Jiwa Rasa Gelora

Jun 14, 2006

M Nasir & Sang Pencinta

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 2:29 pm
Image Hosted by ImageShack.us
Rakan-rakan yang biasa singgah di blog ini sudah tentu sedar yang saya meminati karya penyanyi M Nasir. Banyak catatan saya di sini tentang M Nasir. Antara tulisan terawal saya di blog ini ialah mengenai lagu Phoenix Bangkit Dari Abu. Lagu yang saya anggap lagu motivasi terbaik buat bangsa Melayu yang cuba bangkit dari kelemahan dan kehinaan. Album ini lahir tahun 2001, zaman pasca Anwar dan pra Abdullah.

M Nasir memang ramai pengkagumnya. Sehingga diberi gelaran sifu. Entah kerana beliau memang benar-benar mendidik ramai artis, atau kerana ramai artis jadi popular dengan karya beliau.

Saya meminati lagu-lagu karya M Nasir. Lagu-lagu ciptaan beliau unik dan lirik-liriknya puitis dan mendalam maksudnya. Saya minat M Nasir kerana banyak belajar dari lagu-lagu M Nasir. Saya mengenal Jalaludin Rumi & Mathnawi dari lagu beliau, Bila Rumi Menari. Saya bertemu karya Hamzah Fansuri melalui lagu Kias Fansuri. Saya terhimbau dengan kemegahan Al-Hambra dalam lirik lagu Andalusia. Saya mula mencari karya Fariduddin Atthar, Mantiq At Tayr lalu hanyut dengan kisah burung hud-hud dan Raja Simurgh, tatkala mendengar lagu Tanya Sama Hud Hud.

Album Phoenix Bangkit adalah album terbaik M Nasir. Tak keterlaluan kalau saya katakan antara album Melayu terbaik yang pernah saya miliki. Album sebelumnya, Saudagar Mimpi dan Canggung Medonan telah melahirkan evlousi irama Melayu lama dalam rentak baru yang progresif. Phoenix Bangkit pula meneruskan kesinambungan lagu irama Nusantara tersebut dengan lrama dari `dunia Moorish’ dengan ghazal dan petikan gambus.

Bermula dengan lagu Phoenix Bangkit dari Abu, yang sering buat bulu roma saya berdiri. Lagu Raikan Cinta yang mengisahkan tentang kembara perjuangan Siti Hajar mencari `Cinta’. Lagu Sahabat Gua dan kisah Ashabul Kahfi. Saya mula mencari kisah dan simbolisme Pak Dogol, apabila mendengar Lagu Langgam Pak Dogol, sebuah lagu yang sangat bagus dari segi lirik dan susunan lagunya. Saya tersenyum sendiri mendengar lirik lagu Melawan Arus yang memperingatkan tentang risiko jika mencabar status quo, juga lagu Dah Lagu Tu..Nak Lagu Mana Lagi yang menyindir seorang raja yang enggan berundur dari takhta.

Kini M Nasir kembali dengan album baru. Album ini berlainan dari album sebelumnya. Sudah tidak ada lagi irama Phoenix Bangkit. Lebih mirip lagu-lagu zaman Kembara yang dihidangkan dengan bumbu dan perisa segar. Seolah-olah berundur 20 tahun ke belakang.

M Nasir sendiri mengaku begitulah arah lagu-lagu dalam album ini. Tiada lagi lagu irama nusantara ataupun world music. Tiada lagi percussion. Tiada Mohar & Ramli. Yang ada, lagu-lagu biasa. Macam lagu main-main. Tetapi lagu main-main macam itulah yang selalunya meletup.

Saya percaya, album ini lahir untuk menarik perhatian golongan muda. Sekali dengar, mirip album Mawi. Tajuknya pun hampir sama. Tengok sahaja kulit album ini. M Nasir bergaya ranggi bagai seorang anak muda. Kalau album Phoenix Bangkit dihiasi lukisan-lukisan abstrak, album ini dihiasi dengan foto-foto M Nasir bergaya di sebuah hotel di ibukota. Album ini bagai satu cubaan mahu meremajakan M Nasir yang sudah pun menghampiri setengah abad. Mungkin untuk memancing minat anak-anak muda generasi baru.

Kalau Phoenix Bangkit bermain dengan irama Melayu dengan adunan rentak Arab dan dunia, album ini lebih berunsur pop dan rock. Sekali dengar ada bunyi macam lagu-lagu boy band dari Indonesia.

Satu kelebihan M Nasir yang saya kagumi ialah kecintaan beliau terhadap irama keroncong. M Nasir terkenal menghargai irama keroncong dan sering menyelitkan satu lagu irama keroncong di dalam setiap album beliau. Namun dalam album ini saya sedikit kecewa kerana tiada lagi lagu keroncong. M Nasir mula membuat saya jatuh cinta dengan lagu keroncong yang segar melalui lagu Keroncong Untuk Ana. Semenjak itu saya jadi penggemar keroncong dan mengenal Bengawan Solo dan Keroncong Kemayoran.

Walaupun berlainan arahnya dari album terdahulu, album terbaru M Nasir bertajuk Sang Pencipta ini tetap salah sebuah album Melayu terbaik tahun ini. Kali ini M Nasir bereksperimen dengan irama rock, irama blues, progresif rock, ska, folk rock, polka, Motown dan Broadway.

Album ini perlu didengar berulang kali, baru terasa kelainannya. Antara yang enak didengar sudah tentu lagu Juwita Citra Terindah yang sering berkumandang di corong radio, juga lagu sang Pencinta yang jadi tajuk album.

Lagu yang paling saya suka ialah lagu Tujuh Nafas Lagi. Kata M Nasir, lagu ini macam lagu sarkas. Sekali dengar macam lagu broadway atau lagu kabaret. Gabungan rentak polka dan reggae ini mencetuskan irama ska.

Kalau anda peminat fanatik M Nasir, album ini tentu sudah dimiliki, walau pun dikatakan album ini tidak sebagus yang sebelumnya.

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: