Jiwa Rasa Gelora

Mac 30, 2006

Pesta Buku di petang Isnin

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 12:22 pm

Dalam kesempitan tugas dan masa, sempat juga saya singgah di Pesta Buku KL 2006 di PWTC. Petang Isnin lepas. Habis sahaja mesyuarat di Ampang petang tu, saya terus meredah kesesakan Jalan Tun Razak ke PWTC.
Pesta Buku kali ini berubah tempat. Tidak lagi di dalam bangunan utama PWTC tetapi jauh sedikit di seberang sungai. Teringat saya Pesta Buku dulu-dulu bila ianya mula diadakan di Changkat Pavilion.

Mengunjungi Pesta Buku pada petang hari Isnin mungkin satu tindakan bijak kerana pengunjung tidak seramai pada hujung minggu. Biasalah, sebelum pergi memang sudah bertekad tidak mahu menambah buku baru. Namun, hati peminat buku mana yang tidak akan tergoda dengan tarikan melihat timbunan buku yang pelbagai.

Sebaik masuk ke dewan jualan, saya terus ternampak wajah SH Alattas, seorang penulis pollitik tanahair. Seperti biasa, SH Alattas menjual sendiri buku beliau. Saya beli buku ke 47 tulisan beliau bertajuk Macam-macam Ada. Saya sebenarnya bukan peminat tulisan SH Alattas. Saya kurang gemar gaya tulisan beliau yang lebih sensasi dan kurang analitikal. Tetapi bila sudah berkesempatan bertemu dan berbual dengan beliau, saya beli juga buku yang beliau tandatangani sendiri. Tambahan pula kulit buku beliau kali ini berwaran `hijau’ setelah sekian lama berwarna `merah’.

Saya juga beli dua buah buku Mizan di kedai PTS. Saya beli buku Tafsir Al Fatihah tulisan Rasyid Redha dan Membumikan Al-Qur’an tulisan M Quraish Shihab. Hajat hati mahu berjumpa Puan Ainon Mohd tidak kesampaian, tetapi saya sempat berjumpa dan berkenal dengan orang kuat Koperasi Buku, Sdr Abdul Halim. Kebetulan Koperasi Buku banyak menjual buku Syed Naquib Al-Attas, yang kebanyakannya sudah saya miliki. Seronok berbual dengan orang kuat koperasi buku ini. Kalau sudah berjumpa dengan peminat buku, begitulah. Bagai bertemu semula kawan lama.

Keseluruhannya, mengunjungi Pesta Buku KL adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu peminst buku setiap tahun. Walaupun ramai yang mengeluh tidak puas hati dengan mutu buku-buku yang dijual. Kita sebenarnya sudah hilang kelayakan untuk mengkritik bila kita tidak menyokong industri buku negara. Menyokong, maksud saya membeli buku. Simpan sahaja komen anda jika hanya membeli dua buku setahun. Beli buku rujukan dan buku teks tak masuk kira. Ataupun beli buku kerja untuk anak. Itu bukan beli buku kerana minat, tapi beli kerana terpaksa.

Ramai yang berhenti membeli dan membaca buku setelah tamat pengajian di universiti. Seolah-olah pembelajaran terhenti dengan tergenggamnya segulung ijazah. Lebih sedih lagi bila yang. berpengajian tinggi tidak membaca di luar lingkup kerjaya sendiri. Tidak mahu membaca yang susah-susah. Kononnya dulu masa di uniersiti dah nak pecah kepala membaca yang susah-susah. Kalau membaca pun majalah hiburan yang banyak gambar dan gosip artis. Jadi pelanggan tetap akhbar sisipan di hari Ahad.

Patutlah orang kata otak orang kita jika dijual, sangat mahal harganya. Sangat mahal kerana masih elok, tidak digunakan langsung. Otak Yahudi paling murah, kerana dah banyak guna! Bunyinya macam lucu, tetapi itulah hakikatnya yang perlu kita kaji dan ubah.

Utusan Melayu Jawi hancur kerana orang tak beli. Dewan Sastera yang dicetak dalam 3000 naskhah sebulan sukar untuk dijual. Yang beli pun hanya penulis dan penggiat sastera. Ataupun pelajar yang membeli sebab terpaksa, bukan kerana minat. Jurnal Pemikir terbitan Utusan juga nyaris terkubur.

Saya tinggalkan Pesta Buku KL 2006 hampir pukul 9 malam. Saya simpan azam untuk datang lagi di tahun mendatang, dengan harapan mutu dan kandungan buku yang dipamirkan akan bertambah baik.

Advertisements

Mac 25, 2006

Pesta Buku Antarabangsa KL 2006

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 8:52 am

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR

Tarikh: 24 Mac-2 Apil 2006
Masa: 10pagi-10malam
Tempat: PWTC, Kuala Lumpur
www.klibf.com

Setiap tahun, saya tidak akan lepaskan peluang ke Pesta Buku KL. Walaupun saya tidak berapa gemar koleksi buku yang dijual di situ, tetapi pengalaman berada di situ sudah cukup menyeronokkan. Berada di keliling timbunan buku, melihat gelagat penjual dan pembeli buku. Melihat dan dan membelai buku sudah memberikan suatu keseronokan kepada peminat buku. Kalau bernasib baik, boleh bertemu dengan peminat buku lain dan juga tokoh penulis terkenal tanahair. Kedai buku seperti Utusan, Alaf21, Creative dan lain-lain sering menjemput penulis novel mereka untuk hadir dan menandatangani buku yang dibeli. Itu satu pengalaman yang saya rasakan sangat menarik utuk para peminat buku.

Tahun ini, kalau ikut perancangan awal, saya tak sempat ke Pesta Buku. Sedang menyiapkan bekalan untuk cuti dua minggu lebih. Malangnya perancangan tak jadi, pemergian ditangguhkan dan cuti juga ditangguhkan.

Kebetulan pula ada kerja di Kuala Lumpur sehingga hari selasa. Walaupun masih ada berpuluh lagi buku yang belum dibaca di rumah,(buku Memoir Ahmad Boestamam yang saya beli di Pesta Buku tahun lepas, baru semalam sya habiskan) tetapi hati peminat buku mana yang akan tahan godaan dengan Pesta Buku. Alang-alang sudah berada di Kuala Lumpur. Kalau sempat, saya akan ke Pesta Buku hari Isnin selepas mesyuarat atau hari selasa sebelum pulang ke Ipoh.

Nak tengok sahaja. Tak mahu beli. (Boleh percaya ke? 🙂 )

Mac 22, 2006

Dalam Ribuan Mimpi Gelisah : Said Zahari

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 4:01 pm

Dalam Ribuan Mimpi Gelisah : Memoir Said Zahari
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
2006
MPH RM29.00
ISBN9676118486

Saya baca buku ini setelah Utusan Melayu Jawi selamat dikafan dan dikuburkan. Said Zahari adalah bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu yang memimpin Mogok Utusan di tahun 1961. Beliau telah ditarik kerakyatan Malaysia oleh Tuanku Abdul Rahman sewaktu berada di Singapura. Kemudiannya beliau ditahan dan dipenjarakan selama 17 tahun oleh kerajaan Lee Kuan Yew.

Dalam Ribuan Mimpi Gelisah : Memoir Said Zahari, adalah buku kedua tulisan Said Zahari. Buku pertama beliau bertajuk Meniti Lautan Gelora : Sebuah Memoir Politik. Khabarnya ada memoir ketiga yang akan beliu tulis bagi melengkapkan trilogi Memoir Said Zahari.

Said Zahari merupakan seorang wartawan yang telah dipenjarakan selama 17 tahun di Singapura atas tuduhan yang tidak pernah dibuktikan, tidak pernah dibicarakan di mahkamah. Beliau dipisahkan dengan isteri dan 3 orang anak yang masih kecil pada 2 Feb 1963 dan hanya dibebaskan 17 tahun kemudian pada 22 Ogos 1979.

Seperti buku memoir pertama, buku ini menyambung cerita sedih seorang tahana politik kerajaan Lee Kuan Yew. Ianya memaparkan pendirian politik Said Zahari yang antipenjajahan, antiimperialisme dan berpegnag teguh dengan pegangan. Berbagai tuduhan dilemparkan kepda beliau, komunis atau prokomunis, juga menjadi agen asing dan menghasut rakyat menentang kerajaan. Semua tuduhan itu tidak pernah dibuktikan sehinggalah sekarang.

Memoir ini juga menyorot kisah Mogok Utusan, bila mana tokoh wartawan Utusan bertindak mempertahankan kebebasan akhbar dengan membantah tindakan UMNO mengambilalih Utusan. Sebenarnya kematian Utusan Melayu baru-baru ini adalah akibat dari peristiwa ini. Utusan Melayu sebenarnya sudah hilang idealismenya di tahun 1961 lagi, apabila ianya diambilalih oleh parti politik. Ia sudah tidak sebebas seperti dulu. Utusan Melayu sudah seperti segan mahu memperjuangkan kepentingan Melayu jika ianya bertentangan dengan dasar parti Melayu.itu.

Buku ini juga adalah tribute Said Zahari untuk isteri beliau Zahari, Salamah Wahab yang sangat tabah mendokong perjuangan seoarng suami dan setia menunggu sehingga 17 tahun. Bayangkan anak yang dikandung lahir dan membesar tanpa ayah sehingga berumur 17 tahun. Hiba rasa hati saya bila membaca kisah keperitan hidup Salamah membesarkan anak-anak ketika Said Zahari di dalam tahanan. Beliau begitu tabah, tidak mahu menceritakan kesusahan hidup mereka anak-beranak kepada suami tersayang. Ada masanya untuk mencari sesuap nasi melapik perut pun susah. Kalaulah ada anugerah isteri mithali, Salamah patut menerimanya.

Penderitaan dan tugas Salamah Abdul Wahab bagaikan berakhir dengan bebasnya suami yang tersayang. Seorang isteri yang setia akhirnya telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tanggal 29 Disember, 2004.

Memoir ini juga menyelitkan beberapa kuntum puisi yang beliau hasilkan di dalam tahanan yang sungguh menyentuh perasaan.

Kesedihan

ada kalanya dirasakan
tiada berhujung tiada berpangkal

siang terasa terlalu singkat
dan malam ditarik-tarik memanjang
dalam ribuan mimpi gelisah
gunung tiba-tiba jadi lebih tinggi
dan hutan semakin menebal
di sungai air tidak lagi mengalir
langit diliputi gumpalan awan merah
bulan telah ditelan ular
dan bintang-bintang ketakutan
tiada apapun kulihat dalam kegelapan ini

di manakah matari
aku merindui sinarmu

1968

Mac 16, 2006

Jhumpa Lahiri menafsir kepedihan

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 9:26 am

Tajuk: Interpreter Of Maladies
Penulis: Jhumpa Lahiri
Penerbit: Flamingo 1 Jan 00
ISBN: 0006551793
Paperback, General Fiction
Harga: RM 38.90 MPH Kinta City

Buku ini telah memenangi Hadiah Pulitzer bagi tahun 2000, sebuah anugerah yang berprestij dunia. Antara pemenang Hadiah Pulitzer sebelum ini ialah John Steinbeck, Ernest Hemingway dan Pearl S Buck. Yang lebih menarik, buku ini adalah buku pertama tulisan Jhumpa Lahiri. Selain Hadiah Pulitzer tahun 2000, karyanya juga memenangi PEN/Hemingway Award, New Yorker Prize untuk buku pertama terbaik, dan dicalonkan sebagai penerima Los Angeles Times Award.

Jhumpa Lahiri adalah seorang penulis keturunan India yang dilahirkan di London, dan tinggal di New York. Jhumpa Lahiri lahir dalam sebuah keluarga Bengali yang berpegang kuat kepada tradisi India. Di masa yang sama beliau dibesarkan di dalam lingkungan kehidupan modern seorang warga Amerika. Tulisan beliau mungkin merupakan gambaran dilema yang beliau hadapi sebagai seorang berketurunan India yang tinggal di sebuah negara modern Amerika.

Buku Interpreter of Maladies ini menghimpunkan sembilan cerita pendek tulisan Jhumpa Lahiri yang menceritakan tentang kisah insan keturunan India yang tinggal di rantau, juga tentang kisah rakyat India yang begitu unik budayanya. Keunikan budaya inilah agaknya yang menarik perhatian khalayak antarabangsa untuk menganugerahkan Hadiah Pulitzer kepada Jhumpa Lahiri.

Tajuk buku Interpreter of Maladies itu mengambil sempena tajuk cerpen pertama di dalm buku ini. Cerpen Interpreter of Maladies, yang bermakna Penafsir Kepedihan, bercerita tentang Kapasi, seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu pelancong sambilan. Kerja hakiki beliau ialah sebagai penterjemah di sebuah klinik. Kerjanya ialah menterjemahkan apa yang dikatakan oleh pesakit kepada doktor yang bertugas.

Pada saya, kisah yang diceritakan oleh Jumpa Lahiri dalam bukunya adalah kisah rakyat biasa yang telah disampaikan dengan begitu bagus sekali oleh si tukang cerita. Kisah kepayahan hidup apabila berlakunya pemisahan antara India dan Pakistan. Kisah kesusahan dan kemiskinan hidup dalam masyarakat yang memerlukan seseorang untuk menafsirkan kepedihannya. Kisah hubungan suami isteri yang perkahwinannya dirancang keluarga.

Ternyata, Jhumpa Lahiri adalah seorang penafsir yang bagus. Beliau berjaya menafsirkan kepedihan masyarakat keturunan India dalam bahasa yang mudah difahami dan dihayati oleh semua.

Saya cuba bayangkan, alangkah bagusnya jika ada penulis Melayu yang dapat menjadi `penafsir kepedihan’ dan cuba untuk mentafsirkan dilemma seorang Melayu, yang cuba untuk menjadi Melayu yang hidup di dalam dunia modern, di samping cuba untuk mempertahankan pegangan agamanya. Membaca gejolak dalam diri seorang Melayu dan menyampaikannya di dalam bahasa yang mudah dan boleh difahami semua?

Mac 11, 2006

Faisal Tehrani dah ada blog

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 10:56 am

Foto dari blog Faisal Tehrani

Bila kawan-kawan saya meminta dicadangkan novel berbahasa Melayu yang bagus di pasaran, nama Faisal Tehrani pasti akan saya sebut, di samping beberapa nama-nama lain.

Saya kurang membaca novel sebenarnya. Koleksi buku bukan fiksyen saya lebih banyak dari buku fiksyen dan koleksi buku Faisal Tehrani mengambil ruang yang agak besar di rak buku fiksyen saya.

Bila membaca, saya suka membaca tulisan yang sekurang-kurangya memberi info baru kepada saya. Saya kurang gemar membaca cerita sekadar cerita. Saya suka tulisan yang mencabar, walaupun kadang-kadang membuatkan saya terasa jahil dan bodoh. Ianya sering saya jumpa dalam tulisan Faisal Tehrani. Tak banyak, sedikit, kerana Faisal ternyata membuat kajian sebelum menulis.

Faisal Tehrani seorang anak muda yang berbakat besar. Gaya tulisannya segar dan menarik. Dia suka menulis tidak mengikut urutan peristiwa. Maknanya penamat cerita di novel beliau tidak semestinya di akhir mukasurat, mungkin ditengah-tengah.

Dia juga sering mengangkat wanita sebagai watak utama dalam beberapa novel beliau. Beliau menulis tentang serikandi Nyemah Mulya yang berjuang menentang Portugis dalam 1515. Novel ini telah memberi kejutan dengan wacana Oksidentalismenya, yang melihat penjajah dari mata timur. Beliau gemar menungggangterbalikkan fakta dan sejarah. Yang menarik lagi watak Nyemah Mulya itu wujud di beberapa zaman, yang boleh mengelirukan pembaca.

Karya beliau juga sarat dengan unsur dakwah seperti Advencer si Peniup Ney dan 1511H. Beliau bercerita tentang jihad dan futuwwah yang futuristik di dalam novel 1511 H, sesuai dengan latarbelakang beliau yang berkelulusan agama.

Anak muda ini seorang yang rajin berkarya. Setiap tahun pasti ada karya baru dari beliau. Bulan ini sahaja saya sudah baca dua cerpen beliau di Majalah I dan di Dewan Sastera. Memang prolifik orangnya. Banyak anugerah telah dimenangi termasuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Bahkan beliau telah menang Hadiah Sastera Utusan selama tiga tahun berturut-turut melalui novel 1515, 1511H dan Advencer si Peniup Ney dan Detektif Indigo(2004).

Eh…panjang lebar pulak cerita pasal Faisal. Cukuplah tu. Nanti kawan-kawan penulis yang lain kecil hati pulak..:) Sebenarnya saya hanya ingin mengumumkan tentang blog baru Faisal Tehrani, tetapi terlanjur pulak bercerita panjang.

Bagi peminat Faisal Tehrani mereka sering ke laman ini untuk membaca karya dan artikel mengenai beliau. Saya tahu kewujudan laman itu tetapi tidak meletakkan link di blog ini. Itu bukan laman dia. Laman orang yang memuatkan karya dia.

Awal minggu ini, saya telah letakkan link Faisal Tehrani. Bukan ke laman itu tetapi ke blog Faisal Tehrani. Ya, Faisal Tehrani sudah ada blog. Baru bermula, tetapi sudah banyak cerpen-cerpen beliau yang diletakkan di situ.

Ini blog dia. Sila ke blog Faisal Tehrani dan ucapkan Selamat Datang ke dunia blog.

Mac 8, 2006

Pascakolonialisme & Watak Tertawan

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 12:30 pm

.
Pascakolonialisme dalam Pemikiran Melayu
Penyelenggara Mohamad Daud Mohamad, Zabidah Yahya.
Dewan Bahasa dan Pustaka

2005

Buku ini tidak menarik perhatian saya pada mulanya. Saya terjumpa buku ini di rak di kedai DBP Kawasan Utara di Bukit Mertajam sewaktu mencari majalah Dewan. Sebenarnya saya sengaja singgah di kedai DBP ini selepas pulang dari mesyuarat di tapak projek bangunan baru di Perda, kerana kedai DBP BM ni pelik sikit. Waktu beroperasinya mengikut waktu pejabat. Tutup waktu makan tengah hari dan kadang-kadang tutup jika mereka ada aktiviti DBP di tempat lain. Hari Ahad memang tutup. Maknanya, saya hanya boleh pergi ke kedai ini pada waktu pejabat.

Senang cerita, kedai dibuka mengikut kesesuaian masa penjual, bukan pembeli. Kedainya pula sunyi sepi, berbisik pun orang boleh dengar, macam perpustakaan. Di depannya pula ada sebuah meja untuk seorang pengawal keselamatan. Pelik betul. Berharga sangat buku di kedai ini agaknya. Tak pernah lagi saya jumpa kedai buku ada pengawal keselamatan!

Kita tinggalkan dahulu cerita kedai DBP. Biar orang DBP perah otak berfikir bagaimana nak berniaga dan menguruskan kedai buku. Berbalik kepada buku yang saya baca ini. Ternyata ianya sebuah buku yang bagus. Tak rugi saya beli. Walaupun mulanya saya rasa ragu-ragu samada buku ini boleh menarik perhatian saya untuk baca sehingga ke helaian yang terakhir, kerana tajuknya pun saya tak berapa faham, walaupun boleh mengangak maknanya. Menyebut dan mengeja tajuknya sahaja sudah berbelit lidah saya.

Buku ini sebenarnya adalah himpunan artikel tulisan tokoh akademik dan pemikir terbaik tanahair yang menulis tentang isu pascakolonialisme. Ada berbagai tafsiran mengenai paskolonialisme, sebenarnya. Mengikut penulis-penulis artikel di dalam buku ini, wacana pascakolonialisme merujuk kepada period bermulanya penjajahan sehingga selepas era penjajahan.

Kajian pascakolialisme banyak merujuk tulisan Edward Said yang menulis buku Orientalism pada tahun 1978. Orientalism menyerlahkan sikap barat yang memandang dunia timur dengan pandangan serong. sebagai bangsa tidak bertamadun dengan berbagai tabiat buruk. Wacana pascakolonialisme dalam dunia sastera pula menjadi popular setelah terbitnya buku The Empire Strikes Back : Theory and Practice in Post-Colonial Lirertures tulisan Bill Ashcroft et al pada tahun 1989. Tokoh lain wacana pascakolonialisme termasuklah Gayatri Spivak dan Homi Bhaba.

Buku ini memuatkan himpunan artikel 19 orang ilmuan terkenal. Antara lain yang menulis ialah tokoh seperti Syed Hussein Alatas, Zainal Kling, Shamsul Amri Baharuddin, Umar Junus, Abdul Rahman Embong, Jomo Kwame Sundaram dan juga Amir Muhammad. Tulisan dalam buku ini membahaskan wacana pascakolonialisme dalam bidang kesusasteraan, ekonomi politik dan sosial.

Saya sangat tertarik dengan artikel pertama tulisan Syed Hussein Alatas bertajuk Watak Tertawan di negara Membangun. Ini antara artikel yang paling menarik dan membuatkan saya tidak mahu berhenti membaca buku ini.

Kata Syed Hussein, kita sudah merdeka tapi watak kita masih mempunyai watak orang tertawan atau terjajah. Kita suka meniru apa yang penjajah buat. Tiru bulat-bulat tanpa berfikir secara kritis.

Watak tertawan juga tidak mampu menimbulkan persoalan baru yang diperlukan oleh lingkungan hidupnya. Kita sibuk mengenai pencemaran alam contohnya, bukan kerana pencemaran alam itu memusnahkan negara, tetapi itulah yang diperkatakan barat. Ikut sahaja membabi buta. Barat pakai baju nampak pusat, kitapun pakai baju nampak pusat. Bila barat heboh tentang isu kemiskinan dan rasuah kita pun mula nak bising. Sedangkan isu kemiskinan dan rasuah sudah berpuluh tahun ada dalam masyarakat kita. Kita hanya ambil tahu bila Barat mula membangkitkannya.

Watak tertawan juga mendapat pendidikan langsung di barat dan menggunakan semua sumber ilmu dari barat, walaupun ianya mengenai sesuatu yang tidak kena mengena langsung dengan barat. Yang menarik lagi, watak tertawan tidak pernah membantah apa yang didapati dari barat, walaupun ia tahu dan sedar akan kepalsuannya.

Yang lebih sedih lagi, watak tertawan tidak sedar yang ia sebenarnya seorang yang tertawan dan tanpa sedar mereka sebenarnya mendatangkan masalah besar kepada bangsa dan negara.

Mac 4, 2006

Mari `Menjual’ Islam

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 12:13 pm

Balik dari airport Bayan Lepas petang semalam, saya singgah di Masjid Bayan Baru. Berhenti solat Asar sebelum pulang ke Bukit Mertajam.

Sementara menunggu Amar, saya baca buku Philip Kotler on Marketing yang baru saya beli 2 minggu lepas di MPH MidValley.

Tiba-tiba saya lihat ada sekelompok beberapa orang sami Buddha sedang mengintai-intai ke dalam masjid. Mungkin pelancong agaknya. Mungkin teringin nak tengok apa yang ada di dalamnya. Kebetulan ada seorang pakcik di dalam masjid nampak mereka dan terus menuju ke arah sami-sami itu sambil menerangkan sesuatu.

Tak tahu saya apa yang dibincangkan. Mulanya risau jugak saya apa agaknya reaksi pakcik itu. Akan diherdik dan dihalau atau diterima sebagai tamu? Mujur mereka dilayan baik, walaupun saya tak tahu apa yang diberitahu kepada sami-sami itu.

Dalam menunggu itu, saya terfikir, kenapa agaknya setelah berpuluh tahun hidup di dalam negara berbilang bangsa, umat Islam masih belum berjaya menampilkan wajah Islam yang cantik dan menawan kepada orang bukan Islam. Hampir setiap hari kita bercampur gaul dengan orang bukan Islam tetapi berapa ramaikah yang telah berjaya kita tarik kepada Islam ataupun sekurang-kurangnya tidak menyimpan rasa curiga terhadap Islam?

Kenapa kita tidak mahu membuka pintu-pintu masjid kepada orang bukan Islam? Terutamanya yang tinggal berhampiran dengan masjid? Kenapa kita tidak buat siri lawatan melihat ke dalam masjid, sambil berdakwah menceritakan tentang signifikan senibina Islam, contohnya.

Kenapa kita mesti tunggu sami-sami itu datang menjenguk. Kenapa tidak kita sendiri yang pergi menjemput?

Kenapa masjid-masjid tidak mahu membuat Hari Terbuka atau Hari keluarga dan memanggil orang bukan Islam dan menghadirinya? Kalau ditanya kepada cerdik pandai kita, sudah tentu mereka akan menyalahkan ulamak dan para imam yang mereka anggap kolot dan konservatif, walaupun mereka sendiri yang cerdik pandai itu tidak menyumbang, selain menuding jari. Seolah-olah kerja dakwah dan menyampaikan keindahan Islam itu hanya kerja para ulamak.


Philip Kotler, seorang marketing guru yang telah menulis lebih dari 30 buku mengenai pemasaran, menulis di dalam buku Kotler on Marketing yang sedang saya baca, dan berpendapat, marketing kini tidak lagi terhad kepada produk dan servis semata-mata. Ilmu pemasaran kini juga digunakan untuk memasarkan people, places, ideas, experiences and organizations. Marketing tidak lagi menjual produk, tetapi lebih kepada menjual idea dan pengalaman. Ianya juga menjual `nilai’.

Kenapa orang kita tidak mahu menggunakan ilmu pemasaran dalam menjual idea mengenai Islam? Kita beriman dan yakin dengan Islam yang kita anuti, tetapi kenapa kita tidak mahu `menjualnya’ kepada orang lain? Kenapa kita tidak berjaya menceritakan tentang Islam yang sangat indah dan bernilai itu?.

Kenapa kita tidak gunakan Marketing Mix, 4 Ps iaitu Product, Price, Promotion dan Place bila untuk berdakwah kepada mereka yang belum `membeli’ Islam?

Saya cuba bayangkan, apa kata kalau kita ramai-ramai bekerja secara sukarela mungkin beberapa jam dalam sebulan, membuat aktiviti lawatan ke masjid kepada bukan Islam. Gunakan P’s. Buat promosi guna flyers atau banner atau lawatan rumah ke rumah. Tour ke kawasan masjid boleh digunakan untuk menceritakan tentang signifikan bentuk senibina Islam, selitkan tentang sejarah umat Islam, juga signifikan solat bagi umat Islam.

Yang lebih penting, kenapa mereka yang pandai, belajar tinggi-tinggi, baca buku hebat-hebat, menulis dan bertutur dalam `bahasa antarabangsa’ tidak boleh turun padang dan menyampaikan Islam dalam bahasa yang mudah dan difahami oleh orang bukan Islam.

Lamunan saya terhenti bila Amar datang. Kami terus pergi mencari destinasi untuk makan malam. Kami tinggalkan sami-sami itu bersama pakcik tua itu. Harap-harap dia akan berjaya `menjual’ keindahan Islam. Moga dia buat marketing, bukan demarketing.

Blog di WordPress.com.