Jiwa Rasa Gelora

April 29, 2005

Taj Mahal Sebuah Tugu Cinta

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 8:41 am

.

Taj Mahal adalah sebuah tugu cinta, bukti kasih sayang seorang suami terhadap isterinya. Taj Mahal merupakan makam daripada marmar yang dibina oleh Sheh Jehan (1614-1666) sebagai memperingati kematian isterinya, Mumtaz Mahal.

Mumtaz meninggal sewaktu melahirkan anak mereka yang ke-14, di medan perang pada tahun 1529 ketika Shah Jehan berperang untuk meluaskan jajahan takluknya. Sebelum pergi meninggalkan suami tercinta, Mumtaz meninggalkan empat pesan pada suaminya. Yang pertama, untuk mendirikan sebuah makam indah yang tiada tolok bandingnya di dunia, yang kedua, tidak berkahwin semula selepas kematian Mumtaz, yang ketiga bersikap baik terhadap anak-anak mereka dan yang keempat menziarahi makam Mumtaz di setiap kali ulangtahun kematiannya. Shah Jehan melafazkan janji namun hanya mampu mengotakan janjinya yang pertama dan kedua sahaja di hayat beliau.

Kematian Mumtaz membuatkan Shah Jehan menjadi sangat murung sehingga rambutnya bertukar putih hanya dalam masa beberapa bulan. Hidupnya dihabiskan untuk mendirikan sebuah makam simbol tugu cinta agung terhada isteri yang tersayang.

Taj Mahal indah diperbuat dari marmar putih, bertahtah permata, bersegi lapan. Lebarnya 130 kaki dan tingginya 200 kaki. Ia mula dibina pada tahun 1631 dan mengambil masa 22 tahun dan 20,000 pekerja untuk menyiapkannya. Batu pasir merah, perak, emas, carnelian, jasper, batu bulan, permata jade, lapis lazuli, batu karang juga digunakan untuk membangun cinta itu. Ianya dikelilingi oleh kebun Persia, dilengkapi oleh kolam air dan deretan pohon cemara.

Kecantikan Taj Mahal disimpulkan oleh kata-kata Rabindranath Tagore,

Let the splendor of the diamond, pearl and ruby vanish like the magic shimmer of the rainbow. Only let this one teardrop, the Taj Mahal, glisten spotlessly bright on the cheek of time… Rabindranath Tagore

Shah Jehan mengimpikan untuk mendirikan sebuah makam dari marmar hitam untuk dirinya sendiri namun harapannya musnah bila beliau digulingkan oleh anaknya sendiri, Aurangzeb. Shah Jehan kemudiannya dipenjarakan di Kubu Merah yang terletak berhampiran dengan Taj Mahal. Akhir hayatnya dihabiskan dengan merenung Taj Mahal dari jauh melalui tingkap penjaranya, mengenang akan pemergian isterinya yang tersayang, mengenang kembali akan kisah hidup mereka berdua. Shah Jehan akhirnya
disemadikan di Taj Mahal disamping isterinya.

Jiwa & Suri akan meraikan ulangtahun kisah cinta kami yang ketujuh di Tugu Cinta Mumtaz dan Jehan. Akan kembali pada 7 may 2005.

Advertisements

April 26, 2005

Pesta Buku KL & Borders

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 12:57 pm

.

Ramainya orang di Pesta Buku hari Ahad itu. Kami sampai di PWTC hampir pukul 12 tengah hari. Nak cari parking pun susah.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur memang menjadi tumpuan peminat buku dari seluruh negara setiap tahun. Ianya menjadi tempat pencinta buku mencari buku dengan harga yang menarik. Antara gerai yang paling meriah setiap tahun adalah gerai Karangkraf dan Creative Enterprise. Kedua-duanya mendapat sambutan hangat kerana peminat buku ingin membeli novel-novel popular di pasaran.

Saya juga bertuah dapat berjumpa dengan rakan blogger yang juga peminat buku iaitu Iskandar. Baik dan peramah orangnya, banyak benda yang kami sembangkan. Moga kita jumpa lagi dan sambung cerita di lain kali.

Saya ke gerai Penerbitan UKM untuk mencari buku memoir tokoh-tokoh golongan kiri. Alangkah terkejutnya bila saya diberitahu yang buku-buku yang saya cari itu telah tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran. Menyesal pula rasanya kerana tidak membeli memoir tersebut lebih awal.

Hajat hati sebenarnya tidak mahu membeli buku, kerana mengenangkan susah jika nak bawa berpindah nanti, tapi biasalah peminat buku mana boleh tengok tanpa membeli. Akhirnya saya beli juga buku berikut;

Risalah untuk Kaum Muslimin tulisan Prof Naquib Al-Attas dari ISTAC.
Memoir Ahmad Boestamam dari Penerbitan UKM
Membujur Lalu tulisan Tan Sri Ali Hashim dari Penerbitan Utusan

Petang itu, kami naik monorel dari depan tempat penginapan kami di Pekeliling ke Stesen Imbi. Kali pertama naik monorel. Beruntung betul orang sekarang, dah ada monorel, senang nak pergi kerja. Zaman saya bekerja di Jalan Raja Chulan 10 tahun lepas, pengangkutan paling canggih ialah Bas Mini warna merah jambu. Kalau nak ke Bukit Bintang, saya selalunya berjalan kaki dari pejabat di Jalan Raja Chulan.

Rupanya, Stesen Imbi terletak betul di depan pintu Berjaya Times Square. Walaupun kompleks ini sangat besar, tiada yang menarik hati saya melainkan ingin melihat kedai buku terbaru di Malaysia iaitu Borders. Kedai Buku Borders di Kuala Lumpur adalah cawangan yang kedua di Asia selepas Singapura. Ia merupakan cawangan Borders terbesar di dunia dengan keluasan 60,000 kaki persegi.

Ia memang lebih luas dari kedai buku yang lain. Borders ternyata mengutamakan keselesaan pelanggan kerana jarak antara raknya yang luas, banyak tempat kosong yang membolehkan pembaca duduk di lantai.

Saya tertarik dengan sudut bargain corner yang menjual buku dengan harga yang murah, saya beli sebuah buku 100 puisi tekenal yang dijual hanya dengan harga RM17.90

Koleksi buku sejarah dan falsafah juga sangat banyak. Ianya disusun dengan meletakkan tanda sub-tajuk seperti Sejarah Eropah, Sejarah Amerika, agar memudahkan pembaca mencari buku yang diingini.

Saya cuma kecewa melihat koleksi buku mengenai Islam yang tak sampai pun satu rak. Banyak lagi koleksi buku agama lain. Koleksi buku Bahasa Melayu memang mengecewakan dan tidak langsung menarik minat saya.

Bagaimanapun saya suka dengan konsep Borders yang mesra pembaca. Pengunjung dibenarkan membaca buku di situ juga membawa buku itu ke Starbuck di dalam Bordes tanpa perlu membayar dahulu. Sofa yang selesa juga disediakan jika anda ingin membaca sepanjang hari. Saya pulang dengan dua buah buku, 101 Best-Loved Poems dan sebuah buku tulisan pemenang Hadiah Pulitzer, Jared Diamond, iaitu Guns, Germs, and Steel: the Fates of Human Societies.

Kami pulang ke hotel hampir pukul 10 malam. Nasib baik, kalau tidak melepaslah episod akhir, siri kegemaran The Apprentice.

April 22, 2005

Buku , Datang dan Pergi

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 9:27 am

.

Ada dua berita penting di akhbar hari Rabu lepas, tentang dunia perbukuan di Malaysia.

Berita pertama mengenai perasmian cawangan kedai buku sulung Borders di Malaysia. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Datin Seri Endon. Khabarnya, kedai buku yang terletak di Berjaya Times Square ini adalah cawangan Borders terbesar di dunia. Ianya berkeluasan 60,00 kaki persegi dan akan memuatkan lebih 200,000 judul buku. Satu berita baik untuk peminat buku. Harapan saya ianya tidak hanya menjual jenis buku yang sama seperti rangkaian kedai buku lain yang sedia ada. Saya juga mengimpikan buku berbahasa Melayu mendapat tempat di kedai ini.

Berita kedua yang tersiar di akhbar hari Rabu ialah berita pemergian pengasas Pustaka Antara ke rahmatullah. Datuk Abdul Aziz Ahmad yang juga pengasas dan Presiden Persatuan Buku Malaysia meninggal dunia dalam usia 84 tahun.

Beliau adalah seorang tokoh yang banyak berjasa kepada perkembangan Bahasa Melayu dan persuratan tanahair. Beliau merupakan usahawan buku Melayu pertama dengan wujudnya Pustaka Antara pada tahun 1953. Beliaulah yang mula mengedarkan buku penulis Indonesia seperti Hamka dan Pramoedya Ananta Toer.

Abdul Aziz pernah berjiran dengan A Rahim Kajai, Za’ba dan Ibrahim Yaacob dan berkawan dengan Tan Sri A Samad Ismail. Beliau juga mendapat pembantu yang gigih di Pustaka Antara iaitu SN ArenaWati yang banyak mengarang buku terbitan Pustaka Antara.

Sesungguhnya sumbangan beliau kepada negara amatlah besar. Buku-buku terbitan dan edaran Pustaka Antara telah memberi kekuatan dan menjadi pendorong ke arah perjuangan kemerdekaan.

Akan adakah anak bangsa yang akan meneruskan usaha beliau menerbitkan dan mengedarkan buku berbahasa Melayu yang boleh mengangkat martabat bangsa di samping memenuhi aspirasi agama, bangsa dan negara? Atau tugas ini akan diambil alih oleh kedai buku mega seperti Borders yang mengutamakan keuntungan komersil semata?

** Hari Sabtu ini akan berlangsung Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, selama seminggu dari 23 April hingga 2 Mei,2005. Saya akan ke sana Ahad ini.

April 18, 2005

Kuliah Ustaz Shamsuri Ahmad

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 9:07 am

.

Siri Kaset Kuliah Pengajian Ustaz Shamsuri Ahmad

Diterbitkan oleh:
Perniagaan Muaz
65, Wisma Sri Bunus
Off Jalan Mesjid India,
50100 Kuala Lumpur.
03-26970020

Penggemar kuliah agama di sebelah utara tentu sudah kenal benar dengan nama Ustaz Shamsuri Ahmad. Beliau adalah seorang guru agama yang mengajar di masjid-masjid sekitar pulau pinang. Beliau mempunyai anak murid yang ramai di seluruh negara. walaupun ada yang mungkin tidak pernah bersua muka dengan beliau. Ini kerana ribuan keping kaset pengajian beliau terjual di seluruh negara.

Ianya hasil dari usaha kreatif Perniagaan Muaz untuk merakamkan siri pengajian beliau di masjid-masjid di sekitar Pulau Pinang ke dalam bentuk kaset dan VCD. Kaset dan VCD ceramah beliau telah dipakej, diedar dan dijual ke seluruh negara dengan harga RM10 untuk 3 keping kaset. Sudah menjadi rutin saya setiap bulan, membeli kaset beliau di perkarangan Masjid Negeri Ipoh.

Kuliah beliau antara lain, menggunakan Kitab Bahrul Mazi, Kitab Muhimmah dan Tafsir Nurul Ihsan. Kitab Bahrul Mazi adalah karangan ulamak terkenal nusantara iaitu Sheikh Al-Marbawi, yang juga merupakan anak Asia pertama yang telah menyusun sebuah kamus Arab-Melayu yang dikenali dengan nama Kamus Al-Marbawi.

Mendengar kaset ceramah Ustaz Shamsuri bagai mengikuti pengajian di masjid. Kalau nak menunggu pergi ke masjid untuk menadah kitab, tak tahulah… mungkin memakan masa yang lama. Banyak benar alasannya..

Sesungguhnya, usaha merakamkan kuliah agama dalam betuk kaset yang tersusun dan berjilid ini adalah satu usaha murni, yang telah memberikan ilmu kepada ramai orang, terutama mereka yang sering memberi alasan tidak sempat mengikuti pengajian di masjid- masjid. Saya sendiri merasa bertuah kerana banyak ilmu yang saya dapat dari mendengar kaset Ustaz Shamsuri.

Sudah beratus kaset Ustaz Shamsuri telah saya miliki yang saya simpan dengan rapi. Kaset beliau sering menjadi teman setia saya di dalam kereta (di celah-celah kaset lagu artis kegemaran saya 🙂 ).

Apa sangatlah harga RM 10 untuk 3 keping kaset berbanding ilmu yang didapati. Nilai RM10 itu mungkin tidak dapat membeli sekeping kaset artis popular di pasaran. Namun, kadang-kadang jumlah sebegitu pun amat berat untuk kita keluarkan dan kita rela terus hidup dalam dunia kejahilan.

April 14, 2005

Hari-Hari Tertangguh..

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 4:26 pm

.

Opppsss..!

Terima kasih atas ucapan kawan-kawan. Nak minta maaf dari kawan-kawan. Atas kesilapan teknikal saya tangguhkan dulu posting semalam. Baru dapat call dari Big Boss minta saya tangguhkan pemergian ke tempat baru. Mungkin sebulan lagi. Bagus juga, ada masa buat persiapan, dan sempatlah saya bercuti panjang sebelum berpindah. Kebetulan rumah sewa pun belum dapat lagi.

Akan saya simpan rapi ucapan kawan-kawan, dan saya ulang baca bila masanya tiba nanti. 🙂 Terima kasih sekali lagi.

April 9, 2005

Tangisan Bangsaku

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 8:55 am

.

Judul : Tangisan Bangsaku
Pengarang : Arifin Ngah
Penerbit : Utusan Publishing & Distributors
Cetakan Pertama : 2004
Mukasurat: 341

Novel ini telah memenangi Hadiah Penghargaan Anugerah Sastera Darul Iman IV yang diselenggarakan oleh Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) bersama GAPENA. Novel ini menceritakan tentang perjuangan Tok Guru Abd Rahman Limbong dan watak-watak lain di sekelilingnya. Ianya adalah sebuah kisah benar yang kekal jadi sejarah. Kisah perjuangan kaum tani memberontak menuntut hak dan berjihad dengan darah dan air mata.

Novel ini mengisahkan tentang pemberontakan Tani 1928 yang dipelopori oleh Tok Guru Abd Rahman Limbong. Kebangkitan petani di Terengganu bermula pada tahun 1921 apabila penjajah British mahu mengenakan cukai tanah kepada rakyat yang mengusahakan tanah. Tok Guru Abd Rahman menentang undang-undang baru ini, kerana beranggapan undang-undang itu zalim dan bertentangan dengan Islam. Ini kerana umat Islam juga telah membayar zakat atas hasil tanaman. Penjajah British telah menggunakan pengaruh Sultan untuk melaksanakan undang-undang tersebut. Ianya dibantu oleh watak Melayu yang jadi talibarut penjajah dengan menjadi penghulu dan kerani Inggeris.

Penulis telah menulis novel ini dengan gaya penceritaan yang mudah dan menarik hingga menimbulkan keinginan kepada pembaca untuk mengenali lebih lanjut watak Tok Guru Abdul Rahman Limbong di dalam buku ini.

Tok Guru Haji Abdul Rahman Limbong adalah nama gelaran Haji Abdul Rahman Haji Abdul Hamid. Lahir sekitar tahun 1880an dan pernah mengaji di Mekah. Tok Guru Abd Rahman Limbong pernah berguru dengan Tokku Paloh, yang juga guru kepada Tok Kenali. Tok Guru Abdul Rahman Limbong adalah seorang yang sangat warak dan alim juga sangat dihormati oleh masyarakat di Limbong dan Telemong terutamanya. Haji Abdul Rahman Limbung telah memainkan peranan besar dalam masyarakat di Terengganu. Beliau bukan sahaja berperanan sebagai tokoh agama, malah juga mengambil berat tentang aktiviti ekonomi, sosial dan politik masyarakat setempat.

Beberapa siri pemberontakan telah berlaku di Terengganu dari tahun 1921 sehinggalah kemuncaknya pada tahun 1928 bila melibatkan angka korban dan kemusnahan yang banyak. Maka, pada 12 Zulhijjah 1436 bersamaan 2 Jun 1928, Sultan Sulaiman Shah, atas nasihat Inggeris, telah mengeluarkan titah supaya Haji Abdul Rahman dibuang negeri dari Terengganu atas kesalahan menderhaka kepada negeri dan Sultan.

Haji Abdul Rahman menafikan tuduhan tersebut kerana beliau bukan menderhaka, tetapi menentang sikap kerajaan dan raja yang telah diperbudakkan oleh penjajah Inggeris. Hakikatnya, Haji Abdul Rahman menentang pegawai-pegawai Inggeris yang mahu menindas rakyat untuk kepentingan British.Walaupun tidak mengaku bersalah, Haji Abdul Rahman Limbong menerima hukuman tersebut demi mengelak dari berlakunya huru-hara. Beliau telah memilih untuk tinggal di Mekah dan meninggal di Mekah pada tanggal 14 Jamadil Akhir 1348 bersamaan 16 November 1929. Maka berakhirlah perjuangan seorang tokoh agama yang ingin menegakkan kesucian agama dan menentang pengaruh barat yang cuba mengganggu-gugat kesucian Islam dan keimanan umat Islam di nusantara.

* Rujuk juga buku Pemberontakan Tani 1928 di Trengganu: Satu Kajian Ketokohan dan Kepimpinan Haji Abdul Rahman Limbong, tulisan Timah Hamzah, terbitan DBP.

April 4, 2005

Salam ulangtahun suri jiwaku

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 11:39 am

.

4 April, 2005

Suri jiwa,

Salam ulang tahun kelahiran jiwa ucapkan. Salam ini bukan untuk mengingatkan tentang usia yang semakin meningkat, tapi untuk mengenangkan kenangan manis di masa lalu juga masa-masa indah yang akan kita tempuhi di tahun-tahun yang mendatang.

Jika diri ini sehebat SN Usman Awang, akan jiwa tuliskan puisi sepuitis puisi Kekasih khas untuk tatapan surinya,

Kekasih

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu

Akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu

akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang
menudungi rambutmu

akan kujahit bayu gunung
menjadi baju
pakaian malammu

akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang
menyinari dadamu

akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu
menyuluhi rindu

akan kurebahkan matahari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu

kekasih,hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi…


SN Usman Awang

Jika jiwa sehebat M Nasir akan jiwa tuliskan lirik lagu sehalus lirik lagu Sentuhan Listrikmu..

Sentuhan Listrikmu

Bisakah aku bertanya padamu
Dari mana datang sayang ini
Dari redup matamu
Atau bisikan mesra

Adakah kerna sentuhan listrikmu
Membuat ku terus berjanji
Hati ini hanya untukmu saja

Sentuhanmu bukan datang dari
Dunia materi
Terasa ini pernah mengusikku
Bagai de javu

Ku rindu sentuhanmu
Ku damba sentuhanmu
Tiada lain yang ku inginkan
Hanyalah
Hanya sentuhanmu

Sentuhan Listrikmu
Lagu dan Lirik oleh M. Nasir © 1993
Luncai Emas Sdn. Bhd.

Jiwa tidak sepuitis itu. Hanya sekalung kasih untuk isteri tersayang, surijiwa. Selamat ulangtahun kelahiran. Moga tercapai segala hajat dan impian. Moga kita tabah menghadapi ujian dan dugaan, bersyukur atas nikmat dan kurniaan, redha atas segala kekurangan.

Semoga kita kekal bahagia di dunia hingga ke akhirat.

Blog di WordPress.com.