Jiwa Rasa Gelora

Januari 27, 2006

The Al Hambra

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 3:20 pm

Akhirnya buku Al Hambra tulisan Washington Irving telah selamat saya terima. Terimakasih hellikonia, kerana tolong belikan dan hantar. Sudah bertahun saya mencari buku ini di merata rak kedai buku di KL, tapi tak ketemu. Rupanya ada dijual di Muzium Kesenian Islam!

Washington Irving terkenal dengan kisah Sleepy Hollow dan Rip Van Winkle. Beliau jatuh cinta dengan Al-Hambra, tinggal beberapa minggu di situ, lalu mula menulis tentang keindahan Alhambra pada tahun 1828. Beliau juga menulis buku Conquest of Granada yang saya simpan dalam PDA saya dalam bentuk ebook.

Sebenarnya saya sudah lama mencari buku ini, kerana kekaguman saya kepada sejarah kegemilangan kerajaan Islam Andalusia. Apapun yang berkenaan dengan Andalusia menarik perhatian saya. Sejarahnya, senibinanya, bahasanya, orangnya, hatta muziknya. Seingat saya banyak kali juga saya menulis di sini tentang Andalusia, terutamanya tentang muziknya yang jika dikaji, mungkin berasal dari orang Islam.

Sejarah kegemilangan Islam di Sepanyol dirintih oleh Tariq bin Ziad & Musa b Nusair pada tahun 710. Islam tersebar ke seluruh Sepanyol hingga ke selatan Perancis. Kerajaan Islam memerintah selama 700 tahun di Sepanyol. Islam gemilang, ketika dunia dan Eropah melalui Zaman Gelap. Budaya ilmu subur di bawah pemerintahan Islam. Beribu buah perpustakaan telah wujud di Andalusia.

Al-Hambra adalah istana peninggalan pemerintah Islam terakhir iaitu Abu Abdillah ataupun Boabdil. Ianya dari perkataan Arab Al-Hamra bermaksud `merah’, kerana warna bangunannya yang kemerah-merahan. Ianya diserahkan oleh Boabdil kepada Raja Ferdinand dan Isabelle pada 2 Januari, 1492. Tahun yang sama Christopher Columbus memulakan pelayaran menjelajah dunia.

Bermulalah zaman penghapusan orang Islam yang dipanggil Spanish Inquisition. Orang Islam dipaksa menukar agama kepada Kristian Katolik. Mereka yang enggan diusir ke Maghribi. Ada yang enggan berhijrah dan mengaku menukar agama kerana takut dibunuh tetapi masih mengamalkan cara hidup Islam dan digelar orang Morisco. Akhirnya pada tahun 1616 umat Islam benar-benar terhapus apabila beratus ribu Morisco ini diusir keluar.

Al-Hambra kini tinggal jadi batu nesan, mengenangkan Umat Islam tentang keagungan Islam di masa silam. Islam akan berkembang, jika penganutnya berpegang teguh kepada syiar dan syariatnya, berpaut kuat dengan Al_Qur’an dan Sunnah Nabi. Sejarah Andalusia dan Al-Hambra jadi peringatan kepada umat Islam, agar jangan tersilau dengan kilauan harta dan kemewahan dunia, hingga meninggalkan suruhan agama. Akhirnya umat Islam menjadi hina.

Bacalah buku Islam in Andalus bagaimana umat Islam dibunuh dan diusir keluar dari Sepanyol. Atau buku Moorish Spain tulisan Stanley Lane Poole, yang juga masih belum saya ketemu.

Selamat menghayati Maal Hijrah 1427

Januari 20, 2006

Buku Lagi…. di Pustaka Antara

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:34 pm

Kadang-kadang saya takut kalau singgah ke kedai buku. Kenapa? Kerana takut saya akan terbeli buku baru, walaupun saya ada berpuluh buku yang masih belum dibaca di rumah. Itulah yang terjadi bila saya singgah di Pustaka Antara Selasa lepas.

Meeting di Menara Pan Global pagi itu cepat pula habisnya. Belum pukul 12 sudah selesai. Masa masih terluang, sebelum pulang ke Ipoh. Saya lalu berkira samada mahu ke Kino di KLCC, Skoob di PJ atau Borders di The Curve. Pustaka Indonesia baru sahaja saya ziarahi. Ada satu lagi kedai buku yang dah lama saya ingin pergi tapi belum kesampaian. Pustaka Antara di Kompleks Wilayah. Dah lama berhajat nak pergi, tetapi lokasinya tak menarik. Tiada tarikan lain di tempat itu, melainkan sup kambing di Jalan Doraisamy berhadapan Kompleks Wilayah yang hanya dibuka di waktu malam. Pustaka Antara saya tuju, kerana ianya yang terdekat dari Jalan Sultan Ismail terus ke Jalan Campbel.

Ada masanya kita beli buku kerana kita mahu membaca dan menghabiskannya. Tapi, ada buku yang kita beli, kerana buku itu susah dijumpa di tempat lain. Kita beli sebab takut tak jumpa lagi di kemudian hari. Saya beli Buku di Pustaka Antara kerana itu. Sebahagian dari buku yang saya beli adalah buku terbitan Pustaka Antara yang sudah tidak diterbitkan lagi. Sebahagian yang lain adalah buku dari Indonesia yang agak sukar dijumpai di tempat lain. Kalau nasib baik, mungkin boleh dicari di Pustaka Indonesia, ataupun mungkin di MPH Alamanda.

Pustaka Antara memang mempunyai koleksi buku berbahasa Melayu yang banyak. Ada banyak karya Pramoedya dan karya sastera lain, baru dan lama. Koleksi bukunya setanding dengan Pustaka Indonesia, walaupun harganya relatif mahal sedikit dari Pustaka Indonesia. Pekerjanya juga kurang mengenal dan menjiwai buku-buku di situ. Tiada yang saya lihat mengambil peluang membelek dan membaca buku. Saya bertanya tentang buku quartet Pulau Buru, karya Pramoedya. Jawapannya mengecewakan, walaupun ada dua rak penuh buku Pramoedya di situ. Kata seorang pekerja di situ, dia pernah cuba baca satu buku Pramoedya, tetapi tak faham kerana susah bahasanya, kata dia.

Kadang-kadang, saya rasa geram dengan sesetengah pengusaha kedai buku yang membuka kedai buku yang tidak mesra pembaca. Buku dibalut, menyusahkan kita untuk melihat Prakata dan Daftar Kandungan buku, tidak dapat merasa dan bermesra dengan bentuk dan gaya tulisan dan keharuman bau buku yang ingin dibeli. Mereka juga mengambil anak muda yang tidak menghargai buku sebagai pekerja. Nasihat saya kepada anak muda yang ingin mencari pekerjaan, janganlah bekerja di kedai buku jika anda tidak suka buku. Anda hanya akan menganiaya pengunjug bila tidak tahu apa yang anda jual. Carilah kerja di kilang dengan gaji yang lebih lumayan.

Ini senarai buku yang saya beli di Pustaka Antara.

1. Ziarah – Iwan Simatupang
2. Saman – Ayu Utami
3. Anak Semua Bangsa – Pramoedya Ananta Toer
4. Kegilaan dan Peradaban – Michel Foucault (terjemahan Madness & Civilization)
5. Perayaan Kesadaran – Sebuah Panggilan untuk Revolusi Institusional Ivan Illich (terjemahan Celebration of Awareness: A Call for Institutional Revolution)

6.
Al-Imam : Its Role in Malay Society 1906-1908 – Abu Bakar Hamzah
7. Kebangkitan dan Pembaharuan di dalam Islam – Fazlur Rahman (terjemahan)
8. Hikayat Faridah Hanom – Syed Sheikh Al Hadi

9. Polemik – H B Jassin

Satu lagi perkara yang mengharukan. Saya berjumpa sebuah buku yang begitu lama saya cari tapi tidak berjumpa. Saya tidak jumpa buku ini di Amazon.com. juga di semua kedai buku ternama di tanahair. Buku tulisan Washington Irving bertajuk Tales of Al-Hambra. Harganya hanya RM30. Terus saya sambar dan peluk, bila berjumpa buku itu. Bagai bertemu sahabat lama.

Malangnya kegembiraan saya terhenti bila diberitahu harganya adalah 30 pound sterling, bukannya RM30. Lebih kurang RM250 duit Malaysia. Terkedu. Belum sanggup untuk membayar sebanyak itu untuk sebuah buku. Saya letakkan kembali buku itu di rak. Sedih, tapi lega kerana akhirnya berjaya juga menatap dan memegang buku tersebut. Saya akan datang kembali. Moga buku itu masih belum ada yang punya.

Januari 16, 2006

Wilayah Kutu

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 10:23 am

Wilayah Kutu
Penerbit : Neohikayat Press, Kuala Lumpur
http://www.neohikayat.com
ISBN 983-4255-50-0
Edisi pertama 2005

Tak patut sangat kalau saya tak komen mengenai buku ini. Sebuah buku yang menghimpunkan penulis muda berbakat tanahair. Wilayah Kutu menghimpunkan karya 8 penulis muda yang nenyumbangkan cerita pendek, puisi juga cerita bergambar.

Di kulit luarnya tertulis ‘himpunan suara anak-anak muda dari frinjan’. Tak payahlah cari makna frinjan di dalam Kamus Dewan. Ianya bukan bahasa Melayu atau Jawa. Saya tak jumpa maknanya dalam kamus Dewan Edisi Ketiga (yang saya beli murah, hanya RM15 di kedai DBP di BM). Saya andaikan Frinjan datang dari perkataan Fringe yang bermaksud sampingan. Jadinya buku ini adalah himpunan tulisan anak muda yang mungkin bukan bersifat mainstream, mungkin terpinggir, penting tetapi tidak semestinya mewakili gambaran keseluruhan anak muda.

Baik saya tuliskan nama-nama mereka agar kita tidak lupa. Mereka adalah Ruhayat X, Dhojee, Sufian Abas, Danny Lim, Jerome Kugan, Fahmi Fadzil, Saifullizan Tahir dan Nizam Zakaria. Perhatikan nama-nama mereka. Nama-nama ini akan jadi satu nama besar di dunia penulisan jika mereka terus menulis dan memperhaluskan bakat mereka. Buku ini saya beli dari Sufian Abas yang juga punya blog yang bagus walaupun sering menulis perkara yang sukar difahami kebanyakan orang.

Saya habis buku ini dalam masa beberapa hari sahaja, kerana memang sukar untuk berhenti dari membaca. Buku ini jadi pilihan nombor satu saya untuk menghiasi rak buku di kamar mandi. Bukan mahu merendahkan taraf buku ini, sebab kamar mandilah tempat paling produktif bagi saya untuk menghabiskan koleksi bacaan.

Membaca Wilayah Kutu bagaimembaca skrip dari filem noir, banyak membicarakan tentang sisi gelap masyarakat, banyak watak gelap, ganas, buruk yang kita tidak jumpa dalam karya lain yang banyak di pasaran. Kisah transexual bagai menjadi latar pilihan. Kisah lain yang menarik perhatian saya adalah seperti kisah pengundi hantu, kisah seram di perpustakaan, juga kisah anak berkepala anjing. Ada cerita yang berlapis maknanya, ada juga yang selapis. Pandai-pandailah baca dan faham sendiri.

Buku ini tidak sesuai untuk yang berumur 27 ke bawah. Mungkin itu maksud tulisan di kulit depan buku ini yang tertulis 27SX Sesuai untuk minda matang sahaja. Memang buku ini tidak sesuai untuk pembaca yang belum baligh, kerana membacanya akan mempercepatkan proses meningkat dewasa. Banyak sangat kalimah dan ayat-ayat yang tidak sesuai didengar atau dijadikan teks ucapan dalam majlis rasmi.

Saya rasa terganggu bila membaca cerita dalam buku ini, macam tengok filem noir. Terganggu tapi juga rasa terlagi-lagi, rasa tidak puas.

Mereka semua sangat berbakat. Sayang sangat jika dipersiakan. Lebih sayang lagi jika tidak dimanfaatkan ke arah kebaikan. Saya harap dapat membaca lagi tulisan mereka. Teruskan menulis.

Belilah buku Wilayah Kutu di sini
Sufian Abas
neohikayat

Januari 6, 2006

Dr Ali Shariati & Falsafah Haji

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 3:41 pm

Tajuk : The Hajj
Penulis : Ali Shariati (with photographs)
Paperback (IBT)
222 pages
ISBN 9839154486

Buku ini adalah salah satu buku yang sangat memberi kesan kepada saya. Pertama kali saya membaca buku ini lebih dari 10 tahun lepas. Saya baca buku terjemahan bahasa Indonesia di perpustakaan di universiti. Saya masih ingat saya selesai membaca buku ini dalam masa berapa jam sahaja, sementara menunggu antara kuliah.

Kini, saya miliki buku ini dengan membeli secara online dari Islamic Book Trust, sebuah syarikat buku, yang menjual buku agama berbahasa Inggeris secara online.(pejabatnya satu bangunan dengan kedai buku terkenal SKOOB di PJ)

Buku The Hajj telah memberikan satu perspektif baru kepada saya mengenai Haji. Dr Ali Shariati adalah seorang cendekiawan Islam yang terkenal di seluruh dunia. Lahir dan besar di Iran, lulusan doktor falsafah dari Universiti Paris. Beliau mati dibunuh dalam tahun 1977, sejurus sebelum berlakunya Revolusi Islam, Iran.

Tulisan Ali Shariati banyak membuka pemikiran saya tentang betapa dinamiknya agama Islam. Ali Shariati menegur golongan cendekiawan Islam, intelektual dan alim ulamak yang cuba mengasingkan diri dari masyarakat. Intelektual yang sebenar ialah mereka yang hidup dan mati di tengah masyarakat, mendidik dan membimbing mereka ke arah yang benar. Intelektual yang berbahasa rakyat, dan menggunakan bahasa yang mudah untuk menyampaikan ilmu dan dakwah, bukan menggunakan istilah akademik yang dia sendiri pun tak faham. Intelektual yang bergelumang dengan susah payah rakyat bukan bersembunyi di balik tembok mahligai gading. Beliau telah mempopularkan istilah raushan-fikr bagi intelektual yang sebegini.

Buku ini berlainan dengan buku lain mengenai ibadah Haji. Ali Shariati cuba menghuraikan falsafah di sebalik ibadah Haji. Ternyata, ibadah Haji bukan sekadar satu ritual. Banyak falsafah yang terkandung di sebalik ibadah itu. Haji adalah lambang kesatuan Ummah, lambang kerendahan diri dan ketinggian Iman.

Haji bagi Shariati bagaikan sebuah drama. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, Hajar dan Syaitan sebagai karakter utama. Lokasinya adalah Masjidil Haram, Arafah, Mahsyar dan Mina. Ka’bah, Safa, Marwah dan ritual Haji sebagai simbol. Ihram sebagi kostum utama.
Pelakon utama dalam drama in menurut Shariati, adalah kita, dan hanya kita, iaitu setiap seorang yang mengerjakan haji.

Ritual melontar juga membawa falsafah yang mendalam, menurut Shariati. Ianya adalah simbolik menolak dan memusnahkan 3 jenis berhala dunia iaitu Fir’aun (lambang kezaliman dan penindasan) Bal’am (lambang hipokrasi) dan Qarun (lambang kapitalism). Ibadah Melontar bagi Shariati adalah lambang perjuangan berterusan untuk membenteras kezaliman dan penindasan, hipokrasi dan kapitalis yang menindas.

Haji menurut Dr Shariati, ” is a show of creation, a show of history, a show of unity, a show of the Islamic ideology and a show of the Ummah.”

Belilah buku ini di ibtbooks.com

Selamat Menyambut Hari Raya Haji.

Blog di WordPress.com.