Jiwa Rasa Gelora

Februari 23, 2006

Ziarah Iwan Simatupang

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 2:16 pm
.
Ziarah
Iwan Simatupang
Pustaka Antara
Harga (RM5 sebelum diskaun)

Iwan Simatupang adalah seorang penulis hebat yang lahir mendahului zaman. Seorang sastrawan angkatan 50-60-an yang mendapat tempat di zaman 66-70. Pada masanya, karya sasteranya iaitu novel, cerpen dan drama kurang mendapat perhatian bahkan sering menimbulkan salah faham. Mungkin kerana ia lahir mendahului zamannya. Salah satu karyanya yang terkenal ialah novel Ziarah.

Buku ini adalah novel yang ketiga saya baca berturut-turut. Bermula dengan novel Veronika Decides To Die tulisan Paolo Coelho, kemudian buku Saman tulisan Ayu Utami, dan buku ini Ziarah oleh Iwan Simatupang. Yang menariknya ketiga-tiga buku ini mempunyai tema yang hampir sama, mempunyai watak yang gila, gila-gila atau macam gila. Saya cuba mencari persamaan antara ketiga novel ini, ternyata banyak bicara tentang permasalahan hidup, Ziarah dan Veronika tentang mati dan kematian, sementara Saman tentang wanita dan feminisme.

Novel Ziarah ini pernah memenangi Anugerah Unesco/Ikapi tahun 1968 juga Hadiah Sastra Asean pada tahun 1977. Lulusan bidang antropologi di Leiden, Belanda juga Universiti Sorbonne, Paris.

Membaca buku Ziarah ini memberikan kejutan besar kepada saya kerana jalan ceritanya yang unik dan berlainan dari buku cerita biasa. Banyak unsur falsafah, dan banyak cerita yang pelik dan tidak masuk akal. Watak dalam buku ini mengalami kejadian yang tidak disangka, mengejut. Kisah mengenai mati dan falsafah kematian. Banyak watak dan cerita yang sukar difahami. Watak yang berkelakuan aneh dan tidak masuk di akal.

Terus-terang, saya tiada maklumat tentang siapa sebenarnya Iwan Simatupang, melainkan beliau ialah sorang tokoh penulis Indonesia dulu, dan namanya yang unik dan catchy. Iwan Simatupang lahirkan di Sibolga, Sumatera Utara, 18 Januari 1928 dan meninggal dunia pada tanggal 4 Ogos 1970 ketika berumur 42 tahun.

Iwan pernah menjadi guru, wartawan, pengarang cerpen dan puisi, selain menulis esai, drama dan novel. Iwan menulis banyak sketsa tentang orang-orang tersisih dan terpinggir. Watak-watak dalam karya Iwan kebanyakannya adalah manusia-manusia kecil, manusia biasa yang bukan hero yang hebat. Iwan menganggap mereka sebagai manusia perbatasan, manusia eksistensialisme.

Iwan Simatupang sebenarnya adalah seorang tokoh besar nusantara yang cuba bereksperimen dengan falsafah eksistensialisme dan absurdisme, sesuatu yang popular pada masa itu. Iwan gemar sekali membaca dan merenung pemikiran Albert Camus, Nietszche dan Satre.

Iwan terpengaruh dengan tokoh-tokoh eksistensialisme ini yang beliau lihat banyak menulis tentang kebebasan individu. Kebebasan individu dianggap penting dalam hubungan sesama manusia yang sering juga mencetuskan konflik. Iwan percaya eksistensialisme boleh memberi ruang dan sumbangan kepada anak bangsanya yang baru keluar dari penjajahan, cuba mencari dan membina kekuatan diri. Anak bangsa perlu keluar dari kongkongan pemikiran penjajah dan lahir dengan pemikiran yang bebas, terbuka dan segar.

Advertisements

Februari 20, 2006

Ayu Utami & Saman

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 7:23 pm

.

Tajuk : SAMAN
ISBN : 9799023173
Penulis : Ayu Utami
Penerbit : KPG (Kepustakaan Populer Gramedia)
Penerbitan : 2001, INDONESIA
Halaman : 197

Ayu Utami adalah satu nama besar dalam sejarah sastera Indonesia. Seorang gadis muda yang tiba-tiba mencipta nama bila novel sulung beliau meletup di pasaran di tahun 1998. Ada sebab novel pertama beliau bertajuk Saman ini begitu mendapat tempat di hati pembaca.

Ayu Utami lahir di Bogor tahun 1968, besar di Jakarta, mendapat pendidikan di Universitas Indonesia dalam bidang pengajian sastera. Seorang penulis muda yang mewakili genarasi baru Indonesia, mula menyinggung masalah sosial dan politik negara Indonesia, lama sebelum jatuhnya regim Soeharto.

Novel pertama Ayu Utami, Saman, telah memenangi Sayembara Roman Dewan Kesenian Jakarta pada tahun 1998 dan juga dianugerahkan Prince Claus Award (2000) atas sumbangannya membuka lembaran baru bagi penulisan sastera modern di Indonesia.

Novel Saman ini bagai satu penemuan baru bagi sastera Indonesia. Utami membicarakan soal yang taboo dalm masyarakat Melayu, khusunya di Indonesia pada masa itu. Saman sering disebut sebagai contoh karya dengan ciri “keterbukaan baru” dalam membicarakan tentang seks dan wanita. Banyak bahagian dalam novel ini menceritakan perilaku seksual yang hampir sepenuhnya bertentangan dengan norma masyarakat Indonesia. Seks dalam novel ini bukan lagi sebagai isu pinggiran yang menambahkan perisa cerita. Ianya menjadi isu sentral yang mendasar dalam novel ini. Saman cuba bercerita dengan jujur tentang isu seks dari sudut pandangan seorang wanita.

Novel Saman membicarakan seks dengan terbuka dan provokatif, luarbiasa bagi masyarakat semasa dan juga menerima seks di luar dari ikatan perkahwinan. Ayu Utami sendiri, ketika diwawancara pernah berkata yang beliau memilih untuk tidak mahu berumahtangga.

Novel Saman juga cuba menolak stereotype terhadap wanita, malah menjadikan watak empat wanita iaitu Shakuntala, Laila, Yasmin, dan Cok sebagai watak utama dalam novel ini. Ia banyak menyentuh soal gender dan juga persoalan politik dengan terbuka.

Novel ini diterbitkan beberapa minggu sebelum Jeneral Soeharto dijatuhkan, bagai memberi gambaran dan laluan kepada kepada perubahan kepada senario politik negara. Keterbukaan dan berterus terang dalam novel ini diteruskan di luar novel melalui perubahan besar dalam negara.

Novel ini mungkin sesuai untuk pembaca yang dewasa. Benar-benar dewasa maksud saya. Ianya bukan novel murahan seperti Mona Gersang tetapi ia cuba menggarap isu-isu besar yang melangkau batas-batas politik dan sosial, budaya dan juga iman.

Petikan ulasan di kulit belakang novel ini…

Saya kira susah ditandingi penulis-penulis muda sekrang. Penulis tua pun, belum
tentu bisa menandingi dia……………Umar Kayam

Pada beberapa tempat yang merupakan puncak pencapaiannya, kata-kata bagaikan bercahaya seperti kristal………Ignas Kleden

…..di dalam sejarah sastra Indonesia tak ada novel yang sekaya novel ini….Lebih kaya daripada Para Priyayi Umar Kayam dan Ziarah Iwan Simatupang……Faruk H. T.

Superb, splendid….Novel ini dinikmati dan berguna sejati hanya bagi pembaca yang dewasa. Bahkan amat dewasa. Dan jujur. Khususnya, mengenai dimensi-dimensi politik, antropologi sosial, dan teristimewa lagi agama dan iman……Y.B. Mangunwijaya

Dahsyat…memamerkan teknik komposisi yang –sepanjang pengetahuan saya– belum pernah dicoba pengarang lain di Indonesia, bahkan mungkin di negeri lain…… Sapardi Djoko Damono

Integritas penulisnya tinggi….Saya tidak kuat melanjutkannya. Melanjutkan membaca ini rasanya saya jadi tapol lagi……..Pramoedya Ananta Toer

Februari 10, 2006

Memoir of a Geisha

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:29 pm

.

Sebulan dua ni banyak betul filem yang menarik perhatian untuk ditonton. Seperti biasa, kalau mahu ke pawagam, kami akan pergi pagi hari, orang tak ramai dan tiketnya murah. Antara Buli Balik dan Memoir of the Geisha, kami memilih yang kedua. Dengan harapan sempat menonton Buli Balik di kemudian hari.

Kami sudah punya novel Memoir of Geisha. Isteri saya teringin sangat nak tengok filem ini, nak dibandingkan dengan novel yang dia sudah baca.

Saya pula teringin menonton filem ini kerana banyak sangat kontroversi dan cerita di sebalik novel dan penggambarann filem ini. Bantahan Jepun kerana watak utama filem ini tidak dilakonkan oleh orang Jepun tetapi oleh pelakon berbangsa Cina.

Juga kontroversi mengenai ketulenan cerita tulisan Arthur Golden setelah Mineko Iwasaki, seorang geisha yang sudah bersara dan menjadi asas cerita dalam novel Arthur Golden, menghentam penulis novel ini kerana seolah-olah menyamakan geisha dengan pelacur. Mineko Iwasaki kemudiannya menulis bukunya sendiri Geisha: A Life.

Memoir of a Geisha ditulis oleh Arthur Golden, diterbitkan pada tahun 1977 dan menjadi bestsellers. Pengarah terkenal, Steven Spielberg terpikat dengan novel itu dan memulakan projek untuk membuat filem berdasarkan novel tersebut. Spielberg bagaimanapun tidak sempat menyiapkan filem itu. Akhirnya filem itu diarahkan oleh Rob Marshall dan Spielberg bertindak sebagai produser.

Filem ini mendapat perhatian ramai peminat filem yang ingin melihat lakonan Zhang Ziyi, Gong Li dan Michelle Yeoh.

Saya terhibur menonton filem ini walaupun saya belum baca novelnya. Barulah saya tahu kisah seorang geisha. OK lah ceritanya. Tapi isteri saya kata filem ini tidak menceritakan keseluruhan kisah di dalam novel. Membaca novelnya lagi best, kata dia. Kalau nak tahu komen seorang yang telah menonton filem ini selepas membaca novelnya, silalah ke SuriJiwa.

Februari 8, 2006

Paolo Coelho, Veronika & Sakit Jiwa

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 9:16 am
Veronika Decides To Die
Paolo Coelho
HarperCollins Publishers India
ISBN 8172235437
RS 250 (~RM23)
Veronika Decides To Die adalah novel kedua tulisan Paulo Coelho yang saya baca. Buku pertama sudah tentu buku bestseller beliau iaitu Alchemist. Seperti Alchemist , Veronika Decides To Die sarat dengan pengajaran dan falsafah hidup. Kisah bagaimana kita melihat kehidupan dari pandangan yang berbeza-beza. Kalau Alchemist tentang matlamat hidup, cita-cita dan pencarian dalam hidup, Veronika Decides To Die pula adalah tentang kekosongan dan kebosanan hidup, tenatng pilihan dalam hidup dan mahu mencari dunia yang lain dari kebiasaan.

Buku ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Veronika, seorang gadis yang memiliki segala-galanya dalam hidup. Gadis yang muda dan cantik, punya ramai teman lelaki, kerja yang stabil juga keluarga yang bahagia. Segalanya kelihatan begitu sempurna buat Veronika. Namun ada sesuatu yang dirasakan tak betul bagi Veronica. Gadis ini merasa sudah bosan dengan hidupnya yang dianggap mundane dan routine, terlalu biasa dan tidak mendatangkan keseronokan kepada dirinya. Suatu hari Veronika telah mengambil keputusan nekad untuk membunuh diri dengan mengambil pil tidur dengan berlebihan.

Apabila terjaga Veronika terkejut bila belisu berada di sebuah hospital di Villette. Lebih mengejutkan bila diberitahu yang beliau menghidap penyakit jantung dan hanya menunggu hari untuk mati. Hari-hari berikutnya telah menemukan Veronika dengan makna dan falsafah gila.

Di Hospital jiwa inilah Veronika telah bertemu dengan banyak karakter yang menarik, yang orang biasa katakan sebagai gila. Mereka dikatakan gila kerana tidak mahu bersikap dan berfikir seperti orang biasa. Mereka dikatakan gila kerana mahu keluar dari perjalanan hidup yang telah dipersiapkan mungkin oleh ibubapa mereka. Mereka mahu keluar dari kebiasaan dan mahu mengejar mimpi dan cita-cita yang dilakar sendiri.

Di sinilah Veronika berjumpa dengan makna kehidupan, menyedari yang setiap saat kewujudan manusia merupakan pilihan yang kita buat samada untuk terus hidup atau mati.

Paolo Coelho lahir tahun 1947 dan buku pertama beliau The Pilgrimage diterbitkan ketika beliau berusia 40 tahun, iaitu pada tahun 1987. ( Ini satu motivasi bagi mereka yang sudah menjelang 40 tapi bercita-cita untuk menjadi penulis 🙂 ) Mulanya buku beliau tidak begitu mendapat perhatian sehinggalah diterbitkan semula oleh sebuah penerbit buku ternama. Kini buku Paulo Celho telah diterjemahkan ke lebih 56 bahasa dan boleh dibaca di lebih dari 150 negara.

Veronika Decides To Die sebenarnya adalah gambaran hidup Paolo Ceho semasa kecil. Beliau pernah dimasukkan ke hospital jiwa di Rio de Janeiro. Bukan sekali tapi 3 kali. 1965, 1966 dan 1967. Dia dimasukkan ke hospital jiwa kerana keluarganya merasakan beliau berkelakuan aneh kerana suka menyendiri, meminati seni, sastera dan teater. Paolo Coelho mahu jadi seoarng artis, satu kerjaya yang kurang diterima masyarakat Brazil masa itu.

Membaca buku ini menimbulkan tandatanya kepada saya. Siapa sebenarnya yang gila? Mereka yang berperangai pelik, suka memberontak kerana punya pendapat dan keinginan yang berlaina dari orang lain? Atau mereka yang mengikut arus dan mengikut sahaja segala norma dan kebiasaan dalam masyarakat, tanpa bertanya soal, tanpa berfikiran kritis? Mereka membuat sesuatu kerana itulah kebiasaan yang dibuat orang lain?

Siapa sebenarnya yang sakit jiwa?

Februari 2, 2006

Talqin untuk tulisan jawi

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 12:17 pm

Mari kita tepuk ramai-ramai sambil menyanyikan lagu Malaysia Berjaya dan Jalur Gemilang.

Kemudian kita menangis ramai-ramai macam Mak Andeh kematian anak.

`Tak apa,’ kat Pak Pandir.

`bukan kita seorang sahaja kematian anak…’ kata Pak Pandir lalu terus bertepuk dan bersorak menyanyi lagu Malaysia Berjaya…

Jiwa Rasa hiba, tetapi tiada airmata yang mahu keluar…
bila membaca blog

Pak Adib dan The Interviewer

Baru semalam saya beli Memoir Said Zahari (siri kedua), tokoh Utusan Melayu yang sanggup menghabiskan usia di penjara kerana prinsip…

Blog di WordPress.com.