Jiwa Rasa Gelora

Jun 29, 2005

Jiwa Rasa…muda?

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 9:42 pm


.

Eh, dah setahun dah rupanya usia blog ni. Saya tak perasan! Posting pertama saya di blog ini pada 22 Jun, 2004. Mulanya hanya suka-suka. Orang tulis kita pun teringin nak tulis.Tak sangka boleh bertahan hingga kini. Mungkin kerana dunia blog telah menemukan saya dengan ramai rakan yang berkongsi cerita di alam maya. Walaupun tak pernah bertemu tapi bagai dah kenal lama.

Saya turunkan semula posting saya yang pertama, setahun yang lepas;

Tuesday, June 22, 2004

Kenapa Jiwarasa?
Jiwa adalah harta yang tiada ternilai mahalnya. Kesucian jiwa menyebabkan kejernihan diri, lahir dan bathin. Itulah kekayaan sejati.

`Beberapa banyaknya orang yang kaya harta, tetapi mukanya muram, dan beberapa banyaknya orang yang miskin uang, tetapi wajahnya berseri. Sekadar kekuatan dan usaha diri, begitu pulalah tingkatan kesucian yang akan ditempuh jiwanya.’
– petikan HAMKA dari Tasauf Moderen

Jiwa yang kuat perlu sensitif kepada persekitaran. Jiwa yang murni akan merasa resah dan gelisah dengan ketidakadilan, kesengsaraan, kebiadaban dan ketololan manusia.

Jun 21, 2005

Catatan Perjalanan Che Guevara

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:45 pm

Image Hosted by ImageShack.us

Siapa yang tidak kenal dengan wajah Che Guevara, wajah yang sudah jadi seperti ikon kepada remaja di merata dunia. Wajah beliau yang memandang jauh ke hadapan sering menjadi hiasan di T-Shirt anak-anak muda. Memakai baju T berwajahkan Che Guevara mungkin melambangkan jiwa memberontak seorang muda. Itupun jika mereka kenal siapa itu Che Guevara. Ramai yang memakai T-shirt berwajah Che Guevara tanpa mengenali siapakah sebenarnya beliau. Che Guevara adalah satu tokoh besar dalam perjuangan gerila di Amerika Selatan.

Buku The Motorcycle Diaries tulisan Che Guevara ini telah lama saya cari tetapi hanya saya jumpa di Janpath, Delhi. Buku ini menjadi popular selepas difilemkan baru-baru ini. Saya mungkin tidak setuju dengan anutan politik Che Guevara, tetapi saya kagum dengan kesungguhan beliau menggerakkan massa dan kesungguhan beliau memperjuangkan pegangan beliau. Ada beberapa lagi buku Che Guevara yang saya jumpa di kedai yang sama tetapi saya tidak beli. Menyesal pulak rasanya tak beli.

Image Hosted by ImageShack.us
kulit buku

The Motorcycle Diaries adalah sebuah catatan perjalanan yang ditulis oleh Che Guevara 8 tahun sebelum revolusi Cuba. Ianya mengisahkan tentang seorang pemuda berusia 23 tahun, Ernesto Che Guevara dan rakannya Alberto Granada yang mengelilingi Amerika Selatan menggunakan sebuah motorsikal Norton yang digelar La Poderosa. Che adalah sorang penuntut perubatan dan Alberto pula seorang biochemist.

Perjalanan mereka merentasi Argentina, Chile, Peru dan Venezuela menyaksikan bagaimana susahnya hidup masyarakat sewaktu itu. Che melihat kesusahan hidup dan kemiskinan yang melanda rakyat Che Guevara berpendapat hanya perjuangan revolusi dan secara gerila dapat menyelamatkan rakyat dari belenggu kemiskinan dan cengkaman kapitalis di Amerika Selatan. Perjalanan ini telah mencorakkan pemikiran Che Guevara dalam memilih jalan perjuangannya di kemudian hari.

Catatan perjalanan Che Guevara ini penuh dengan peristiwa dan penemuan menarik. Mereka mengembara dengan belanjawan terhad dan sentiasa berharap ada tempat untuk makan dan tumpang bermalam keesokan harinya.

The Motorcycle Diaries telah memperlihatkan sosok kemanusiaan seorang Che Guevara. Beberapa tahun kemudiannya, Che Guevara dikenali ramai sebagai seorang tokoh revolusi politik dan muncul sebagai tokoh penting yang membantu Fidel Castro mendapat kuasa di Cuba pada tahun 1959. Beliau meninggalkan pangkat dan jawatan dalam kabinet Castro pada tahun 1966 dan mula melancarkan revolusi di negara lain, bermula di Congo dan seterusnya Bolivia.

Riwayat Che Guevara berakhir di tahun 1967 apabila beliau ditangkap dan dibunuh dalam satu operasi tentera di hutan Bolivia. Kematian telah mengambil jasadnya, namun semangat beliau terus hidup dihayati dan disanjung oleh pejuang sosialis dan kemanusiaan di seluruh dunia. Wajah Che Guevara kekal sebagai seorang hero perjuangan sosialis dunia ketiga hingga ke hari ini.

Jun 15, 2005

Lima Syair Tentang Warisan Harta

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 9:04 pm

.

LIMA SYAIR TENTANG WARISAN HARTA

(I)
Inilah syair pertama tentang secercah sejarah
Mengenai nabi Muhammad menjelang wafat
Ketika sakit beliau sudah terasa berat
Pada tabungannya yang sedikit jadi teringat
Menyedekahkannya belum lagi sempat
Maka Rasulullah berkata pada Aisyah
“Aisyah, mana itu ashrafi?
Berikanlah secepatnya pada orang tidak berpunya
Bila masih ada harta kutinggalkan
Di rumahku ini, pasti itu bakal jadi rintangan
Dan aku tak aman menghadap Tuhan.”
Sesudah tabungan itu dibagikan
Maka wafatlah beliau dengan aman

(II)
Inilah syair kedua tentang Khalid bin Walid
Perwira tinggi yang amat gagah berani
Seorang jenderal pertempuran yang sejati
Caranya mati dia sesali sendiri
Karena bukan gugur di medan pertempuran
Tetapi karena sakit, mati di atas dipan
Mengenai harta benda yang dia tinggalkan
Hanya tiga jenis macamnya :
Sebilah pedang
Seekor kuda
Dan seorang pembantu rumah tangga

(III)
Inilah syair ketiga tentang Umar yang perkasa
Yang pernah menaklukkan persia dan roma
Yang kilatan pedangnya menggoncang kerajaan demi kerajaan
Yang perkasa, kaya serta berkuasa
Tetapi sesudah dia tiada lagi bernyawa
Warisannya Cuma sehelai baju
Terbuat dari kain yang kasar
Dan uang lima keping
Seharga lima dinar

(IV)
Inilah syair keempat tantang Aurangzeb
Penguasa imperium Mughal di India
Luas dan jaya kerajaannya
Adil serta merata kemakmurannya
Dan ketika dia pergi menghadap Tuhan
Dia meninggalkan dua warisan
Pertama, uang sebanyak empat rupi dua ama
Hasil penjualan kopiah jahitannya
Kedua, uang sebanyak 305 rupi
Upah menyalin Quran dengan tangan
Dan semua uang itu kemana pergi
Pada rakyat yang miskin habis dibagi-bagi

(V)
Inilah syair kelima tentang Sultan Shalahuddin
Pahlawan perang yang sangat harum namanya
Raja dari kawasan yang sangat luasnya
Sultan dari kerajaan yang amat makmurnya
Dan dia, pada hari wafatnya
Tidak mewariskan harta benda suatu apa
Karena seluruhnya sudah habis disedekahkannya
Pada kawula fakir miskin yang lebih memerlukannya
Sehingga biaya pemakamannya
Adalah urunan dari sahabat-sahabatnya
Dan ada rakyat yang menyumbangkannya batang-batang jerami
Sebagai pagar dari makamnya

Malu (Aku) Jadi Orang Indonesia
Seratus Puisi Taufiq Ismail

Saya suka puisi Taufiq Ismail, seorang penyair terkenal dari Indonesia. Puisi beliau tentang harta memberikan kesan yang sangat mendalam. Mengenangkan kehebatan pemimpin zaman silam yang tidak tergugat dengan kilauan emas dan permata.

Saya sering bertanya diri sendiri, ada lagikah pemimpin sebegini rupa di zaman ini, yang tidak terhimbau dengan kilauan harta. Wujudkah pemimpin yang ikhlas berkhidmat kerana Allah dan megharapkan keredaan dan ganjaran dari Allah semata-mata? Menjaga harta rakyat dan negara dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab, menyedari setiap nasi yang disuap akan ditanya oleh Allah di kemudian hari?

Bukan senang untuk menghadapi cubaan bila segala-galanya terbentang di depan mata. Satu hayunan tinta boleh menggadaikan nusa dan bangsa. Khazanah bangsa boleh surut jika rapuh iman di dada. Bila sudah memegang kuasa, siapa yang berani menegur sebarang angkara? Semua yang dibikin, diiya sahaja.

Tak perlu kita bicara tentang pemimpin di peringkat negara. Baru jadi kerani menguruskan pembelian untuk syarikat sudah tergugat diri dan goyah iman di dada. Syarikat rugi tetapi dia senang hati memewahkan diri, dari sumber yang tak siapa ketahui. Tanpa disangka sebenarnya dia mengabdikan diri, pada nafsu serakah memakan diri, yang akan disoal di akhirat nanti.

Ramai orang boleh bertahan dengan ujian kemiskinan dan kepapaan, tetapi tidak ramai yang boleh bertahan dengan ujian kesenangan. Ramai yang sanggup berjuang untuk Allah ketika susah, tapi alpa dan lupa diri bila sudah senang.

Moga Allah limpahkan hidayah dan suluhkan jalan untuk kita bagi meneruskan perjalanan di dunia yang penuh cubaan ini.

Jun 10, 2005

Dari Ipoh ke BM ..

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 9:02 am

.
Image Hosted by ImageShack.us

Sudah 2 minggu saya bertugas di Bukit Mertajam. Masih ada rasa kurang selesa. Maklumlah tempat baru. Duduk berjauhan dengan isteri pula tu. Tak ada orang yang nak saya usik. 😉

Saya beruntung juga senang dapat rumah sewa. Dapat nombor telefon dari jaga di bawah, telefon tuan rumah dan terus setuju. Dah lama tak duduk rumah yang ada lift. Nak merasalah kononnya. Kata jiran sebelah rumah, penghuni sebelum ini doktor, tetapi pindah ke rumah lain selepas berlaku gegaran dahulu, takut agaknya. Dari rumah saya di Tingkat 11, terhidang pemandangan indah bendang yang menghijau. Kawasan ini baru dibangunkan dan masih dikelilingi oleh sawah padi. Sudah menjadi rutin saya setiap pagi dan petang untuk termenung di tepi balkoni mencuci mata melihat bendang yang sedang menghijau.

Dah lama tak berpeluang tulis di blog kerana belum boleh guna PDA saya. Baru semalam saya berjaya synchronize PDA dan PC saya. Selalunya saya akan tulis posting di PDA dan akan post menggunakan PC.

BM tak jauh dari jambatan Pulau pinang. Tak sampai setengah jam dah sampai ke sebelah sana jambatan. Cuma berlaku sedikit kesesakan pada waktu puncak, iaitu waktu pergi dan pulang dari kerja.

Yang menarik di BM, pekan ini di kelilingi oleh jalan keretapi. Seringkali perjalanan masuk ke pekan BM terpaksa menunggu keretapi lalu dahulu. Di sini masih menggunakan pagar yang ditutup secara manual.

Mula-mula ini, hampir setiap hari saya mencuba nasi kandar. Ternyata rasa nasi kandar di Pulau Pinang agak berlainan dari di Ipoh. Mungkin adunan rempahnya yang istimewa. Rutin saya juga mencari tempat makan yang best di sini. Setiap malam mencuba gerai yang berlainan. Tempat tinggal saya d sini juga berdekatan dengan sebuah Politeknik, jadi ramai juga pelajar-pelajar di kawasan ini.

Besok hari Sabtu, hari yang ditunggu, nak balik ke Ipoh….ye

Create a free website or blog at WordPress.com.