Jiwa Rasa Gelora

November 29, 2004

Musim Audit

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 9:29 am

.

Minggu lepas merupakan minggu yang paling banyak aktiviti menarik di pejabat. GM saya kata, alangkah baiknya kalau minggu ini ada 10 hari.

Saya mula bekerja pada hari Isnin, selepas bercuti Hari Raya. Hari Isnin kami bertungkus lumus membuat persediaan untuk menerima kedatangan Auditor dari NPC pada hari Selasa. Multimedia presentation mengenai profil syarikat dan pencapaian syarikat perlu disiapkan. Hari Isnin juga, dua kumpulan QCC kami telah berada di JB untuk Hari Mekar mewakili syarikat.

Kedatangan aditor dari NPC adalah untuk menilai prestasi kami samada layak untuk menerima Anugerah Pengurusan Kualiti ataupun QMEA. Anugerah Kualiti QMEA menggunakan kriteria yang hampir sama dengan Malcolm Baldridge Award yang terkenal sebagai salah satu Anugerah Kualiti berprestij di dunia. Sebanyak tujuh kriteria digunakan untuk menilai prestasi sesebuah syarikat.

Saya dan rakan-rakan jenuh menjawab pertanyaan dari auditor yang banyak bertanya mengenai apa yang membezakan syarikat kami dengan yang lain. Susah sebenarnya, untuk saya menceritakan tentang kelebihan dan kehebatan syarikat, mungkin kerana kita sering dilatih untuk merendah diri. Kejayaan kami mendapat ISO9001, OHSAS18001 banyak membantu. Ini ditambah pula penggunaan Balance Scorecard yang banyak membantu meletakkan syarikat di perspektif yang betul dalam menilai prestasi dan matlamat syarikat.

Hari Khamis dan Jumaat pula giliran Auditor dari SIRIM untuk menjalankan surveillance Audit untuk OHSAS18001. Mujurlah hanya surveillance bukan reassessment audit. Keputusan audit nya juga menggembirakan kami kerana hanya mendapat 1 minor NCR dan selainnya cadangan untuk mempertingkatkan keberkesanan sistem.

Hari ini, Isnin, saya masih menunggu auditor untuk audit kewangan dan sistem, yang akan memulakan interim audit untuk tahun ini.

Kalau difikir kembali, hidup kita memang penuh dengan pengauditan. Kita sentiasa dinilai, buruk baik amalan kita. Buat yang baik, akan baiklah juga ganjarannya.

Advertisements

November 25, 2004

Islam di Andalus

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:48 pm


Islam in Andalus
Ahmad Thomson
Muhammad `Ata’ur-Rahim
Ta-Ha Publication Ltd, London
ISBN 1 89794052 1
Diedarkan oleh Saba Islamic Media
RM45.50

Buku ini saya beli di sebuah kedai kecil yang terletak di lobby PWTC. Kebetulan, saya menghadiri MIA Conference di PWTC dua hari sebelum Ramadan. Mulanya, hanya ingin membeli akhbar hari itu, tapi maklumlah, kalau berjumpa kedai buku, pasti mahu membelek buku-buku yang ada di situ. Alangkah terkejut dan gembiranya saya bila menatap buku ini. Islam In Andalus!

Lama sudah saya mencari dan mengumpul buku berkenaan Andalus. Saya meminati apa juga yang berkait dengan Andalus, samada kebudayaan, sejarah, muzik, senibina, apa sahaja.

Saya telah membaca buku Sejarah Bani Umayah di Andalus tulisan Maruwiyah Ahmat, juga buku Perang Salib ditulis oleh Muhammad Al-Arusiy Al Matwiy yang ada menyentuh tentang kerajaan Islam di Andalus.

Saya masih mencari buku Tales of Al-Hambra tulisan Washington Irving yang menceritakan tentang kehebatan Al-Hambra di Granada. Saya juga belum berjumpa dengan buku Moorish Spain, tulisan Stanley Lane Poole.

Buku Islam in Andalus ini ditulis oleh Ahmad Thomson dan Muhammad `Ata ‘Ur-Rahim. Saya mula membaca keseluruhan buku ini di dalam bulan Ramadan dan isi kandungannya benar-benar menimbulkan kesan yang mendalam kepada diri saya.

Bahagian awal buku ini menceritakan tentang kedatangan Islam ke Semenanjung Iberia yang dipimpin oleh Tariq bin Ziad pada tahun 712 dan kemudiannya dibantu oleh Musa bin Nusair. Kagum saya bila membaca bagaimana keadilan pemerintahan Islam telah mewujudkan nilai toleransi yang tinggi kepada penduduk Andalus yang berbilang bangsa, Islam Kristian dan Yahudi. Rasa takjub bila membaca tentang ketinggian ilmu pengetahuan masyarakat zaman itu yang sangat menghargai ilmu. Andalus telah berjaya menjadi gedung ilmu pengetahuan bagi penduduk dunia.

Bahagian kedua buku ini menceritakan tentang saat kejatuhan Islam di Andalus. Ianya bermula bila kerajaan Islam berpecah kepada beberapa kelompok kecil dan ada yang telah belot dan berpakat dengan Kerajaan Kristian. Bibit-bibit kejatuhan telah bermula di utara Spain seawal tahun 1212 dan berakhir dengan jatuhnya Granada pada tahun 1492.

Bahagian akhir ini telah menceritakan babak terakhir yang menyayatkan hati dari tahun 1492 hingga ke tahun 1609 apabila saki baki rakyat Islam telah dihalau dari bumi Andalus. Ada yang memberi anggaran seramai 600,000 hingga ke 3,000,000 orang telah dihambat keluar dari Spain dan ramai dari mereka yang tidak sempat sampai ke destinasi.

Buku ini selesai saya baca di penghujung Ramadan. Entah mengapa jiwa rasa sedih dan sebak. Adakah sedih meninggalkan Ramadan? Atau sedih dan sebak bila membaca kisah orang Islam disiksa, dibunuh, dihalau atau dipaksa meninggalkan agama Islam melalui gerakan Spanish Inquisition.

November 22, 2004

Salam Syawal

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:09 pm

.

Lama betul rasanya cuti hari raya tahun ini. Dari hari Sabtu ke hari Ahad. Kebetulan cuti tahunan pun masih berbaki lagi. Jadi apa salah nya jika cuti lama sedikit. Cuti Raya kali ini banyak dihabiskan di kampung menerima kunjungan sanak saudara. Seronoknya berhariraya bila dapat berjumpa sanak saudara dari jauh dan dekat. Bila lagi dapat berjumpa kalau tidak di Hari Raya.

Hari Raya keempat kami sempat menghadiri majlis kenduri kahwin di Felda Ijok, Selama. Selalu dengar nama tempat tu tapi kali pertama menjejak kaki. Kalau tak kerana ada kenduri dah tentu tak sampai ke situ. Felda Ijok agak jauh dari bandar, lebih kurang 50km dari bandar Taiping. Sepanjang perjalanan, pemandangan hutan yang menghijau apabila melalui pinggir Hutan Simpanan.

Hari yang sama juga kami bertolak ke KL kerana menemankan isteri menghadiri mesyuarat di Jalan Kg Attap. KL masih dalam suasana hari Raya walaupun sudah hari raya kelima. Susah juga nak cari kedai makan di malam hari. Banyak kedai makan yang masih tutup sempena Raya. Juara Tomyam tutup. Akhirnya makan sup mamak kat Jalan Doraisamy. Macam-macam sup ada. Tempat tu memang tempat lepak saya masa bujang dulu. Entah apa yang menariknya, saya pun tak tahu. Tapi yang pasti gerai mamak tu memang sentiasa penuh di waktu malam. Nak parking pun susah. Teringat rutin masa bujang dulu mengunjungi kedai mamak tengah malam buta. Sebut sahaja kedai mamak, di PJ, Bangsar atau KL, semuanya pernah kami kunjungi.

Keesokan harinya teringinlah pulak berjalan kaki di KL. Kalau masa dulu semasa mula bekerja di KL, berjalan kaki di Bandar memang menyeronokkan. Lagi pulak kalau berjalan tak ada tujuan. Semasa bekerja di KL dahulu, saya juga biasa berjalan kaki dari pejabat di Jalan Raja Chulan ke Bangkok Bank hampir setiap hari. Kadang-kadang jalan kaki lagi cepat dari menaiki kenderaan awam.

Tapi semenjak bekerja di Ipoh, jarang sangat sanggup berjalan kaki sejauh itu. Orang Ipoh mana ada parking kereta jauh-jauh. Kalau ikutkan hati, kereta pun kalau boleh nak parking sebelah meja.

Hari itu, berjalan kaki dari hotel di Jalan Kg Attap ke Pasar Seni pun dah rasa letih dan lenguh kaki. Kemudian naik LRT ke KLCC. Biasalah, lebih dua jam memerap di Kinokuniya dan hampir senget bahu membawa balik buku yang dibeli.

Sesekali berkunjung ke KL di musim Raya, menarik juga.

November 12, 2004

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:00 pm

.

Ucapan di atas saya tujukan kepada semua rakan dan taulan yang sudi berkunjung ke blog ini.

Sesungguhnya, jangka masa beberapa bulan ini telah memperkenalkan saya dengan ramai rakan yang selayaknya saya panggil sahabat. Andalah sahabat saya, kerana hanya sahabat yang sudi berulang ziarah ke rumah sahabatnya yang lain. Tak jemu bertandang walaupun adakalanya hidangan tuan rumah tidak menepati selera dan sering juga teguran tidak bersapa. Terima kasih kepada semua yang sudi bertandang, sudi memberi teguran, pandangan dan panduan.

Menjelang Syawal yang mulia ini izinkan saya memohon maaf andai ada tingkah dan kata yang mengguris hati, andai ada tulisan dan pandangan saya yang menyentuh jiwa dan menggugah rasa. Niat di hati ingin menghulurkan tangan memohon kemaafan, namun apakan daya tak terjangkau tangan ini ke alam maya.

Saya doakan semoga amal kita sepanjang Ramadan ini diterima Allah dan semoga kita akan berjumpa semula dengan Ramadan yang akan datang.

Selamat berhari raya bersama keluarga, selamat bercuti, selamat pulang dan selamat kembali dan berhati-hati di jalanraya.

Kita berjumpa lagi di alam maya.

November 10, 2004

Mengenang Al Quds di hujung Ramadan

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:36 am

.

Setiap hari Jumaat terakhir bulan Ramadan telah disytiharkan sebagai Hari Al Quds sebagai memperingati perjuangan menuntut pembebasan bumi Palestin. Semenjak tahun 1978, pemimpin Iran masa itu telah mengajak umat Islam seluruh dunia untuk mengenang akan kepayahan dan kejerihan hidup yang dihadapi oleh saudara seagama kita yang ditindas dengan zalim oleh rejim zionis. Perarakan secara aman diadakan di bandar besar dunia yang juga dihadiri oleh masyarakat berbagai kaum dan keturunan.

Tahun ini adalah tahun malang bagi perjuangan umat Islam Palestine. Perjuangan rakyat Palestin telah menerima cubaan yang hebat tahun ini. Hidup takyat Paletin jadi lebih tertekan dengan pembinaan tembok tinggi yang mengomgkong pergerakn mereka. Ditambah pula dengan berita sedih syahidnya Sheikh Ahmad Yassin, tokoh inspirasi perjuangan rakyat Palestine yang telah menghidupkan intifadah, yang telah dibunuh dengan kejam. Sementara tanah di pusara beliau masih lagi merah, dunia Islam digemparkan dengan pembunuhan seorang lagi tokoh HAMAS yang sepatutnya menggantikan beliau iaitu Abdul Aziz Rantisi.

Minggu ini, kita dikejutkan pula dengan berita tokoh PLO, Yasser Arafat yang terlantar sakit dan kini dikatakan sedang nazak. Yasser Arafat adalah seorang tokoh yang sangat tabah dan sabar dalam memperjuangkan kemerdekaaan negara Palestin. Bermula dengan menyertai sayap Fatah, akhirnya menjadi Presiden PLO sehingga sekarang. Begitu banyak rintangan dan halangan yang telah ditempuhi. Berapa kali diperdaya oleh rejim Zionis, rundingan demi rundingan yang berakhir dengan hak dan kepentingan rakyat Palestin semakin kecil. Ketika rakyat Paletine lainnya sudah muak dan bosan dengan tipu helah rejim Zionis, dan mengambil jalan untuk menentang dengan kekerasan, beliau tetap meneruskan perjuangan dengan cara aman melalui perundingan. Semoga Allah merahmati dan memberi kekuatan kepada beliau.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, umat Islam seluruh dunia akan merayakan Hari Raya Aidil Fitri. Hari yang dinanti-nantikan setiap yang berpuasa di bulan Ramadan. Ketika umat Islam di Negara kita sedang sibuk membuat persiapan hari raya, entah bagaimana agaknya nasib saudara kita di Palestine. Persiapan raya mungkin tak segah mana kerana kepayahan hidup, dan menghadapi ketidaktentuan hari esok. Entah ada makanan lagi atau tidak. Entah ada nyawa lagi atau tidak. Berziarah mereka bukan untuk mengutip duit raya tetapi berziarah kerana sedar akan kemungkinan tidak akan bersua lagi di Syawal yang akan datang.

Antara doa yang makbul ialah doa orang yang berpuasa sehingga beliau berbuka. Apatah lagi jika dilakukan di penghujung bulan yang mulia ini. Lalu, marilah kita titipkan doa buat saudara kita di Palestine, di Iraq, Kashmir, Chechnya, Selatan Thai dan di seluruh dunia yang menghadapi cubaan hidup yang sangat getir. Semoga saudara kita diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan dan meneruskan hidup menempuh cabaran.

Lemahnya diri ini, sekadar doa yang mampu dikirim.

November 4, 2004

Kembara Buku & Shaharom TM Sulaiman

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:50 pm

Lama sudah saya mencari buku Keanehan dan Keunggulan Buku tulisan Shaharom TM Sulaiman. Banyak komen yang menarik mengenai buku tersebut yang menyebabkan saya rasa begitu tertarik untuk mencari buku tersebut. Saya memang telah lama mencari buku yang menulis tentang keunikan, keanehan buku, penulis dan peminatnya. Saya sudah memiliki beberapa judul `buku mengenai buku’ dalam bahasa Inggeris, tapi belum pernah berjumpa dengan karya tulisan penulis tempatan mengenai dunia perbukuan. Setiap kali ke kedai buku, saya akan mengintai di rak buku `Local Interest’ untuk mencari buku ini tapi tidak bernasib baik dan tak berjumpa.

Akhirnya saya telah terjumpa dua buah buku lain tulisan penulis yang sama, iaitu Shaharom TM Sulaiman di Kedai Buku MPH. Dua buah buku ini adalah kesinambungan dari buku beliau yang pertama mengenai buku yang saya cari-cari itu. Kedua buah buku ini adalah antara Siri Kembara Buku Utusan. Buku pertama bertajuk Buku Kekasih dan yang kedua pula Ada Apa dengan Buku. Kedua dua buku tersebut memuatkan esei pendek yang dirangkumkan dalam beberapa tajuk besar.

Buku Ada Apa dengan Buku yang ditulis oleh Shaharom TM Sulaiman bersama Suriati Shamsuddin, bercerita tentang Dunia Buku dengan Kampung Buku Hay On Wye di Wales dan Kampung Buku Langkawi. Kemudian penulis juga bercerita tentang industri buku di Malaysia, Jepun dan Indonesia. Juga diselitkan mengenai memoir dan biografi antara lain; Lee Kuan Yew, Ismail Hussein dan VS Naipul.

Buku Kekasih pula bercerita tentang projek hebat UNESCO untuk membina semula Perpustakaan Iskandariah yang memuatkan 4 juta buku dan akan ditambah kepada 8 juta buku! Buku ini juga menceritakan tentang karya dan pemikiran penulis Asia seperti Hamka, Pramoedya, Said Zahari, Mulla Sadra dan penulis-penulis kontemporari dari India.

Banyak judul-judul buku telah dipetik di dalam buku ini, membuatkan pembaca rasa terdorong untuk mencari dan membaca buku-buku tersebut. Penulis begitu bijak bercerita secara seimbas lalu mengenai sesuatu buku dan penulisnya, seolah-olah mengumpan pembaca untuk mencari karya asal penulis tersebut. Kedua buku ini, juga buku pertama Shaharom TM Sulaiman; Keanehan dan Keunggulan Buku boleh dibeli secara online di Ujana Ilmu.

Di Kulit belakang buku Buku Kekasih tertulis kata-kata ini…

Adat orang berkasih
Tika berjauhan gundah gulana
Menghitung waktu bilakah dapat bersua.
Kala di sisi, segenap jiwa bernyanyi ria.
Kekasih hadir mengubat banyak perkara.

Begitu ibaratnya jika buku menjadi kekasih.
Sentiasa mengerti dan memberikan harapan.
Acap kali manusia dikecewakan sesama manusia
Tetapi buku tidak pernah mengecewakan
Walau bagaimana sekalipun `dia’ dilayan.
Dia kekasih abadi bagi yang mengerti.

November 2, 2004

17 Ramadan dan Badar Al-Kubra

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:18 pm

Semalam 17 Ramadan adalah hari Nuzul Qur’an yang merupakan hari cuti umum di Perak. Kalau tidak kerana cuti, mungkin ada yang tidak tahu signifikan tarikh tersebut, iaitu hari wahyu pertama diturunkan di Gua Hira’.

Di samping Nuzul Qur’an, 17 Ramadan juga adalah tarikh berlakunya peristiwa penting yang telah merubah sejarah dan nasib umat Islam iaitu Perang Badar Al-Kubra. Badar Al-Kubra telah berlaku pada pagi hari Jumaat 17 Ramadan, tahun kedua Hijrah.

Peristiwa agung ini menyaksikan peristiwa ajaib di mana tentera Muslim seramai 313 orang telah berjaya mengalahkan tentera musyrikin seramai 1000 orang. Tentera Islam yang serba kekurangan telah mengalahkan tentera Abu Jahal yang tiga kali ganda lebih ramai dan lengkap dengan kelengkapan tentera. Logik akal mungkin tidak dapat menerima bagaimana kumpulan yang lemah, malah tidak makan kerana sedang berpuasa ini boleh mengalahkan musuh mereka.

Kemenangan tentera Islam, selain daripada kebijaksanaan Rasulullah dan para sahabat merancang strategi perang, adalah kerana keyakinan dan iman mereka yang tinggi terhadap Islam dan pertolongan Allah.

Ketika menghampiri perang, Rasulullah telah berdoa kepada Allah sambil bermunajat:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini.”

Doa Rasulullah kemudiannya telah dimakbulkan, sebagaimana disebut di dalam Al-Qur’an yang bermaksud:

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut.” Surah al-Anfal, ayat 9)

Peristiwa Badar merupakan motivasi yang amat penting bagi umat Islam. Badar Al-Kubra telah membuktikan yang golongan yang kecil dan minoriti dapat mengalahkan golongan yang besar dan kuat. Inilah motivasi utama para pejuang dan pendakwah Islam seluruh dunia dalam meneruskan tugas dakwah. Ketika umat Islam dihina dan diperlakukan semaunya di setiap pelusuk dunia, peritiwa Badar akan sentiasa menjadi ingatan dan pegangan kita. Ingatan bahawa kita bukan umat hina, kita ada Allah tempat mengadu dan kita harus terus berjuang meneruskan hidup dan berjihad untuk memartabatkan agama di muka bumi ini. Umat Islam harus terus berjihad melalui tulisan, ucapan, ekonomi, pendidikan dan segala bidang kehidupan. Kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan upaya diri dan mengangkat umat dari belenggu kejahilan dan kemaksiatan.

Badar juga telah mengajar kita bahawa bagaimana sukar sekalipun cabaran yang diterima, akhirnya kebenaran dan hak akan tetap terserlah, manakala kebatilan dan kepalsuan akan musnah ditimpa kehinaan.

Doa adalah senjata mukmin. Badar mengajar kita, selepas sempurna perancangan dan usaha, kita harus tidak jemu menadah tangan berdoa kepada Allah dalam apa jua keadaan, susah ataupun senang. Ingatlah pertolongan Allah akan datang pada hambanya yang beriman dan yakin akan Rahmat Nya.

Create a free website or blog at WordPress.com.