk membersihkan kolah di masjid. Itulah peluang saya untuk mandi di `kolam renang’. Tok Mat membenarkan saya mandi dalam kolah sebelum ianya dibersihkan. Seronok betul. Saya dan anak-cucu Tok Mat akan melompat-lompat kegembiraan dalam kolah masjid. Masa tu jangan mimpilah nak mandi di kolam renang, biasanya bebudak kampung hanya dapat mandi lombong atau sungai. Setiap kali saya mengunjungi masjid tersebut, saya akan tersenyum bila melihat kolah yang pernah menjadi tempat kami berkubang.

Tok Mat suka bercerita. Dia suka memberi teka-teki. Ada cerita dan teka-teki yang masih saya ingat sampai sekarang. Saya masih ingat kenangan main dam dengan Tok Mat dan saya kalahkan dia. Seronok betul dapat kalahkan orang tua.

Tok Mat juga mengajar saya cara makan sambal belacan. Masa kecil, memanglah tak tahan makan yang pedas-pedas. Tok Mat mengajar saya menggaulkan sambal belacan dengan ikan goreng,lalu disusun sesuap demi sesuap di tepi pinggan. Semenjak hari itu saya menjadi penggemar sambal. Saya boleh makan nasi kosong dengan sambal dan ulam sahaja tanpa lauk lain. Setiap kali mencecah sambal belacan, memori bersama Tok Mat akan sentiasa bermain di ingatan.

Tok Mat dan Pah Yong melayan saya macam cucu mereka sendiri. Sehinggakan bila saya masuk jawi, beberapa tahun kemudian, saya duduk dan dan tinggal di rumah Tok Mat bersama dengan cucunya yang lain. Tok Mat lah yang melayan kerenah kami selama dua minggu menunggu sihat. Setiap pagi Tok Mat dah bersedia dengan air panas sebesen untuk membuka balutan luka. Setiap malam teriak tangis kami kedengaran bila rasa sakit dilayan oleh Tok Mat dan Pah Yong.

Bila kami berpindah dan saya masuk ke sekolah berasrama penuh, saya jarang dapat berjumpa Tok Mat. Abah kata, Tok Mat dan Pah Yong selalu bertanyakan hal saya. Saya rasa ralat bila tidak dapat hadir di hari kematian Tok Mat kerana masa itu saya sudah di asrama penuh.

Tok Mat sudah tiada, namun saya masih teringat akan kenangan pahit dan manis bersama beliau sekeluarga. Takkan saya lupa segala jasa dan budi baik Tok Mat. Malangnya saya tak dapat membalas segala kebaikan Tok Mat sekeluarga. Di bulan Ramadan yang mulia ini, saya hanya mampu mengirim doa agar roh Tok Mat Piah dan Pah Yong akan digolongkan dalam golongan yang beriman dan dikurniakan kemuliaan dan kesenangan di Hari Akhirat.

Oktober 18, 2004

M Nasir: Destinasi… Dunia.

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:10 pm

M Nasir: Destinasi… Dunia.

M Nasir, penyanyi tersohor Malaysia telah memulakan jelajah dunia dengan terbang ke Istanbul, Turki, pada 1 Oktober yang lepas. Kembara jelajah dunia selama 46 hari itu adalah dalam proses untuk menerbitkan dokumentari berunsur muzikal yang diberi nama M Nasir: Destinasi… Dunia. Perjalanan beliau ini akan menjelajahi negara yang kaya dengan kepelbagaian bunyi dan alat muzik. Rancangan dokumentari muzikal itu bertujuan untuk mendidik dan menghiburkan penonton mengenai kepelbagaian bunyi dan suara, melihat fungsi budaya dalam muzik dan mempromosikan muzik tanah air ke segenap pelosok dunia.

Artikel di Berita Harian 11 Oktober, 2004 melaporkan yang beliau akan ke Turki, Sepanyol, India, England, Nepal, Thailand dan Indonesia.

Saya tertarik dengan pilihan negara yang akan beliau lawati. Saya dapat merasakan, yang perjalanan beliau kali ini adalah satu pencarian untuk mencari asal-usul dan susur galur keperibadian Melayu dan Islam. Sedikit sebanyak muzik Melayu banyak dipengaruhi oleh muzik dari negara-negara tersebut.

M Nasir akan memulakan jelajahnya dengan melawat Turki dan dua tempat telah disenaraikan akan dilawati iaitu Konya dan Cappadocia. Konya adalah bandar Maulana Jalaludin Rumi, pengasas aliran sufi Mevlevi yang terkenal dengan `Whirling dervishes’ ataupun Derwis Menari. M Nasir pernah mencipta lagu bertajuk Bila Rumi Menari yang menceritakan tentang Maulana Rumi yang mabuk cinta dengan Penciptanya. Maulana Jalaluddin ar Rumi dilahirkan pada 1207 Masihi dan meninggal dunia pada 1273 Masihi. Rumi terkenal dengan sajak Cinta Antara Tuhan dan Makhluknya, terkenal dengan kitab Mathnawi dan Diwan nya yang sangat puitis.

M Nasir juga akan melawat bandar Cappadocia, di mana terletaknya pekan Hacibektas, yang terkenal sebagai sebuah pusat satu lagi aliran sufi iaitu Alevi-Bektasi. Aliran sufi ini diasaskan oleh Hacı Bektaş Veli yang dikatakan dari keturunan Ali. Pada bulan Ogos setiap tahun, pengikut aliran sufi Alevi-Bektasi ini akan berhimpun dan akan menarikan tarian sufi atau semah dari daerah yang berlainan.

Selain Turki, M Nasir juga akan ke Sepanyol, iaitu Madrid, Marbella dan sudah tentulah selatan Sepanyol ataupun Andalusia. Ingat lagi lagu Andalusia nyanyian M Nasir? Andalusia pernah menjadi negara yang aman makmur di mana penduduk Islam, Kristian dan Yahudi telah duduk dengan aman di bawah pemerintahan Islam. M Nasir dijadualkan akan ke Cordobar di mana terletaknya Masjid Qurtubah yang sangat cantik. Masjid ini telah telah ditukar kepada Gereja Kristian bila kerajaan Islam ditumbangkan oleh Fernando III pada tahun 1236.

Harapan saya M Nasir akan membuat kajian tentang irama flamenco yang terkenal di Andalusia terutama di Bandar Seville. Flamenco adalah irama yang kuat unsur Moorish atau Islam nya.

Apabila Granada iaitu kota terakhir Islam di Sepanyol berpindah tangan kepada Kristian pada thun 1492, berpuluh ribu orang Islam telah dipaksa untuk menukar agama mereka. Sesiapa yang engkar akan dibunuh. Ramai penganut Islam yang telah menukar agama dalam terpaksa dan mereka ini digelar Moriscos .

Moriscos terkenal dengan muzik dan tariannya yang sangat menarik. Mereka melahirkan kedukaan mereka dalam lagu-lagu dan tarian flamenco. Irama Flamenco jika dihalusi banyak mempunyai banyak unsur-unsur, gypsy, Arab dan Afrika Utara yang datangnya dari Islam.

Harapan saya, rancangan yang dihoskan oleh M Nasir dan akan disiarkan di Astro Ria ini akan menjadi rancangan yang menarik, bukan sekadar menghiburkan, malah sarat dengan ilmu pengetahuan yang boleh mendidik penontonnya nanti. Besarlah harapan agar ianya akan setanding dengan rancangan Jejak Rasul atau setidak-tidaknya lebih baik dari rancangan seperti Melodi atau Parti Cit Cat.

Oktober 15, 2004

Gua Tempurung menjadi Iktibar

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:13 am

.

Hari itu, kami sepatutnya bertolak lebih awal ke Kuala Lumpur, tetapi saya terpaksa menghadiri satu mesyuarat penting yang tamat agak lewat. Dah agak lama juga kami tak ke Kuala Lumpur. Kali ini saya akan menghadiri MIA Conference yang akan berlangsung di PWTC pada hari Selasa dan Rabu.

Sejurus kami bertolak pukul 6.45 petang dari rumah kami di Rapat Setia, hujan mulai turun. Hujan bertambah lebat bila melalui kawasan Simpang Pulai dan Gopeng. Saya rasa tak berapa selesa memandu petang itu kerana cuaca yang agak buruk dan penglihatan juga agak terganggu. Tiba-tiba apabila sampai di Gua Tempurung saya lihat kereta di hadapan berhenti dengan mengejut. Mujur saya dapat mengawal kenderaan dari terbabas. Rupa-rupanya ada dahan besar yang telah jatuh melintang di tengah jalan dan menghalang lalulintas. Ada dua buah kereta tersadai di tepi jalan, mungkin terkena hempapan dahan tersebut.

Baru lagi jadi ni, fikir saya. Saya meminta isteri menelefon PLUS untuk menghantar bantuan, kerana saya tahu, jika bantuan lambat sampai, sudah tentu boleh mengakibatkan kemalangan ataupun kesesakan jalanraya. Memang benar, pekerja PLUS pun masih belum menerima sebarang laporan. Lega rasa hati kerana sekurang-kurangnya telah melaksanakan tanggungjawab sosial yang jarang-jarang dilakukan.

Tidak jauh dari situ, saya agak risau bila melihat air keruh dan berwarna kemerah-merahan yang turun mencurah-curah dari bahagian atas bukit di sisi jalan. Tak pernah saya tengok kejadian begitu sepanjang memandu di lebuhraya PLUS.

Waktu sudah melewati jam 7.10 petang. Hajat hati untuk berhenti di Kawasan Rehat Tapah terpaksa dibatalkan kerana hujan yang masih turun mencurah-curah. Mungkin jamak takhir di hotel sahaja, kata hati saya.

Apabila sampai di Slim River, handset isteri saya berbunyi. Aida rupanya. Aida bertanya di mana kami berada. Katanya ada kejadian tanah runtuh di Gua Tempurung. Kami berpandangan sesama sendiri. Terus terbayang di fikiran akan kejadian tadi. Berita di Radio melaporkan yang kejadian itu berlaku pukul 7.20 petang.

Maknanya, kami terlepas dari kejadian itu hanya dalam tempoh 10 minit. Andai kata kami keluar dari rumah lewat sedikit sahaja, tak tahulah apa yang telah berlaku. Membaca akhbar keesokan harinya menimbulkan rasa gerun di hati bila melihatkan imej tanah runtuh yang telah menutupi sebahagian besar jalan.

Timbul rasa keinsafan bila membaca tentang kecederaan parah yang dihadapi oleh mangsa kejadian. Rasa begitu hampir dengan kematian. Saya dan isteri bersyukur kerana telah diplih oleh Allah untuk tidak terlibat dalam kejadian itu.. Rasa insaf bahawa itu semua kehendak tuhan. Kita tidak boleh lari dari ketentuan Nya. Jika Allah mahu menguji kami, sudah tentu kami juga telah menjadi mangsa kemalangan. Soalnya, apakah kita bersedia menghadapi ujian seberat itu?

Kejadian tanah runtuh itu juga mengajar kita banyak perkara. Ia mengajar kita agar sentiasa rasa tawadhuk dan rendah diri terhadap kebesaran Ilahi. Sebijak manapun kita menguasai teknologi, membina bangunan menongkat langit dan memasak bumi, jangan kita bongkak dan angkuh dengan pencapaian kita. Kita sering meneriak bahawa kitalah juara pembangunan yang tiada taranya. Kita jarang bersyukur dengan nikmat Allah. Malah kadang kala tanpa kita sedar kita menghina hukum Ilahi dengan perkataan dan tingkahlaku kita. Syukur bukan sekadar di bibir. Ianya harus dimahkotakan dengan amalan dan tindakan yang membuktikan kepatuhan kita kepada Allah.

Iktibar juga kepada kontraktor dan mereka yang terlibat dalam bidang pembinaan. Kerja kita adalah ibadah jika ianya dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab, tiada unsur penipuan, dan tidak meletakkan keuntungan sebagai matlamat mutlak. Kekukuhan binaan, keselamatan pengguna, pemeliharaan alam ciptaan Ilahi harus juga menjadi keutamaan.

Mangsa Tanah Runtuh Hanya Lihat Tanah Dan Pokok Menghempapnya
Samy Vellu Minta PLUS Bina Terowong Di Kawasan Runtuhan

Oktober 10, 2004

Ramadhan Menjelma Lagi

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:06 am

Sungguh cepat masa berlalu. Rasa baru semalam kita meraikan bulan Ramadhan. Masih terbayang kegembiraan dan ketenangan menjalani ibadah terawih di Masjid Biru, Taman Cempaka, Ipoh.

Kedatangan Ramadhan membawa bersama satu rasa ketenangan yang tak dapat digambarkan dengan lukisan, tak terucap dengan kata. Jiwa rasa sungguh tenang, jiwa juga mudah tersentuh bila mengenangkan dosa dan kesilapan kita yang silam. Kita sering melupakan Tuhan, walau Allah tak sesekali melupakan kita.

Kedatangan Ramadhan juga sering mengingatkan saya kenangan ketika berjauhan dengan isteri. Dua tahun lepas isteri saya masih bertugas di Kuala Lumpur. Masih jelas terbayang rutin menunggu isteri tersayang setiap petang Jumaat dan menghantar ke stesyen bas Medan Kidd setiap pagi Isnin selepas bersahur. Peritnya berjauhan selama dua tahun. Kini, kesempatan berbuka bersama sepanjang sebulan Ramadhan merupakan nikmat yang sangat-sangat kami hargai.

Selamat Menyambut Ramadhan untuk semua teman-teman Jiwarasa yang sudi bertandang ke blog ini. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi medan mendidik jiwa dan rohani kita agar menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Hayatilah lirik lagu Harapan Ramadhan yang dinyanyikan oleh Man Bai dan Raihan ini.

Harapan Ramadhan
(Man Bai & Raihan)

Ku mengharap Ramadhan kali
ini penuh makna
Agar dapat kulalui dengan
sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintah Nya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu
membelenggu diri tiada
henti-henti

Tak ingin kubiarkan Ramadhan
berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang
lemah mengharungi
segalanya dengan sabar

Kita memohon pada Tuhan
diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan
diterima amalan
Selangkah demi selangkah…
dengan Rahmat Mu oh
Tuhanku..ku tempuh jua

Lagu : Man Bai/Farihin
Lirik : Man Bai/Farihin
Album : Maafkan – Raihan 1999

Oktober 8, 2004

Fishbone dan Bangau Oh Bangau

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 11:00 pm

Minggu lepas berlangsunglah QCC Convention di Ipoh. Kami telah menjadi hos kepada 20 kumpulan QCC dan Suggestion Scheme yang datang dari syarikat dalam kumpulan dari seluruh negara. Mereka adalah pemenang yang mewakili zon masing-masing iaitu zon utara, selatan, timur dan tengah. Menjadi hos memang memenatkan kerana terpaksa melayan kerenah beratus peserta dan juga pihak pengurusan tertinggi syarikat. Penat tetapi menggembirakan kerana anak buah saya dari kumpulan Trendsetters dan Netminds telah memenangi kumpulan QCC terbaik kategori pengurusan dan cross-functional, dan kami buat julung kalinya menjadi johan keseluruhan QCC Convention kali ke 8 ini.

Apabila berbicara tentang QCC, nama Ishikawa akan sentiasa disebut. Kaoru Ishikawa adalah antara tokoh kualiti Jepun yang telah memperkenalkan QCC kepada dunia. Beliaulah yang mempopularkan `7 QCC Tools’ sebagai asas QCC. Beliau terkenal dengan `Cause and Effect Diagram’ nya yang mengkaji masalah melalui gambarajah ikan ataupun fishbone diagram. Fishbone diagram yang juga dikenali sebagai Ishikawa diagram telah menjadi satu perkasan popular dalam penyelesaian masalah terutama semasa sesi sumbang saran atau brainstorming. Dengan diagram ini, kita dapat melihat semua kemungkinan sebab dan dapat mencari punca sebenar masalah.

Saya tertarik bila mendengar ulasan Ketua Juri pada hari penutup yang sangat menarik mengenai QCC. Dr Mustafa Hashim, seorang yang sangat berpengalaman yang kami jemput dari NPC telah membuat ulasan yang menarik mengenai proses penyelesaian masalah. Beliau memberi komen yang mencari punca masalah atau `root cause’ adalah peringkat yang paling penting kerana jika kita salah mengenalpasti masalah, kita akan memberi penyelesaian yang silap. Beliau menegaskan Fishbone diagram adalah sangat penting dalam mengenalpasti punca masalah.

Beliau juga telah memberi ulasan menarik mengenai penyelesaian masalah dengan memberi kiasan kepada lagu Bangau Oh Bangau. Lagu tersebut memberi sebab mengapa bangau kurus dengan mencari punca satu demi satu dari sebab ikan, rumput, kerbau dan seterusnya. Inilah proses penyelesaian masalah yang sepatutnya iaitu mencari punca sebenar masalah. Malangnya, bila kita ditanya mengapa bangau kurus, kita terus menjawab `sebab memang bangau kurus’ sebagai jawaban, tanpa mengenalpasti sebab yang terutama.

Balik ke rumah hari itu, saya terus mencari lirik lagu Bangau Oh Bangau. Sekian lama mengkaji tentang teori kualiti, tak pernah pula terfikir lagu yang selalu jadi nyanyian semasa kecil ini sebenarnya ada nilai yang besar yang boleh dipelajari dan diadaptasikan dalam pengurusan kualiti. Tak semena-mena timbul rasa hormat kepada pencipta lagu itu. Ketika QCC hanya popular di negara kita di tahun 80-an, saya telah mula menyanyi lagu ini seawal tahun 70-an!

Malangnya saya tidak tahu siapakah yang mencipta lirik dan lagu ini!

BANGAU OH BANGAU
Bangau oh bangau,
kenapa engkau kurus?

Macam-mana aku tak kurus,
ikan tak mahu timbul.
Ikan tak mahu timbul.

Ikan oh ikan,
kenapa engkau tak timbul?

Macam-mana aku nak timbul,
rumput panjang sangat.
Rumput panjang sangat.

Rumput oh rumput,
kenapa engkau panjang?

Macam-mana aku tak panjang,
kerbau tak makan aku.
Kerbau tak makan aku.

Kerbau oh kerbau,
kenapa tak makan rumput?

Macam-mana aku nak makan,
perut aku sakit.
Perut aku sakit.

Perut oh perut,
kenapa engkau sakit?

Macam-mana aku tak sakit,
makan nasi mentah.
Makan nasi mentah.

Nasi oh nasi,
kenapa engkau mentah?

Macam-mana aku tak mentah,
api tak mahu menyala.
Api tak mahu menyala.

Api oh api,
kenapa engkau tak mahu menyala?

Macam-mana aku nak menyala,
kayu api basah.
Kayu api basah.

Kayu oh kayu,
kenapa engkau basah?

Macam-mana aku tak basah,
hujan timpa aku.
Hujan timpa aku.

Hujan oh hujan,
kenapa timpa kayu?

Macam-mana aku tak timpa,
katak panggil aku.
Katak panggil aku.

Katak oh katak,
kenapa panggil hujan?

Macam-mana aku tak panggil,
ular nak makan aku.
Ular nak makan aku.

Ular oh ular,
kenapa nak makan katak?

Macam-mana aku tak makan,
memang makanan aku.
Memang makanan aku……

Betul juga tu ye………..

Memang makanan engkau.
Memang makanan engkau

Oktober 4, 2004

Jangan cuba melawan arus!

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 4:37 am

Lata Kinjang, Perak

MELAWAN ARUS

Kata orang jangan kau cuba melawan arus
Pecah bahtera kau kecundang karam terjerumus
Tapi jika terpaksa pergi kau mesti pergi
Di balik gunung di kaki pelangi engkau cari
Mimpi perangsang hidup dan kau di beri tawaran
Tak bisa ditolak…

Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini
Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini

Kata orang ada racun dalam kecantikan
Itu terang membuat engkau mabuk cendawan
Tapi jika terpaksa milik kau mesti milik
Biar di cerca dihina dan engkau diherdik
Kerna dia engkau menjadi lelaki
Di beri pilihan antara hidup dan mati

Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini
Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini

LAGU: M.NASIR
LIRIK: M.NASIR

Lagu di atas adalah nyanyian dan ciptaan M Nasir, yang terkandung dalam album beliau bertajuk Phoenix Bangkit yang diterbitkan dalam tahun 2002. Tidak dinyatakan pula apa dan siapa yang beliau maksudkan dengan melawan arus. Namun, peminat dan pendengar dapat membuat telahan sendiri dan ramai juga yang mengaitkan lagu ini dengan suasana politik semasa waktu itu.

Sejarah peradaban manusia telah melahirkan banyak tokoh yang melawan arus. Tokoh yang tidak mahu memilih jalan selamat, dan mahu melakar jalan sendiri. Jalan mudah dengan mengikut pandangan ramai yamg popular tidak menarik perhatian mereka. Mereka ini telah memilih jalan yang sukar dan penuh onak berdiri. Ada yang berjaya dan ada yang kandas. Ada yang hidup senang dan bahagia di kemudian hari, dan ada juga yang hidup merempat hingga ke akhir hayat. Mereka hidup dan berjuang atas prinsip yang mereka dokong. Walaupun pendapat dan idea mereka tidak dapat di terima di masa dan ketika itu, mereka terus berjuang.

Dalam sejarah negara, telah ramai tokoh yang melawan arus. Walaupun orang Melayu terkenal dengan sifat HangTuah yang taat setia tidak berbelah bahagi, namun dalam sejarah akan timbul juga watak Hang Jebat yang akan menentang ketidakadilan yang wujud dalam masyarakat. Dato’ Onn Jaafar telah melawan arus bila mencadangkan UMNO dibuka pada semua kaum. Tokoh PKMM telah melawan arus bila membawa slogan yang sangat asing pada masa itu, iaitu `Merdeka’ di kala masih ramai orang Melayu yang ragu-ragu akan kemampuan anak Melayu memerintah watan. Dr Mahathir juga pernah melawan arus dengan Malay Dilemma nya yang menuntut kemarahan Tunku Abdul Rahman, sehingga disingkir dari parti. Begitu juga dengan Anwar Ibrahim yang melawan arus semasa pelajar dan juga setelah jadi orang bergelar.

Saya sangat menghormati tokoh yang berani melawan arus. Jangan salah faham, bukan ideologi mereka yang saya kagum, tetapi keberanian, kesungguhan, keyakinan, ketahanan mental dan fizikal dalam memperjuangkan hak dan kebenaran yang mereka pegang. Saya kagum akan daya tahan mereka yang tinggi dalam menghadapi tentangan dan kemungkinan akan kehilangan segala-gala yang berharga dalam hidup. Saya rasa takjub bila melihat sorang tokoh itu dapat menyakinkan pengikutnya lantas menggerakkan kekuatan pendokong dan penyokong dalam menyokong ideologi dan pegangan mereka.

Kadang-kadang masyarakat kita perlu ada tokoh yang melawan arus, yang boleh mengejutkan kita dari mimpi yang panjang, yang boleh mencetuskan pemikiran di luar kerangka dan melakukan sesuatu yang tidak terjangkau oleh pemikiran dangkal kita.

Blog di WordPress.com.