Jiwa Rasa Gelora

Jun 28, 2006

Buku di hypermarket

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 12:34 pm
.
Kalau anda betul-betul seorang peminat buku, anda akan membeli buku tidak kira di mana sahaja anda berjumpa buku yang anda inginkan, tidak kira bagaimana rupa kedai itu. Ada masanya buku yang kita inginkan terjual di kedai buruk yang tersorok, bukan di kedai buku popular di pusat membeli-belah ternama.

Begitu jugalah dengan saya. Kadang-kadang kedai buku yang kecil, juga kedai buku terpakai boleh menemukan saya dengan buku-buku yang bagus dan mungkin hampir pupus.

Saya beli buku-buku ini di tempat yang tak disangka-sangka. Terjumpa di celah longgokan buku-buku kanak-kanak di beberapa hypermarket di Seberang Jaya, Ipoh dan Sungai Petani. Buku-buku ini antara buku-buku yang memang saya cari-cari. Buku-buku ini dan nama penulis-penulisnya sering disenaraikan antara buku yang harus dibaca oleh peminat buku. Saya sering membaca tulisan mengenai tokoh-tokoh ini walaupun tidak berkesempatan membaca terus karya mereka. Oleh kerana karya ini sudah masuk dalam karya klasik, jadi mungkin timbul kesukaran untuk memahami isi dan maksud buku-buku tersebut.

Deliberate Prose – Allen Ginsberg
Candide – Voltaire
The Birth of Tragedy – Friedrich Nietszche
Brodie’s Report – Jorge Luis Borges
The Castle – Franz Kafka
First Love & Other Novellas – Samuel Beckett

Saya beli buku-buku ini dengan harga hanya RM9.95 setiap satu. Bayangkan karya klasik dijual sebegini murah!

Buku-buku ini sebenarnya buku-buku lama yang saya jangkakan agak sukar dibaca kerana adanya unsur absurdisme yang kadang-kadang tak masuk dek akal.

Buku-buku ini adalah karya terjemahan. Di bahagian prakata, penterjemah telah memberikan penjelasan tentang latarbelakang karya dan penulisnya. Bahagian ini yang paling menarik. Ianya menyimpulkan keseluruhan kandungan buku, termasuk latarbelakang zaman ketika karya ini dihasilkan.

Buku-buku ini saya baca serentak kerana ada yang saya tinggalkan di rumah, di dalam beg kerja, di dalam kereta, di tepi bantal, juga di kamar mandi.

Image Hosted by ImageShack.us

First Love & other Novella adalah himpunan cerpen tulisan Samuel Beckett yang terkenal dengan drama Waiting for Godot. Cerpen ini antara karya beliau yang terawal. Membacanya juga perlukan kesabaran menghayati setiap baris, kerana ceritanya memang tak masuk akal!

Deliberate Prose pula adalah kumpulan tokoh Beat Generation yang terkenal iaitu Allen Ginsberg. Ginsberg banyak menulis tentang perang Vietnam, menyinggung isu politik, menulis juga tentang rakan pendokong Beat generation lain seperti Jack Kerouac dan William Burroughs. Buku ini adalah esei bukan kreatif tulisan beliau yang telah disiarkan di berbagai media.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Saya sudah selesai membaca Candide tulisan Voltaire. Bahagian terakhirnya saya sudahkan pagi Isnin lepas semasa memandu dan terperangkap dalam kesesakan jalan yang teruk di Jalan Mahameru menuju ke Ampang. Mujur ada buku ini yang banyak unsur falsafah di dalamnya. Saya sangkakan karya ini susah dibaca. Tidak sebenarnya. Namun, mungkin lebih menarik kalau kita tahu latarbelakang zaman dan penulis novel ini, kerana ianya adalah novel satira yang bercerita tentang kesengsaraan dan cuba menyinggung fahaman falsafah yang popular di zaman itu.

Image Hosted by ImageShack.us

Saya sudah habis beberapa bab awal novel Franz Kafka, The Castle yang saya rasakan yang sangat bagus dan menarik perhatian saya. Unsur absurdisme masih ada tetapi masih dapat diikuti jalan ceritanya. Novel Franz Kafka ini menjadi popular walaupun penulisnya mati sebelum sempat menamatkannya.

    Jun 22, 2006

    Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri

    Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 7:02 pm
    Free Image Hosting at a href=

    Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri
    A Samad Said (1966)
    Wira Bukit 2006
    RM55 (MPH Kinta City)
    97 muka surat

    Novel Bulan Tak bermadu di Fatehpur Sikri karya Dato A Samad Said ini beliau tulis di tahun 1966, tetapi baru diterbitkan semula tahun ini dalam bentuk edisi khas yang lebih menarik. Saya selesai membaca buku ini dalam masa sehari.

    Novel ini mengisahkan tentang pasanagn Mansor dan Zawiah yang dalam perjalanan pulang dari England ke tanahair. Pasangan yang baru berkahwin ini singgah di India untuk berbulan madu. Mereka singgah di Delhi sebelum ke sebuah tempat bernama Fatehpur Sikri.

    Mereka ingin berbulan madu dengan melihat kota tinggalan sejarah di Fatehpur Sikri. Fatehpur Sikri digambarkan penulis sebagai kota cinta Shah Jahan seperti Taj Mahal.

    Di masa yang sama penulis novel ini juga memperkenalkan watak Rehman dan Neeta di fatehpur Sikri. Pasangan ini, sepertilah banyak keluarga lain di India, bergelut dengan kemiskinan. Hidup mereka begitu sukar dan bergantung hidup hanya dengan pelancong yang datang ke Fatehpur Sikri. Rehman menyara hidup dengan menarik perhatian pelancong untuk menonton beliau membuat aksi terjunan ke dalam kolam di Fatehpur Sikri.

    Sukarnya hidup Rehman dan Neeta. Bulan mereka jarang-jarang bermadu di Fatehpur Sikri. Terpaksa menyabung nyawa untuk meneruskan hidup. Terlalu berbeza denegan bulan Mansor dan Zawiah yang penuh dengan manis bermadu.

    Novel ini ringkas sahaja sebenarnya. Ceritanya pendek, tetapi meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca,

    Saya beli novel ini kerana tertarik dengan nama Fatehpur Sikri. Kebetulan kami pernah ke situ tahun lepas. Fatehpur Sikri adalah kota Raja Akbar (bukan kota Shah Jehan seperti disebut di dalam novel itu). Mengikut kisah yang saya baca mengenai sejarah kota ini, Raja Akbar tidak mempunyai anak lelaki, lalu beliau telah berjumpa dengan seorang alim yang bernama Sheikh Salim Chisti di Fatehpur Sikri. Berkat doa Sheikh Chisti, Akbar dikurniakan seorang anak lelaki bernama Jahangir Khan. Jahangir kemudiannya mendapat anak bernama Shah Jehan yang terkenal membina Taj Mahal.

    Akbar kemudiannya telah memindahkan kota pemerintahan beliau ke Fatehpur Sikri dan membina sebuah makam khas untuk memperingati Sheikh Salim Chisti. Malangnya kota ini kemudiannya telah ditinggalkan begitu sahaja oleh Akbar. Pengkaji sejarah berpendapat, ianya mungkin kerana masalah bekalan air yang sukar didapati di situ.

    Image Hosted by ImageShack.us

    Makam Sheikh Salim Chisti

    Hari ini, Fatehpur Sikri masih diziarahi, terutama mereka yang ingin menziarahi makam Sheikh Salim Chisti. Pemandu pelancong tidak berapa gemar membawa pelancong ke sini, kerana ramai penjual jalanan yang sangat agresif. Mereka akan mengikut dan seakan mengugut pelancong agar membeli barangan mereka. Di sini juga ramai pengemis yang menggunakan berbagai cara untuk memikat simpati pelancong.

    Membaca novel ini bagai membawa saya kembali ke Fatehpur Sikri. Saya seakan dibawa menyusuri jalanraya yang mendaki bukit menuju ke puncah Fatehpur Sikri. Terbayang penjaja dan pengemis yang mengerumuni kami. Tergambar wajah orang tua penjaga makam yang berselempang kain merah dan menghalau kanak-kanak yang mengganggu kami.

    Fatehpur Sikri. Mungkin betul. Bulan tak berapa bermadu di sini.

    Jun 14, 2006

    M Nasir & Sang Pencinta

    Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 2:29 pm
    Image Hosted by ImageShack.us
    Rakan-rakan yang biasa singgah di blog ini sudah tentu sedar yang saya meminati karya penyanyi M Nasir. Banyak catatan saya di sini tentang M Nasir. Antara tulisan terawal saya di blog ini ialah mengenai lagu Phoenix Bangkit Dari Abu. Lagu yang saya anggap lagu motivasi terbaik buat bangsa Melayu yang cuba bangkit dari kelemahan dan kehinaan. Album ini lahir tahun 2001, zaman pasca Anwar dan pra Abdullah.

    M Nasir memang ramai pengkagumnya. Sehingga diberi gelaran sifu. Entah kerana beliau memang benar-benar mendidik ramai artis, atau kerana ramai artis jadi popular dengan karya beliau.

    Saya meminati lagu-lagu karya M Nasir. Lagu-lagu ciptaan beliau unik dan lirik-liriknya puitis dan mendalam maksudnya. Saya minat M Nasir kerana banyak belajar dari lagu-lagu M Nasir. Saya mengenal Jalaludin Rumi & Mathnawi dari lagu beliau, Bila Rumi Menari. Saya bertemu karya Hamzah Fansuri melalui lagu Kias Fansuri. Saya terhimbau dengan kemegahan Al-Hambra dalam lirik lagu Andalusia. Saya mula mencari karya Fariduddin Atthar, Mantiq At Tayr lalu hanyut dengan kisah burung hud-hud dan Raja Simurgh, tatkala mendengar lagu Tanya Sama Hud Hud.

    Album Phoenix Bangkit adalah album terbaik M Nasir. Tak keterlaluan kalau saya katakan antara album Melayu terbaik yang pernah saya miliki. Album sebelumnya, Saudagar Mimpi dan Canggung Medonan telah melahirkan evlousi irama Melayu lama dalam rentak baru yang progresif. Phoenix Bangkit pula meneruskan kesinambungan lagu irama Nusantara tersebut dengan lrama dari `dunia Moorish’ dengan ghazal dan petikan gambus.

    Bermula dengan lagu Phoenix Bangkit dari Abu, yang sering buat bulu roma saya berdiri. Lagu Raikan Cinta yang mengisahkan tentang kembara perjuangan Siti Hajar mencari `Cinta’. Lagu Sahabat Gua dan kisah Ashabul Kahfi. Saya mula mencari kisah dan simbolisme Pak Dogol, apabila mendengar Lagu Langgam Pak Dogol, sebuah lagu yang sangat bagus dari segi lirik dan susunan lagunya. Saya tersenyum sendiri mendengar lirik lagu Melawan Arus yang memperingatkan tentang risiko jika mencabar status quo, juga lagu Dah Lagu Tu..Nak Lagu Mana Lagi yang menyindir seorang raja yang enggan berundur dari takhta.

    Kini M Nasir kembali dengan album baru. Album ini berlainan dari album sebelumnya. Sudah tidak ada lagi irama Phoenix Bangkit. Lebih mirip lagu-lagu zaman Kembara yang dihidangkan dengan bumbu dan perisa segar. Seolah-olah berundur 20 tahun ke belakang.

    M Nasir sendiri mengaku begitulah arah lagu-lagu dalam album ini. Tiada lagi lagu irama nusantara ataupun world music. Tiada lagi percussion. Tiada Mohar & Ramli. Yang ada, lagu-lagu biasa. Macam lagu main-main. Tetapi lagu main-main macam itulah yang selalunya meletup.

    Saya percaya, album ini lahir untuk menarik perhatian golongan muda. Sekali dengar, mirip album Mawi. Tajuknya pun hampir sama. Tengok sahaja kulit album ini. M Nasir bergaya ranggi bagai seorang anak muda. Kalau album Phoenix Bangkit dihiasi lukisan-lukisan abstrak, album ini dihiasi dengan foto-foto M Nasir bergaya di sebuah hotel di ibukota. Album ini bagai satu cubaan mahu meremajakan M Nasir yang sudah pun menghampiri setengah abad. Mungkin untuk memancing minat anak-anak muda generasi baru.

    Kalau Phoenix Bangkit bermain dengan irama Melayu dengan adunan rentak Arab dan dunia, album ini lebih berunsur pop dan rock. Sekali dengar ada bunyi macam lagu-lagu boy band dari Indonesia.

    Satu kelebihan M Nasir yang saya kagumi ialah kecintaan beliau terhadap irama keroncong. M Nasir terkenal menghargai irama keroncong dan sering menyelitkan satu lagu irama keroncong di dalam setiap album beliau. Namun dalam album ini saya sedikit kecewa kerana tiada lagi lagu keroncong. M Nasir mula membuat saya jatuh cinta dengan lagu keroncong yang segar melalui lagu Keroncong Untuk Ana. Semenjak itu saya jadi penggemar keroncong dan mengenal Bengawan Solo dan Keroncong Kemayoran.

    Walaupun berlainan arahnya dari album terdahulu, album terbaru M Nasir bertajuk Sang Pencipta ini tetap salah sebuah album Melayu terbaik tahun ini. Kali ini M Nasir bereksperimen dengan irama rock, irama blues, progresif rock, ska, folk rock, polka, Motown dan Broadway.

    Album ini perlu didengar berulang kali, baru terasa kelainannya. Antara yang enak didengar sudah tentu lagu Juwita Citra Terindah yang sering berkumandang di corong radio, juga lagu sang Pencinta yang jadi tajuk album.

    Lagu yang paling saya suka ialah lagu Tujuh Nafas Lagi. Kata M Nasir, lagu ini macam lagu sarkas. Sekali dengar macam lagu broadway atau lagu kabaret. Gabungan rentak polka dan reggae ini mencetuskan irama ska.

    Kalau anda peminat fanatik M Nasir, album ini tentu sudah dimiliki, walau pun dikatakan album ini tidak sebagus yang sebelumnya.

    Jun 10, 2006

    Umrah & Ziarah – Makam Rasulullah

    Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 11:19 am
    Makam Rasulullah saw terletak di sebelah kiri Raudah. Sebenarnya Nabi dimakamkan di tempat baginda wafat iaitu di Rumah Aisyah. Ianya terletak di dalam Masjid Nabawi, betul-betul di bawah kubah masjid berwarna hijau tua yang sering kita lihat di gambar Masjid Nabawi.

    Free Image Hosting at www.ImageShack.us

    Selesai solat sunat d Raudah, saya terus ke pintu di bahagian hadapan Raudah dan terus menghala ke kiri untuk mengikut arus jemaah yang berpusu-pusu melalui depan Makam Nabi. Saya melalui Mihrab Nabi, yang dikerumuni ramai jemaah dan melihat macam-macam kerenah jemaah. Ada yang cuba menyentuh tiang di kawasan mihrab mungkin untuk mengambil barakah, kerana di situlah Nabi mengimami solat bersama para sahabat.

    Kalau pada musim Haji, jemaah perlu melalui Babus Salam jauh di hujung sebelah kanan, melalui depan Raudah, lalu melalui makam Nabi dan keluar melalui Pintu Jibril. Saya mengikut arus untuk menghampiri Makam Nabi di sebelah kiri. Berdebar-debar hati, terasa seolah-olah ingin berjumpa nabi secara nyata. Memang ada riwayat yang Nabi boleh tahu siapa yang datang menziarahi baginda. Salam dari rakan-rakan juga peru disampaikan kepada Nabi.

    Image Hosted by ImageShack.us

    Apabila melalui hadapan Makam, jemaah akan menyampaikan ucapan salam kepada Nabi. Berdiri di depan Makam, pegawai penjaga yang akan memerhatikan dan dikawal oleh penjaga Makam., takut-takut ada yang melakukan perkara khurafat. Itulah saat yang ditunggu oleh para jemaah. Dari jauh saya sudah nampak dinding makam yang penuh dengan hiasan kaligarafi. Ada lubang kecil di dinding, yang sebenarnya bertepatan terus dengan wajah Nabi di makam.

    Selawat dan Salam bergema Suasana di situ sungguh mengharukan. Tanpa dipaksa, lelehan airmata akan panas di pipi. Rasa haru mendatangi semua yang mendekati makam Nabi. Tidak kira siapa. Perasaan syukur dan berterima kasih, kerana telah telah terpilih sebagai umat Nabi Muhammad. Rasa kasih dan cinta kepada Nabi terasa mahu dihamburkan di situ.

    Beberapa detik melalui Makam Nabi akan melalui makam dua sahabat Nabi, Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan Umar bin Khattab r.a., yang terletak bersebelahan. Berada di Makam Nabi tidak boleh berlama-lama kerana sudah ramai yang menunggu di belakang. Polis Arab pula akan sentiasa memerhati, kalau ada yang berdoa menghadap Makam. Berdoa kepada Allah bukan kepada Nabi, tegur mereka. Jangan ada yang cuba memegang dinding makam, tentu akan ditegur.

    Free Image Hosting at www.ImageShack.us

    Menziarahi Makam Nabi kali pertama terasa tidak puas, lalu ianya menjadi rutin saya setiap hari selama tiga hari berada di Madinah.

    Jun 7, 2006

    Nasi Ketam Juru

    Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 8:56 am

    .

    Dulu-dulu, kalau bercuti ke Pulau Pinang, sudah tentu Nasi Kandar menjadi makanan pilihan. Buah pala pula menjadi buahtangan dibawa pulang. Itu dulu. Kini nasi kandar sudah berada di mana-mana. Tak payah ke Pulau Pinang untuk mencari nasi kandar.

    Kalau di Seberang Perai, ramai yang biasa dengan mee udang Sg Dua. Kedainya biasa sahaja, di tepi parit tak jauh dari lebuhraya Utara Selatan. Yang istimewa, udangnya segar dan boleh dipilih dan dikira mengikut timbangan. Sediakan wang sahaja.

    Ada satu lagi tempat makan yang menarik tetapi mungkin tak ramai yang tahu. Nasi Ketam di Kuala Juru. Ramai rakan di pejabat saya pun tak tahu, malah terkejut bagaimana tak sampai setahun, saya sudah tahu tempat makan di sekitar Seberang Perai.

    Nasi Ketam di Kuala Juru memang sangat istimewa. Ketamnya segar dan saiznya pun agak besar. Harganya pula sederhana. Bila disebut nasi ketam, saya bayangkan nasi goreng bersama ketam rebus atau bakar. Rupanya ketam itu dimasak merah berkuah dan dimakan dengan nasi putih. Kuahnya pekat kerana diadun dengan isi ketam. Sedapnya, sehingga terbayang-bayang. Memang nikmat makan nasi putih dengan kuah ketam. Jangan malu-malu guna tangan. Tak cukup dengan ketam, boleh dipesan udang goreng tepung, ataupun ikan bakar.

    Warung nasi ketam ini, sederhana sahaja. Jangan bayangkan restoran berhawadingin. tak perlu bertalileher. Sebenarnya, warung ini terletak di bawah sebuah rumah kampung sahaja. Warung kampung. Lokasinya juga jauh ke dalam kawasan kampung. Hampir saya berpatah balik kali pertama ke sana. Itulah yang istimewanya, dapat menikmati kawasan kampung. Ketam dan udangnya pula masih segar kerana mendapat bekalan terus dari nelayan di situ.

    Kalau mahu mencuba nasi ketam Juru, carilah jalan ke Juru dari Auto City. Cari Kg Bayan Nyiur ataupun Kg Kuala Juru, sehingga berjumpa Warung Pak Su.

    Create a free website or blog at WordPress.com.