Jiwa Rasa Gelora

Januari 20, 2006

Buku Lagi…. di Pustaka Antara

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:34 pm

Kadang-kadang saya takut kalau singgah ke kedai buku. Kenapa? Kerana takut saya akan terbeli buku baru, walaupun saya ada berpuluh buku yang masih belum dibaca di rumah. Itulah yang terjadi bila saya singgah di Pustaka Antara Selasa lepas.

Meeting di Menara Pan Global pagi itu cepat pula habisnya. Belum pukul 12 sudah selesai. Masa masih terluang, sebelum pulang ke Ipoh. Saya lalu berkira samada mahu ke Kino di KLCC, Skoob di PJ atau Borders di The Curve. Pustaka Indonesia baru sahaja saya ziarahi. Ada satu lagi kedai buku yang dah lama saya ingin pergi tapi belum kesampaian. Pustaka Antara di Kompleks Wilayah. Dah lama berhajat nak pergi, tetapi lokasinya tak menarik. Tiada tarikan lain di tempat itu, melainkan sup kambing di Jalan Doraisamy berhadapan Kompleks Wilayah yang hanya dibuka di waktu malam. Pustaka Antara saya tuju, kerana ianya yang terdekat dari Jalan Sultan Ismail terus ke Jalan Campbel.

Ada masanya kita beli buku kerana kita mahu membaca dan menghabiskannya. Tapi, ada buku yang kita beli, kerana buku itu susah dijumpa di tempat lain. Kita beli sebab takut tak jumpa lagi di kemudian hari. Saya beli Buku di Pustaka Antara kerana itu. Sebahagian dari buku yang saya beli adalah buku terbitan Pustaka Antara yang sudah tidak diterbitkan lagi. Sebahagian yang lain adalah buku dari Indonesia yang agak sukar dijumpai di tempat lain. Kalau nasib baik, mungkin boleh dicari di Pustaka Indonesia, ataupun mungkin di MPH Alamanda.

Pustaka Antara memang mempunyai koleksi buku berbahasa Melayu yang banyak. Ada banyak karya Pramoedya dan karya sastera lain, baru dan lama. Koleksi bukunya setanding dengan Pustaka Indonesia, walaupun harganya relatif mahal sedikit dari Pustaka Indonesia. Pekerjanya juga kurang mengenal dan menjiwai buku-buku di situ. Tiada yang saya lihat mengambil peluang membelek dan membaca buku. Saya bertanya tentang buku quartet Pulau Buru, karya Pramoedya. Jawapannya mengecewakan, walaupun ada dua rak penuh buku Pramoedya di situ. Kata seorang pekerja di situ, dia pernah cuba baca satu buku Pramoedya, tetapi tak faham kerana susah bahasanya, kata dia.

Kadang-kadang, saya rasa geram dengan sesetengah pengusaha kedai buku yang membuka kedai buku yang tidak mesra pembaca. Buku dibalut, menyusahkan kita untuk melihat Prakata dan Daftar Kandungan buku, tidak dapat merasa dan bermesra dengan bentuk dan gaya tulisan dan keharuman bau buku yang ingin dibeli. Mereka juga mengambil anak muda yang tidak menghargai buku sebagai pekerja. Nasihat saya kepada anak muda yang ingin mencari pekerjaan, janganlah bekerja di kedai buku jika anda tidak suka buku. Anda hanya akan menganiaya pengunjug bila tidak tahu apa yang anda jual. Carilah kerja di kilang dengan gaji yang lebih lumayan.

Ini senarai buku yang saya beli di Pustaka Antara.

1. Ziarah – Iwan Simatupang
2. Saman – Ayu Utami
3. Anak Semua Bangsa – Pramoedya Ananta Toer
4. Kegilaan dan Peradaban – Michel Foucault (terjemahan Madness & Civilization)
5. Perayaan Kesadaran – Sebuah Panggilan untuk Revolusi Institusional Ivan Illich (terjemahan Celebration of Awareness: A Call for Institutional Revolution)

6.
Al-Imam : Its Role in Malay Society 1906-1908 – Abu Bakar Hamzah
7. Kebangkitan dan Pembaharuan di dalam Islam – Fazlur Rahman (terjemahan)
8. Hikayat Faridah Hanom – Syed Sheikh Al Hadi

9. Polemik – H B Jassin

Satu lagi perkara yang mengharukan. Saya berjumpa sebuah buku yang begitu lama saya cari tapi tidak berjumpa. Saya tidak jumpa buku ini di Amazon.com. juga di semua kedai buku ternama di tanahair. Buku tulisan Washington Irving bertajuk Tales of Al-Hambra. Harganya hanya RM30. Terus saya sambar dan peluk, bila berjumpa buku itu. Bagai bertemu sahabat lama.

Malangnya kegembiraan saya terhenti bila diberitahu harganya adalah 30 pound sterling, bukannya RM30. Lebih kurang RM250 duit Malaysia. Terkedu. Belum sanggup untuk membayar sebanyak itu untuk sebuah buku. Saya letakkan kembali buku itu di rak. Sedih, tapi lega kerana akhirnya berjaya juga menatap dan memegang buku tersebut. Saya akan datang kembali. Moga buku itu masih belum ada yang punya.

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: