Jiwa Rasa Gelora

Februari 28, 2005

Sepet bukan halangan

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:11 pm

.

Sepet adalah tajuk filem sulung di layar perak yang diarahkan oleh pengarah iklan terkenal, Yasmin Ahmad. Siapa yang tidak kenal dengan Yasmin Ahmad dan siapa yang tidak tersentuh bila melihat iklan Petronas beliau.

Sepet adalah kisah cinta dua insan berlainan bangsa dan bahasa dari dunia berlainan. Orked budak perempuan Melayu yang bercinta dengan budak lelaki Cina penjual VCD. Sebuah jalan cerita yang mudah tetapi menarik. Menonton Sepet bagai mengulang kaji subjek Organizational Behaviour, bagaimana manusia sering membuat generalisation dan stereotyping terhadap sesuatu kelompok atau bangsa. Ini terlihat dari kata-kata Keong ‘bukan semua China penipu & bukan semua Melayu malas’.

Yasmin cuba berlaku terlalu jujur dengan filem ini. Banyak adegan dan dialog dalam filem ini berlaku dalam hidup tetapi kita tidak mahu mengaku, atau kita memilih untuk tidak mahu bercerita mengenainya. Ternyata Yasmin terlalu jujur berterus-terang dalam menterjemahkan melahirkan perasaan kasih dan sayang ke dalam adegan dalam filem ini. Mungkin ada yang berasa tidak selesa bila menonton beberapa adegan dalam filem ini. Begitu banyak adegan berkemban. Mungkin Yasmin ada sebab tersendiri mengapa beliau suka menonjolkan banyak adegan tersebut. Mungkin Yasmin pernah melihat pasangan yang suka berkemban kerana saya tidak pernah pula melihat emak abah saya berkemban di rumah. Kalau adapun adegan tersebut mungkin adegan dalam bilik tidur yang saya tak pernah lihat.

Mungkin itu yang jadi pertikaian. Sifat Melayu selalunya tidak berterus-terang, cakap berlapik, kata berkias. Tapi itu Melayu dulu. Melayu yang lemah lembut dan penuh sopan santun. Melayu dulu bila berbicara, kata disusun penuh teliti disulam dengan pantun dan seloka. Melayu sekarang, bahasanya mana yang sempat, rojak selalunya. Begitulah juga dalam filem ini yang bahasanya juga bahasa rojak, ada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Hokkien dan Mandarin.

Satu perkara yang menarik mengenai filem ini, lokasi keseluruhannya diambil di sekitar Ipoh. Bandar Ipoh, Gunung Lang, Pasar Lokkin dan jalan yang saya lalu setiap pagi iaitu Tiger Lane dan Jalan Kelab Golf di sekitar Padang Polo.

Februari 25, 2005

Keluarga Gerilya – Pramoedya

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 12:35 pm

.

Keluarga Gerilya
Pramoedya Ananta Toer
Penerbitan Pustaka Antara
1976
246 ms

Kisah menyayat hati tentang perjuangan. Bagaimana hancurnya sebuah keluarga kerana peperangan.

Dah merata saya mencari buku ini. Saya sudah memiliki dan membaca karya Pramoedya seperti Cerita Dari Blora, Perburuan dan Mute Soliloquy. Keluarga Gerilya bagaikan pelengkap kepada koleksi buku karya Pramoeya ,malah ia adalah karya Pramoedya yang wajib dimiliki.

Yang menariknya buku ini saya jumpa di celah timbunan buku terpakai di kedai buku terpakai, kedai buku Novel Hut. Saya selalu ke Novel Hut untuk mencari majalah atau jurnal lama seperti Harvard Business Review, Mens & Fitness, Foreign Affairs ataupun mencari buku teks tambahan untuk kelas.

Jangan terkejut jika saya katakan buku ini saya beli hanya dengan RM2 dan tertulis harga asalnya iaitu RM6.50!

Keluarga Gerilya adalah kisah tragis sebuah keluarga pejuang yang mengorbankan segala-galanya demi kemerdekaan negara. Korban nyawa, korban masa depan, korban ayah, korban. Ayah dibunuh kerana menjadi tali barut Belanda. Ibu hilang akal kerana mengenangkan nasib anak-anak. Anak-anak lelaki semuanya berjuang menyertai revolusi kemerdekaan. Anak perempuan tidak bersekolah dan mencari kerja kerana derita kehilangan sumber pencarian.

Banyak dialog yang sangat menarik dan mengejutkan dalam novel ini. Dialog antara Saaman yang dijatuhkan hukuman mati oleh Belanda dengan Pengarah penjara sukar untuk saya lupakan. Saaman enggan meminta pengampunan dari penjajah Belanda malah beliau mahu hukuman mati ke atasnya dipercepatkan. Dialog tentang perjuangan dan kemanusiaan yang sungguh menyentuh perasaan.

“Revolusi menghendaki segala-galanya… menghendaki kurban yang dipilihnya sendiri. Demikian hebatnya revolusi. Kemanusiaanku kukorbankan. Dan sekarang ini… jiwa dan ragaku sendiri. Demikianlah paksaan yang kupaksakan pada diriku sendiri. Kupaksa diriku menjalani kekejaman dan pembunuhan agar orang yang ada di bumi yang kuinjak ini tak perlu lagi berbuat seperti itu… agar mereka itu dengan langsung bisa menikmati kemanusiaan dan kemerdekaan.”

Saya sentiasa rasa tidak puas bila membaca buku Pramoedya dan rasa ingin mencari karyanya yang lain. Tulisan beliau begitu menyentuh jiwa dan perasaan mungkin kerana pengalaman beliau yang beberapa kali dipenjarakan. Novel Keluarga Gerilya ini diterbitkan pada tahun 1950 sejurus selepas beliau dibebaskan dari Penjara Bukit Duri Jakarta oleh Belanda. Saya masih mencari karya beliau kuartet Buru, empat novel yang beliau tulis ketika dipenjarakan selama 10 tahun di Pulau Buru.

Kini Pramoedya sudah berumur 80 tahun. Beliau baru menyambut ulang tahun kelahiran beliau pada 8 Februari lepas. Sudah tidak mampu menulis novel lagi. Hanya sesekali menulis esei. Beliau pernah dicalonkan Anugerah Nobel semenjak tahun 1981. Moga kita dapat melihat seorang Anak Nusantara menerima Anugerah Nobel sebelum beliau beredar pergi.

Februari 22, 2005

21 Feb 2005 Selesai Rumah & Jumpa Blogger

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 6:03 pm

.


Interior sebuah restoran di SS 13 Shah Alam

Apartment yang kami beli di Bandar Pinggiran Subang sepatutnya siap setahun lepas, tetapi lewat hampir setahun. Kalau ikut kontrak pemaju perlu membayar 10% penalti dari harga rumah. Tetapi, selalunya pemaju hanya akan membayar 50% sahaja dari jumlah itu. Berbagai alasan akan diberi. Nasib kami baik hari itu, kami diberi jumlah 60% dari itu. Bolehlah diguna untuk buat grill rumah.

Selesai urusan dengan pemaju, kami ke ejen hartanah di Subang Permai, bagi kunci untuk sama ada dijual atau disewa. Ejen nasihatkan kami untuk disewakan. Mana yang baiklah.

Kami dah janji nak singgah di opis Aida di Karangkraf. Lama dah teringin nak pergi, tapi tiada kelapangan. Akhirnya sampai juga kaki kami ke Karangkraf, suatu nama besar dalam penerbitan majalah dan tabloid di negara kita. Kalau tak salah antara penerbitan yang terawal adalah Mingguan Kanak-Kanak dan akhbar Watan. Rasa bangga dengan kejayaan usahawan Melayu meneroka bidang yang mencabar ini. Cantik opisnya dan ramah mesra anggota pekerjanya.

Akhirnya berjumpa juga saya dengan Salina Ibrahim, penulis novel yang blognya sering saya kunjungi. Apabila membaca blog beliau saya selalu bayangkan seorang yang garang dan agak berumur. Jangkaan saya meleset. Salina Ibrahim seorang yang penulis yang masih muda yang berperawakan menarik, dan saya percaya mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang penulisan novel. Terima kasih Salina sudi autograf novel Atas Nama Kasih. Sempat juga saya dan isteri berjumpa wartawan majalah Nur yang pernah kami kenal melalui e-mel.

Berdebar rasa hati nak jumpa penulis terkenal Sri Diah. Nama yang saya kenal seawal tahun 80-an bila akhbar Bacaria mula muncul di pasaran. Nama beliau begitu sinonim dengan Bacaria pada masa itu. Seorang penulis yang bermula dengan cerpen dan puisi, dan kini antara penulis novel terkenal negara yang telah banyak menghasilkan novel popular. Blog beliau tak perlu diperkenalkan lagi, majoriti blog bahasa Melayu mempunyai link ke blog beliau. Orangnya cantik nampak di foto, tetapi lebih cantik di luar. Ramah mesra orangnya, tak rasa kekok kami berbicara walaupun baru berjumpa. Terima kasih kerana sudi luang masa berjumpa kami.

Lebih menarik lagi EP juga ada di sana. Tak dapat dibayangkan kegembiran saya hari itu. Memang rezeki saya dapat berjumpa mereka. Blog EP adalah antara yang terawal saya pernah lawati. EP mahir menulis. Tulisan beliau ringkas tapi memberi kesan. Melayari blog EP pernah membuat jiwa jadi sayu. Terima kasih EP sudi bagi kami rasa bubur Asyura. Pertemuan ini akan sentiasa saya kenang. Berat hati mahu meninggalkan Karangkraf, namun hati rasa puas kerana dapat berjumpa Salina, Sri Diah dan EP.

Terimakasih juga Aida yang tak serik-serik mengajak Abang dan Kakaknya ke sana. Gembiranya kami sehingga terlupa untuk merakamkan foto kenangan.

Sebelum pulang sempat juga saya berjumpa dengan Pokku, blogger yang sering menulis tentang loghat Terengganu tetapi di dalam Bahasa Inggeris. Bukan senang nak bercerita tentang loghat Terengganu dalam Bahasa Inggeris. Membaca blog Pokku sangat menghiburkan. Tidak hairanlah jika beliau mempunyai ramai peminat yang telah mengundi blog beliau sebagai Blog Terbaik di Malaysia. Terima kasih Pokku atas pemberian CD Govi dan Kartina Dahari. Bukan senang nak cari CD Kartina Dahari!

Sempat juga kami ke Midvalley, dan makan Nasi lemak Rindu di Pantai Dalam sebelum pulang. Kami pulang ke Ipoh dengan rasa gembira, tak habis berbual sepanjang jalan sehingga tak sedar sudah sampai ke pintu rumah.

20 Feb 2005 – KL & Travel Fair

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:02 pm

.


MAS Travel Fair , pagi Ahad.

Tujuan asal kami ke KL hanya nak ke MAS Travel Fair pada hari Ahad dan berjumpa pemaju rumah baru kami pada hari Isnin. Kami bernasib baik, selesai semua kerja dan banyak perkara menarik yang sempat kami buat.

Ramai betul orang di MAS Travel Fair. Pening kepala melihat begitu banyak agensi pelancongan mempromosi pakej masing-masing. Sukar untuk membuat pilihan. Bayangkan ada 185 syarikat berasaskan pelancongan untuk dibuat pilihan. Ada berbagai jenis pakej pelancongan, dalam dan luar negeri. Ada satu agensi pelancongan yang menguruskan tour ke London untuk menyaksikan konsert Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall London. Khabarnya dah ramai yang menempah tiket. Hmmm.. setia betul peminat Siti, sampai ke London mereka ikut.

Tapi yang paling sibuk ialah kaunter menjual tiket MAS. Ramai yang ingin membeli tiket murah yang laku sehingga akhir bulan Oktober. Walaupun kaunternya saya kira lebih dari 20, masih orang perlu beratur panjang.

Nasib kami baik, kerana rumah Abang dekat dengan Mines. Tak sampai 10 minit berjalan kaki. Tak payah bersesak mencari parking. Cadangan asal nak cari tiket ke Bali, tapi akhirnya dapat pakej lain yang lebih best. Kalau tiada aral, bulan May dapat lah kami menyaksikan kehebatan dan keindahan tugu cinta Shah Jahan dan Mumtaz.

Petang Ahad tu kami nak ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, tapi semua jalan ke sana ditutup. Tak tahu mengapa. Jalan dari Dataran Merdeka, Jalan raja Laut dan Jalan Sultan Ismail ditutup untuk laluan. Kami terlepas peluang nak makan Nasi Beriani di Restoran Insaf. Saya terlepas peluang nak singgah di kedai buku Pustaka Indonesia di Wisma Yakin. Isteri saya terlepas peluang nak pergi shopping. Kecewa sungguh. Akhirnya, tak tahu ke mana kami hanya ke Ampang Park untuk mengalas perut. Jumpa kedai Paylessbooks tapi tak jumpa buku yang berkenan di hati. Kami beli novel terbaru Salina Ibrahim, Atas Nama Kasih sebelum ke Putrajaya.

Februari 19, 2005

19 Feb 05

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:09 pm

.

Lega rasanya bila Bos balik awal minggu ini. Bolehlah tinggal-tingalkan tempat kerja tanpa rasa risau. Sebulan lebih dia pergi UK dan Eropah. Business dan leisure. Saya dapat souvenir tie-clip gambar London Bridge dari Bos. Ingat juga dia pada orang yang cover tugas dia.

Petang ni cadangnya nak ke Kuala Lumpur. Nak pergi berebut di MAS Travel Fair di Mines. Belum tentu nak beli pakej, tapi kalau ada pakej yang bagus apa salahnya. Lagipun rumah Abang hanya beberapa langkah dari tempat tu.

Hari Isnin ambil cuti. Nak pergi menjenguk rumah baru di Bandar Pinggiran Subang. Hati masih berbelah bagi. Nak disewakan atau dijual sahaja. Kalau nak disewakan, kenalah keluar belanja untuk memasang grill, lampu dan sebagainya. Itu belum lagi diambil kira kerenah penyewanya nanti. Kalau jual tak payah pening kepala.

Dah terlanjur ke Kuala Lumpur, boleh juga singgah di Pustaka Indonesia atau ke Kinokuniya atau ke Midvalley. Boleh juga pergi mencari tempat makan sedap seperti Nasi Lemak Rindu atau Ayam Nara. Dengar khabar gerainya terbakar tempoh hari. Tak tahulah ada lagi atau tidak. Hmmmm. Kalau Aida belanja makan kat Muara malam ni pun best juga…

Banyaknya cadangan tapi belum tentu dapat pergi semua… 🙂

Februari 18, 2005

My Name Is Red – Orhan Pamuk

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 9:22 am

.

My Name Is Red
Orhan Pamuk

Buku ini telah lama saya beli dari Kinokuniya bersama beberap buah buku lain. Buku yang lain telah lama saya habiskan melainkan buku ini. Beberapa kali saya membaca kemudian terhenti di bab-bab yang awal. Mungkin kerana cara penceritaannya yang agak berlainan dari novel lain yang pernah saya baca.

My Name Is Red menggunakan gaya tulisan yang unik. Setiap bab dalam buku ini di tulis dari sudut pandangan karakter berlainan. Ada penceritaan dari sudut pandangan karakter utama seperti Black , Butterfly dan Shekure bahkan juga sudut pandangan dari seekor anjing dan pokok!

My Name is Red adalah sebuah novel tulisan novelis terkenal Turki, Orhan Pamuk. Karya beliau telah diterjemahkan ke lebih 20 bahasa. Orhan Pamuk telah mengambil masa 6 tahun untuk membuat kajian untuk menulis buku ini.

Bila membaca buku ini mengingatkan saya kepada novel Umberto Eco yang pernah saya baca, In The Name Of The Rose yang juga menceritakan tentang paderi Franciscan dan misteri pembunuhan di sebuah gereja di Itali di kurun ke 14.

Novel ini berlatarbelakangkan Turki di kurun ke 16 di zaman pemerintahan Kesultanan Uthmaniah. Baginda Sultan telah mengarahkan penciptaan sebuah karya agung dan telah menitahkan supaya Enishte Effendi mengumpulkan semua pelukis terhebat Turki untuk melahirkan karya tersebut.

Novel ini dimulakan dengan mengisahkan tentang kematian salah seorang pelukis projek ini dan misteri siapakah pembunuhnya. Novel ini tambah menarik dengan kisah cinta Shekure. Turut diselitkan juga persoalan budaya dan pola pemikiran berbeza antara timur dan barat. Persoalan melukis objek hidup dijadikan sebagai perlambangan perbezaan pendapat dan budaya antara pelukis Islam dan Eropah. Banyak unsur falsafah dalam lukisan yang disentuh oleh penulis. Terbukti Orhan Pamuk telah melakukan kajian yang mendalam sebelum menulis novel ini.

Februari 15, 2005

Rimba Harapan – SN Keris Mas

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 10:39 pm

.

Rimba Harapan
Kamaludin Muhammad@Keris Mas 1922-1992
Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20
Penerbitan bersama DBP dan Rhythm Consolidated Berhad
ISBN 983-137-844-X
266 ms
RM42.90 Kinokuniya

Seingat saya, Rimba Harapan adalah novel pertama SN Keris Mas yangpernah saya baca. Saya memang sangat meminati cerpen tulisan beliau. Keris Mas adalah merupakan pelopor Asas 50 yang menganggap bahasa dan sastera adalah senjata berkesan untuk perjuangan menuntut kemerdekaan dan keadilan. Saya masih ingat, setiap kali ke perpustakaan di sekolah, saya akan mencari antologi cerpen penulis ASAS 50, kerana saya boleh menghabiskan beberapa cerpen pada sesuatu masa.

Tulisan SN Keris Mas banyak mempersoalkan tentang ketidakadilan sosial dalam masyarakat. Membaca cerpen-cerpen beliau di zaman persekolahan telah banyak membentuk pemikiran dan tanggapan saya terhadap hidup dan perjuangan. Kisah suka-duka menuntut kemerdekaan juga keadilan banyak disajikan dalam cerpen-cerpen beliau.

Rimba Harapan mengisahkan kisah hidup penduduk di Ketari, Bentong dan Janda Baik dalam dekad 1920-an dan 1930-an. Ia kisah penghijrahan orang Melayu ke kampung baru, akibat dasar penjajah yang memaksa peluasan perladangan getah dan industri perlombongan di Tanah Melayu. Penjajah telah berjaya mempengaruhi dan memusnahkan kehidupan penduduk kampung lalu memaksa mereka lari meneroka hutan untuk membina hidup baru.

Oleh kerana bencana alam dan juga dasar penjajah British, orang Melayu lari ke Janda Baik dan meneroka hutan untuk memulakan hidup baru. Kisah kesusahan meneroka tanah baru memang begitu memberi kesan mendalam kepada yang membaca. Buku ini menceritakan tentang perubahan sosial yang dihadapi oleh masyarakat Melayu di tanah air mereka sendiri akibat dari pemodenan hidup. Bagaimana orang Melayu harus menyesuaikan diri untuk menghadapi perubahan sosial yang berlaku. Ini terseli di dalm dialog seperti antara Pak Kia dan anaknya Karim sewaktu mereke bersama-sama menerang tanah, meneroka hutan untuk dijadikan kampung halaman baru.

“Bila kau besar nanti ingatlah betapa susahnya mendirikan kampung halaman. Jangan sekali-kali mahu jadi macam sekarang ini, datang orang kaya-kaya, datang orang pandai-pandai kita dihalaunya dengan wang ringgit dan tipu muslihat…ingatlah kepada anak cucu supaya jangan mahu menjual kampung halaman. Jangan mahu terbuang sekali lagi.”(ms 162 -163)

Pengarang juga menyelitkan tentang amalan orang Melayu yang percaya kepada pawang dan bomoh dalam urusan hidup. Pawang dianggap seorang yang begitu berpengaruh dalam masyarakat. Turut diselitkan tentang pengaruh Kaum Muda dalam masyarakat.

Seingat saya juga, SN Keris Mas tidak banyak menulis novel. Namun, Rimba Harapan dianggap antara novel yang terbaik beliau selain novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Tidak hairanlah jika buku ini telah terpilih di antara 42 buah novel sepanjang zaman yang diterbitkan semula oleh Rhythm dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Usaha sama ini telah mengumpul kembali semua novel yang pernah diterbitkan dari tahun 1925 ke tahun1996 dan diterbitkan semula dalam edisi istimewa berkulit tebal. 42 buah novel ini dianggap sebagai karya terbaik pengarang Malaysia di abad ke 20.

Februari 12, 2005

Salam Maal Hijrah

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 10:45 am

.

Betul ke awak nak berhijrah? Bukan saya tak percaya, tapi tahun-tahun lepas pun awak kata nak berhijrah. Beria-ia betul bunyinya. Nak berhijrah dari dunia yang penuh noda dan dosa. Dah taubat. Tak nak lagi buat benda tak baik. Tak nak lagi tinggal solat. Tak nak lagi melawan perintah Yang Esa. Nak belajar ilmu agama dan mendekati masjid dan orang baik-baik. Insaf benar bunyinya awak bila mendengar bencana menimpa dunia dan manusia.

Tahun ini saya dengar sekali lagi awak kata nak berhijrah. Tahun ini betul-betul kata awak. Bukan main-main lagi. Umur dah lanjut. Dunia dah semakin ke penghujung. Tsunami hari tu satu petanda kata awak. Awak kata awak akan berubah, benar-benar berhijrah jadi insan yang mulia, meningalkan maksiat dan dosa.

Hmmmm. Perjalanan Hijrah awak masih jauh. Selagi hanya meniti di bibir, awak tidak kemana-mana. Hijrah perlu pengorbanan dan iltizam sungguh-sungguh. Yang penting, awak mesti mulakan langkah. Kalau tidak, tahun hadapan, kita akan mendengar senandung yang sama.

Apa-apapun saya ucapkan Salam Maal Hijrah. Semoga awak berjaya dunia dan akhirat.

Februari 7, 2005

Halim Yazid dan Dikirnya..

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:58 pm

.

Halim Yazid
Paradigma Lain
kompilasi klip video dikirfikir terbaik
Amalini Production 2004

Siapakah Halim Yazid? Nama itu mungkin tidak dikenali tetapi Halim Yazid sangat terkenal di pantai timur. Halim Yazid adalah seorang penyanyi. Penyanyi? Kenapa tak pernah dengar nama tu? Beliau tidak dikenali kerana genre muzik yang dipilihnya tak glamor.

Muzik dikir barat.

Album pertama Halim Yazid saya jumpa di Kota Bharu beberapa tahun lepas. Angin tajuknya. Saya terpaut dengan lagu Diri Ambo. Sungguh menyentuh perasaan. Hampir menitik air mata lelaki ini bila Halim mengisahkan kemiskinan hidupnya dalam menuntut ilmu. Tak ada duit untuk bayar yuran sekolah. Kisah ayahnya menjual tanah untuk biaya beliau menyambung pelajaran ke Universiti. Ya, Halim lulusan UM.

Begitulah uniknya lagu dikir barat moden nyanyian Halim Yazid. Kekuatan lagu terletak pada lirik loghat Kelantan, juga melodi yang selalunya diambil dari lagu popular sedia ada. Di samping itu juga menarik jika didengar lagu Oh Carol & Winds of Change dinyanyikan secara dikir barat.

Sewaktu ke Kota Bahru, 2 bulan lepas, sempat saya membeli satu VCD Halim Yazid, bertajuk Paradigma Lain. Produk ini adalah VCD pertama Halim Yazid. Di cover bahagian dalam VCD ini tertulis kerisauan Halim Yazid mengeluarkan VCD kerana katanya;

“kerja membuat video klip adalah sangat berbeza dengan menghasilkan dikir fikir kerana ia memerlukan ilmu asas, kepakaran, penghayatan, serta sentuhan dan aliran pemikiran yang berlainan. Kerja memindahkan makna dari lirik dikir kepada bahasa visual tidak semudah memacakkan kamera dan menyanyi sewenang-wenang di hadapannya. Ia memerlukan daya fikir dan proses penataan seni yang tinggi supaya makna dan rasional dari kedua-dua seni dikir dan cinematografi dapat diangkat dan digembeling secara kreatif dan berasas.”

Sayang tiada lagu Diri Ambo dalm VCD ini, namun kesemua lapan lagu dalam VCD ini tidak kurang menarik. Video klipnya juga sangat sederhana sesuai dengan kos perbelanjaan dan pasaran album ini. Halim Yazid sedar akan batasan geografi dan populariti yang membatasi pengedaran album beliau keluar dari Kelantan.

Hadirnya Halim Yazid adalah penting kerana beliau cuba lari dari dikir barat yang berbaur lucah. Lirik lagu dikir Halim Yazid kesemuanya membawa unsur kehidupan dan nasihat yang sesuai dan serasi dengan budaya timur.

Februari 3, 2005

Selasa bersama Morrie

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:01 pm

.

Dah lama tengok buku ini di kedai buku tapi tak beli, sehingga isteri saya beli dan baca. Isteri saya baca dahulu buku ini. Katanya macam buku Rich Dad Poor Dad. Tuesdays with Morrie telah menjadi antara buku terlaris di kedai buku ternama di negara kita juga di seluruh dunia. Apa yang menariknya tentang buku ini?

Tuesdays With Morrie adalah kisah benar penulis buku ini Mitch Albom dan bekas pensyarah beliau di kolej iaitu Morrie Schwartz. Beliau membuat temu janji untuk bertemu dengan Morrie setiap hari Selasa.

Setiap hari Selasa kemudiannya akan menjadi sesi yang menarik di mana Mitch akan bertemu dan belajar mengenai hidup dan kehidupan dari Morrie. Morrie akan bercerita bagaimana rasanya menghadapi zaman tua dan kesakitan. Mengajar bagaimana caranya untuk menghadapi kenyataan dan bersedia untuk bertemu dengan kematian.

Saya rasa buku ini mendapat tempat di barat kerana kejujuran Morrie bercerita tentang hari tua dan kematian. Mungkin satu perkara yang pelik bagi masyarakat barat untuk menghadapi kematian dengan tenang. Mereka telah biasa dengan sikap pantang maut sebelum ajal. Masyarakat materialistik dan takutkan mati tidak mahu berbicara tentang kematian. Mati dan hari tua adalah taboo. Mati adalah penamat kehidupan. Tua dan mati adalah tanda tamatnya perjuangan. Zaman tua adalah zaman merenung ke belakang. Tiada orang tua yang akan bicara tentang mengejar kerjaya, atau mengejar cita-cita.

Itu agaknya sebab buku ini popular. Kejujuran tentang mati. Tuesdays with morrie cuba untuk membuang stigma pembaca terhadap orang tua dan kematian. Satu lagi mungkin disebabkan gaya bahasa dan penggunaan ayat yang sangat sederhana. Buku ini hanya setebal 192 muka surat tapi boleh dihabiskan hanya dalam sehari dua sahaja.

Saya rasa saya lebih suka buku lain seperti siri Chicken Soup for the Soul yang mengandungi banyak kisah menarik tentang kehidupan juga kematian yang boleh mendatangkan kesan mendalam pada pembaca. Ataupun buku 7 Habits of Highly Successful People. Saya masih ingat lagi bab di mana pembaca diminta membayangkan hari kematian sendiri dan rakan taulan yang hadir. Masih saya ingat bab tu, walaupun dah lebih 10 tahun membacanya.

Sebagai seorang Islam, saya rasa membaca karya Imam Ghazali atau Ibn Qayyim akan lebih memberikan kesan jika ingin menghayati erti mati dan kematian, tentang roh dan persiapan menghadapi mati.

Apa komen peminat Mitch Albom?

Create a free website or blog at WordPress.com.