Semalam saya cuba menggunakan blogger beta. Nampak gayanya lama betul masanya untuk upload semua 200 lebih posting di blog saya.
Sehinga hari ini saya masih menunggu.
Kalau lama sangat, tawarlah hati saya untuk terus aktif dalam dunia blog..
Semalam saya cuba menggunakan blogger beta. Nampak gayanya lama betul masanya untuk upload semua 200 lebih posting di blog saya.
Sehinga hari ini saya masih menunggu.
Kalau lama sangat, tawarlah hati saya untuk terus aktif dalam dunia blog..
Hari ini 27 Rejab, pernah berlaku sebuah peristiwa besar dalam sejarah Islam.
Israk Mikraj adalah satu kejadian luarbiasa yang berlaku kepada Rasulullah. Israk Mikraj adalah peristiwa ajaib, miracle, yang sukar dipercayai akal. Kalaulah Islam itu menggunakan akal semata-mata sudah tentu ramai yang tergelincir dari agama.
Israk Mikraj tahun ini disambut di celah-celah kedurjanaan Zionis di Palestine, bumi berlakunya Israk, iaitu di Masjidil Aqsa, di mana Nabi diangkat ke langit.
Sampai bila agaknya masjid yang ke-3 mulia di sisi Islam ini akan teguh berdiri. Sudah kedengaran adanya rancangan jahat Zionis untuk meruntuhkan masjid ini dan dibina `Solomon Temple’. Sampai bila rakyat Palestin dapat menanggung azab menderita di tanah air sendiri?
Tulisan saya tentang Israk Mikraj di blog ini, dua tahun lepas. Peristiwa Israk Mikraj
Akhirnya filem Gubra dinobatkan sebagai filem terbaik Festival Filem Malaysia yang ke 19. Saya menonton siaran langsung ini di celah-celah siri kegemaran The Apprentice.
Kebetulan saya baru sahaja menonton vcd Gubra. Masa ditayangkan di pawagam dahulu, saya tidak sempat tonton, kerana sibuk buat persiapan mengerjakan Umrah. Dengar cerita Faisal Tehrani ada tulis komentar panjang lebar tentang filem itu di blog beliau.
Filem Gubra ini adalah sambungan filem Sepet. Saya pernah menonton Sepet dan saya suka filem itu secara keseluruhannya, walaupun ada beberapa adegan yang saya rasakan tidak perlu ada dan tidak sesuai dipertontonkan. Sepet adalah mengenai cinta antara dua insan berlainan bangsa.
Saya boleh terima filem Sepet kerana tertarik dengan jalan ceritanya. Tetapi filem Gubra tidak berjaya memikat saya. Kalau Sepet adalah kisah cinta dua insan. Gubra yang menyambung kisah itu cuba menjangkau ke daerah toleransi agama menurut fahaman pengarahnya.
Saya cuba bersangka baik bila filem ini dimulakan dengan adegan si bilal memegang anjing dalam perjalanan ke surau. Memang kita biasa dengar riwayat di mana seorang itu masuk syurga kerana memberi minum seekor anjing. Begitu juga bila ditonjolkan keintiman keluarga bilal dengan jirannya seorang pelacur, Kata hati saya, mungkin si bilal pernah menegur kerja munkar si pelacur tetapi tidak ditunjukan di dalam filem. Itu memang contoh teladan yang baik, hatta kepada seorang pelaku maksiat.
Namun, babak-babak seterusnya, saya benar-benar rasa `terganggu’ apabila menonton fiem ini. Banyak sangat adegan berpeluk cium, bergomol di atas katil. Ditambah pula apabila dipertontonkan tingkah laku sebuah keluarga yang saya anggap pelik.
Banyak adegan yang sepatutnya kelakar tetapi tidak menggelikan hati saya. Banyak dialog bahasa tonggang langgang. Nak kata Bahasa Melayu bukan, bahasa Inggeris pun bukan. Tapi itu bukan salah pengarah, memang itulah kenyataan pahit yang terpaksa kita telan, bahawa bahasa kita sudah rosak. Kita tidak boleh melengkapkan satu ayat dalam Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang sempurna.
Paling mengganggu fikiran saya adegan sembahyang berbagai agama di akhir filem. Babak itu digambarkan seolah-olah bersambung seperti satu doa yang panjang. Saya terasa bagai sedang didakyahkan oleh seorang pendokong pluralisme agama. Bagai sedang disogokkan dakyah bahawa semua agama adalah sama, semuanya menuju kebenaran. Faham pluralisme agama menganggap semua agama adalah benar, penganut agama apa pun adalah Muslim dan semuanya akan masuk syurga. Yang berbaza hanya nama agama, jalan berbeza tetapi semuanya menuju matlamat yang satu. Inilah yang cuba digambarkan di akhir filem ini melalui petikan kata Maulana Jalaluddin al-Rumi “The Lamps may be different but the light is the same”.
Minta maaf, ilmu agama saya mungkin sedikit, saya bukan sekolah agama, tetapi saya rasa ianya bertentangan dengan konsep syahadah yang saya faham. Konsep Syahadah yang kita ulangi setiap hari menyeru kita berpegang kepada tauhid Rububiyyah juga tauhid Uluhiyyah yang menafikan Tuhan-Tuhan lain. Mengesakan Allah bermakna menolak tuhan-tuhan yang lain.
Saya boleh menerima toleransi agama, malah ianya memang dituntut Islam, agar kita saling hormat-menghormati rakan-rakan kita yang berlainan agama. Garis pemisah antara toleransi agama dan pluralisme agama sangat tipis. Kita harus tahu membezakan antara toleransi agama dan pluralisme agama.
Kalaulah ini wajah filem Melayu Muslim, saya rasa sangat sedih dan kecewa. Filem ini mungkin menang anugerah filem terbaik, tapi saya rasa seperti seorang yang tewas. Bagai menang sorak kampung tergadai. Rasa hancur luluh jiwa, berat rasa beban tidak upaya bertongkat lagi.
Baru saya tahu rupanya perkataan gubra dan gabra adalah dua perkataan yang berlainan di dalam Kamus Dewan. Gubra bermaksud gugup, manakala gabra bermaksud keadaan tidak tentu arah, kelam kabut.
Memartabatkan Persuratan Melayu
Baha Zain
DBP 2006
75 mukasurat
RM9
Buku ini merupakan Ucap Utama Baha Zain, Timbalan Presiden PENA yang disertakan juga kertas bahasannya oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Prof Madya Zainal Abidin Borhan. Ianya telah disampaikan di Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 yang telah berlangsung di Tanjung Piai, Pontian Johor. Perhimpunan ini dianjurkan bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) di Kukup Golf Resort dan Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor.
Saya selalu baca dalam blog rakan-rakan penulis muda yang sering mengenang kembali perjumpaan di Tanjung Piai ini. Ramai yang nostalgik. Maklumlah, 300 orang penulis muda dari seluruh negara telah berhimpun. Khabarnya Perhimpunan ini mendapat pujian ramai kerana dedikasi pihak penganjur memastikan program berjalan lancer. Pihak penganjur juga dipuji kerana berjaya menerbitkan empat buah buku, iaitu Idealisme Penulis Muda (antologi esei), Memartabatkan Persuratan Melayu (ucap utama Baha Zain), Idealisme & Intelektualiti Dalam Karya dan Karya Sasterawan 2005 (antologi puisi dan cerpen).
Tidak hairanlah mengapa perhimpunan ini dikenang oleh para peserta sehingga kini. Namun, molek juga rasanya peserta perhimpunan sesekali melihat kembali isi kandungan dan perbincangan seminar. Naskhah ucaputama yang saya tatap ini adalah satu ucapan besar dan penting yang sepatutnya dikongsi dengan orang lain, bukan disimpan dalam fail para peserta perhimpunan tersebut.
Baha Zain dalam ucapannya telah membawa khalayak menyelusuri perjuangan pembela Bahasa Melayu dengan melihat kembali peristiwa 13 Mei, 1969 dan langkah penyusunan semula masyarakat. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu begitu gigih dilaksanakan dalam tahun 70an. Peranan dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperkukuhkan melaui Fasal 152 Perlembagaan negara, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pelajaran. Lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia adalah salah satu kejayaan dalam memrtabatkan penggunaaan Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu melalui tragedi sedih menyayat hati apabila khidmatnya sebagai bahasa ilmu tidak diperlukan lagi bermula sesi persekolahan 2003. Maka bermulalah babak sedih perjuangan sebuah bahasa. Bahasa Melayu sudah tidak layak menjadi bahasa ilmu apabila diharamkan jadi bahasa pengantar pelajaran sains dan matematik. Bahasa Melayu dianggap sebagai penghalang untuk kita maju dengan lebih cepat.
Ucapan hebat ini sepatutnya boleh menggerakkan jiwa-jiwa yang menghadiri Perhimpunan Tanjung Piai untuk mengatur langkah sekurang-kurangnya menyedarkan khalayak pembaca akan kewajiban yang patut digalas semua. Bayangkan jika 300 penulis muda tersebut menulis tentang perjuangan memartabatkan bahasa melalui pelbagai media. Bayangkan jika mereka benar-benar tulus dan ikhlas menulis terus menerus menyuarakan hasrat dan keyakinan pada Bahasa Melayu.
Kalau dahulu SN Usman Awang bersama rakan-rakan berjuang sehingga sanggup mengusung Keranda 152, sebagai lambang matinya sebuah bahasa. Bagaimana pula dengan pejuang bahasa sekarang? Masih adakah yang sanggup bergolok bergadai semata-mata mahu mempertahankan khazanah bangsa?
Pejuang bahasa Melayu perlu bijak mengatur langkah. Sekadar menulis di ruangan sastera di akhbar hujung minggu bukan berjuang namanya. Menangis, mengeluh dan meratap sudah tak berkesan lagi. Tenaga perlu digembeling untuk melahirkan gerak kerja yang tersusun dan merakyat. Kumpulan pelobi perlu wujud untuk menyampaikan hasrat kepada golongan pembuat keputusan di setiap peringkat.
Ucapan Baha Zain ini patut dijadikan dokumen penggerak kepada pencinta Bahasa Melayu untuk terus berjuang. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ucapan ini patut dijadikan sebuah manifesto bagi pejuang Bahasa Melayu. Lihat bagaimana Marx & Engel berjaya merobah masyarakat dengan manifesto mereka yang pada saya hanya catatan-catatan idea yang penuh retorik.
SN Usman Awang dan penggerak persuratan Melayu dahulu berjuang menaikkan Sastera untuk Masyarakat dan menolak Sastera untuk Sastera. Soal saya, sastera penulis sekarang pula untuk apa?
Hujung minggu ini akan berlangsung Seminar Persuratan & Peradaban Nasional di Port Dickson. Seminar ini anjuran PENA dan DBP dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Khabarnya seminar ini akan membincangkan dengan serius, nasib bahasa Melayu dan tulisan Jawi juga halatuju persuratan Melayu.
Saya teringin mahu sertai, tetapi terikat dengan urusan kerja. Lagipun saya bukannya seorang penulis, manakan layak mahu berlanggar bahu dengan tokoh-tokoh sastera negara. Harapan saya seminar itu dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk memartabatkan persuratan Melayu.