Jiwa Rasa Gelora

Mei 17, 2005

Taj Mahal…kemegahan tiada tandingan

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 11:26 am

.

Khamis 5 Mei, 2005 – Agra

Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Hajat dan impian untuk melihat sendiri kemegahan Taj Mahal akan tertunai sebentar sahaja lagi.

Sebagai usaha untuk menghindari dari pencemaran, semua kenderaan bermotor tidak dibenarkan menghampiri kawasan Taj Mahal. Bas kami berhenti di perhentian yang diperuntukkan lebih kurang 1 km dari luar pintu ke Taj Mahal. Dari situ pengunjung diangkut menggunakan bas berkuasa bateri ke pintu Taj Mahal. Tiket masuk ke Taj Mahal agak mahal. 750 rupee atau lebih kurang RM66 bagi pengunjung luar India. Pengunjung tempatan hanya dikenakan 20 rupee ataupun RM1.80.

Pintu masuk ke Taj Mahal dikawal begitu rapi. Setiap yang masuk akan diperiksa seluruh badan untuk memastikan tidak membawa senjata berbahaya, pisau, asid atau sebarang benda yang boleh merosakkan keaslian Taj Mahal.

Kami terpukau melihat keindahan hiasan taman semasa melalui pintu masuk ke Taj Mahal. Taj Mahal mempunyai tiga pintu masuk yang semuanya akan melalui ke Pintu Gerbang utama sebelum dapat melihat Taj Mahal. Di depan pintu gerbang Utama kami didatangi jurugambar professional yang menawarkan perkhidmatan dengan kadar 100 rupee sekeping (lebih kurang RM9).

Tiada kata mampu diungkap bila mata terpaku di hadapan tugu ini. Degupan jantung bagaikan terhenti. Bagai tak percaya Taj Mahal sudah di hadapn mata. Ada mata yang bergenang melihatkan keindahan yang terhidang di hadapan.

Pengalaman berjalan perlahan-lahan ke arah Taj Mahal adalah saat paling romantis bagi yang datang berpasangan. Ianya makin lama makin besar dan hebat di pandangan mata. Tersentuh jiwa melihat tulisan ayat Al-Qur’an yang terpampang di pintu Taj Mahal yang diperbuat dari marmar hitam.

Menatap Taj Mahal akan lebih menarik jika dilihat dengan jiwa dan rasa. Cuba melihat dan menghayati sejarah pembinaannya, menghayati kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal, juga mendalami sejarah kekuatan sebuah kerajaan Islam Mongul. Cuba bayangkan kita berada di zaman kegemilangan kerajaan Islam Mongul. Sudah tentu akan tambah rasa kagum kita pada keindahan dan kemegahan Taj Mahal.

Bagi mereka yang tidak mahu membaca, ianya hanya sebuah bangunan putih, tiada apa yang istimewa. Sebuah bangunan yang dibuat dari marmar putih dan di dalamnya terletak makam Shah Jahan dan Mumtaz Mahal.

Taj Mahal bukan sekadar sebuah lambang cinta. Taj Mahal adalah lambang kekuatan dan kemewahan seorang Raja yang beragama Islam. Selagi ada Taj Mahal, selagi itulah generasi akan datang akan terus diperingatkan bahawa India pernah menjadi jajahan takluk kerajaan Islam.

Taj Mahal mula dibina tahun 1631 dan mengambil masa 22 tahun untuk disiapkan oleh 20,000 orang pekerja. Ianya bersegi lapan dengan ketinggian 200 kaki.

Sayu rasa hati bila tiba masanya untuk meninggalkan Taj Mahal. Rasa tidak mahu melepaskan pandangan mata dari melihat dan merenung kemegahan Taj Mahal. Begitulah agaknya perasaan Shah Jahan yang menghabiskan hayatnya merenung Taj Mahal dari Agra Fort.

Kami ke Agra Fortkemudiannya, melihat tempat Shah Jahan menghabiskan hayat terakhir beliau. Melihat anjung bilik di mana beliau menghabiskan setiap detik waktu merenung Taj Mahal. Shah Jahan tidak dapat menunaikan janji beliau kepada Mumtaz Mahal untuk sentiasa menziarahi makamnya setelah beliau tiada. Shah Jahan telah digulingkan oleh anaknya sendiri, Aurangzeb, dan tidak dibenarkan keluar dari istana beliau di Agra Fort.

Dalam hati saya berkata…. satu hari nanti, jika diizinkan, kita akan bertemu lagi Taj Mahal!

Lihat gambar Taj Mahal dan Agra Fort di sini.

1 Komen »

  1. hi, hi, hi! Beautiful site.

    Komen oleh Petro — Julai 9, 2007 @ 5:02 am


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: