Jiwa Rasa Gelora

Ogos 31, 2004

Kita dirikan Jiwa Merdeka

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 12:00 am


merdeka!

Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka

– Dr Burhanuddin Al-Helmi


Pantun karangan Dr Burhanuddin Al-Helmi ini memperingatkan kita akan peri pentingnya mempertahankan kemerdekaan. Dr Burhanuddin merupakan pejuang kemerdekaan yang sangat dibenci penjajah British, telah meringkuk di dalam tahanan kerana memperjuangkan kemerdekaan dan menghalau British dari Tanah Melayu.

Kemerdekaan dicapai bukan sehari dua. Malah perjuangan menuntut kemerdekaan bermula setelah jatuhnya Melaka ke tangan Benggali Portugis pada tahun 1511 dan kemudiannya disambung oleh penjajah Belanda, penjajah British dan penjajah Jepun. Penjajahan yang lama telah berjaya mengwujudkan jiwa hamba pada penduduk Tanah Melayu. Penjajah dipandang sangat perkasa dan berkuasa.

Penentangan terhadap penjajah British bermula dengan tersungkurnya JWW Birch di Pasir Salak, di tangan Si Putum. Perjuangan Dato’ Maharaja Lela, telah berjaya membuktikan kepada orang Melayu bahawa penjajah British tidak kebal. Darah mereka juga merah rupanya.

Perjuangan Dato’ Maharaja Lela di Perak, Hj Abd Rahman Limbung di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Dato’ Bahaman, Dol Said dan Mat Kilau , telah mencetuskan bunga-bunga jiwa merdeka kepada orang Melayu. Perjuangan mereka di teruskan oleh KMM, PKMM dan diakhiri dengan turunnya bendera union Jack pada 31 Ogos, 1957.

Janganlah kita sia-siakan pengorbanan mereka yang telah bertaruh nyawa dan berkorban keringat dan airmata untuk membebaskan diri dan bangsa dari cengkaman penjajah. Pejuang kemerdekaan tidak mengharapkan kalungan bunga, malah ramai yang hidup merempat dan mati tidak dikenang sesiapa. Cukuplah jika ruh perjuangan mereka kita warisi dengan mengisi kemerdekaan negara dengan janji sumpah untuk mempertahankan kedaulatan negara, menjunjung tinggi bahasa dan budaya, serta berpegang teguh dengan agama dan syari’at Allah.

Sekalung budi kepada semua pejuang kemerdekaan. Tak terbayar hutangmu kepada nusa. Moga Allah merahmati dan digolongkan dalam kumpulan orang-orang yang soleh.

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaaan yang ke 47.




Ogos 29, 2004

Negeri Ini, Anak – Marsli N.O

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 10:53 pm

Sempena menyambut ulangtahun hari kemerdekaan yang ke 47, hayatilah puisi nukilan Marsli N.O berjudul Negeri Ini, Anak yang juga antara pemenang Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena, tahun 1989.

NEGERI INI, ANAK

Negeri ini, anak adalah tanah hijau penuh mahsul
terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa
yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya.
Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya
dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang
kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap
itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas ditikam bayang!

Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan
yang telah melahirkan ribuan pahlawan.

Rela memilih terbuang dari berputih mata,
kerana baginya, mati itu cuma sekali dan
tidak harus sia-sia.

Mereka tidak rela ini negeri tercinta
jadi kuda tunggangan atau dipekosa warga tidak bernama.

Meski darah dan tulang jadi gantian.

Kerana baginya:
negeri adalah tanah
adalah air,
adalah api,
adalah angin.
Adalah maruah,
adalah permai,
adalah berani,
adalah susila.
Adalah segala-galanya.


Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan.

Tanpa mengira kulit atau warna,
tampuk atau asal, percaya atau agama:

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Di negeri ini anak,
mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza.
Siapa di sini adalah warganya,
kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah.
Darahnya tetap merah.
Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam.

Mari kita dirikan harapan dan teguhkan kesetiaan.

Marsli N.O
17 Jun – Julai 1988
Dari antologi: Di Atas Mimbar Merdeka, terbitan DBP 1989.

Ogos 27, 2004

Sakura Mengorak Kelopak

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 5:30 am

Buku Sakura Mengorak Kelopak yang
saya beli di Kinokuniya, KLCC
berharga RM59.90

Akhirnya saya selesai membaca buku Sakura Mengorak Kelopak karangan Sasterawan Negara Arena Wati. Dah lama sebenarnya saya mencari buku ini, kerana banyak komen yang telah saya dengar mengenai buku ini. Isteri saya tersenyum melihat saya membeli buku ini. Dia kata tak sesuai untuk kanak-kanak. Baru saya faham kenapa. Kerana dia membaca buku ini sewaktu di zaman persekolahan, ketika berumur belasan tahun. Sudah tentu, sudut pandangan seorang pelajar sekolah akan berlainan jika dia membaca sekali lagi setelah dewasa.

Saya mula mengenali karya penulis Melayu sewaktu di sekolah rendah. Karya Hamka adalah antara yang paling menarik perhatian. Saya mula meninggalkan zaman membaca buku fiksyen Melayu sewaktu di sekolah menengah dan mula berjinak-jinak membaca buku non-fiction dan mula beralih memilih buku berbahasa inggeris sebagai bahan bacaan.

Hanya setelah memasuki alam pekerjaan, saya merasa terdorong untuk kembali membaca karya agung sasterawan negara kita. Rasa bagai banyak yang telah saya terlepas. Lebih malang lagi, banyak karya agung penulis Melayu, amat sukar untuk didapati di pasaran. Kalau bernasib baik mungkin boleh dijumpai tersorok di salah sebuah kedai DBP.

Sakura Mengorak Kelopak adalah satu buku yang sangat menarik. Menceritakan tentang watak Michiko, seorang wanita Jepun yang kematian suami dan ingin melepaskan diri dari adat lama yang banyak menyebelahi lelaki. Beliau berkahwin dengan Atan, seorang sarjana Melayu yang juga kehilangan isteri. Ia kisah perjuangan seorang wanita, dan terselit juga kisah dua keluarga besar berperang dan merosakkan sebahagian besar bandar Tokyo.

Penulis amat bijak mengambil latarbelakang bangsa Jepun untuk menceritakan perjuangan sesuatu bangsa, yang sudah tentu amat relevan dengan bangsa Melayu yang masih tenggelam punca, mencari arah tuju dan mencari jati diri.

Buku ini cetakan terbaru oleh Rhythm Consolidated Berhad dengan usahasama DBP yang berusaha untuk `mengabadikan karya abad ke- 20 yang bermutu tinggi dan mempunyai nilai klasik supaya tidak hilang ditelan zaman’. Sebanyak 42 buah buku yang pernah diterbitkan dari tahun 1925 hingga tahun 1996 telah diterbitkan semula.

Ogos 26, 2004

QCC Convention

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 11:58 am


..

Yesterday was the day for the QCC and Suggestions Scheme (Northern Region), which were held in KMC, Alor Setar. We sent 5 teams, 2 QCC teams and 3 Suggestion Scheme teams. Two winners will be selected each, which will represent the region to the National Convention to be held in Ipoh. As we will be hosting this event this year, we mustmake sure that we will be represented at least in one of the categories.

Our boys and girls have done us proud by being the winners in both QCC and Suggestion Schemes. Both QCC teams qualified and one out of three Suggestion Scheme teams qualified. What makes us more proud of them is the clinical nature of the QCC topics. We presented the topic of Pain Management and Usage of Auto-Rinser. The winning suggestion scheme presented a topic on the usage of PDA in taking orders from the customers.

As the head of the SGA’s committee, I think this is the first time since that we nearly swept all the prizes.

Congrats to the winning teams.

Ogos 23, 2004

Adik Datang – SN A. Samad Said

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 1:12 pm

NOVEL YANG MERAKAM HIDUP RESAH DAN SENGSARA DEKAD 40-AN
A. Samad Said
Judul: Adik Datang
ISBN: 983-41196-0-7
Penerbit: Wira Bukit
Cetakan pertama, 2003
26 Bab, 452 Halaman
Harga Pasaran: RM60.00
Harga Online: RM55.00

Akhirnya buku yang saya pesan dari esastera.com sampai melalui pos minggu lepas.

Saya telah memesan buku novel Sasterawan Negara A. Samad Said bertajuk Adik Datang. Novel ini adalah Edisi Koleksi Terhad yang berkulit keras dan tidak akan diulang cetak.

Gembira nya hati bila mendapat buku yang ditandatangani oleh Sasterawan Negara!

Saya belum mula baca lagi buku Adik Datang. Tak sabar untuk mula membaca, sangat menarik kerana berlatarbelakangkan kisah hidup tahun 40-an. Satu zaman yang penuh dengan berbagai ragam dan rencam kehidupan.

Saya juga telah membeli 5 buah buku antologi puisi yang telah tersiar di alam maya. Antaranya nukilan Dr Irwan, Anbakri dan lain-lain penulis di alam maya.

Ogos 21, 2004

Organizational Behaviour – 21 Aug 2004

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 11:59 pm

IF YOU ARE LIKE A WHEELBARROW, GOING NO FURTHER THAN YOU ARE PUSHED, THEN DO NOT APPLY FOR WORK HERE.

– a sign at a factory employment gate many years ago…

Ogos 20, 2004

Khutbah Jumaat Masjid Negeri Ipoh – Merdeka

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 2:51 pm


Masjid Al-Aqsa yang masih belum merdeka…

Saya memang suka solat di Masjid Negeri Ipoh kerana beberapa sebab . Yang pertama masjidnya berhawa dingin dan berdekatan dengan Medan Selera. Satu lagi yang menarik dan belum saya jumpa di masjid lain ialah penyampaian khutbah oleh khatib dengan bantuan notebook dan LCD projector dan kamera video. Teks khutbah dapat dilihat dan dihayati melalui skrin besar di mihrab masjid. Khutbah kedua pula akan memaparkan wajah khatib di skrin.

Khutbah Jumaat hari ini bertajuk Menghayati Maksud Kemerdekaan bersempena dangan sambutan kemerdekaaan yang ke 47. Slide bagi khutbah kali ini sangat menarik kerana berlatarbelakangkan imej beberapa masjid terkenal seperti Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa.

Antara lain khatib berpesan;

Ada yang berjuang menuntut kemerdekaan kerana memperjuangkan agama, supaya kita dapat melakukan ibadah dan beramal dengan sempurna. Tetapi malangnya setelah kemerdekaan dicapai, kita tidak mahu beramal dengan agama dan tidak mahu mempertahankan kesucian agama. Malah kita terus hanyut dalam noda dan dosa walaupun kita telah bebas dari cengkaman penjajah.

Ada yang berjuang menuntut kemerdekaan kerana ingin menghalau penjajah barat. Tetapi malangnya, setelah orang barat pergi, kita terus menjunjung tinggi budaya dan peraturan barat, malah meniru amalan buruk penjajah yang kita halau.

Ada yang berjuang menuntut kemerdekaan kerana marahkan penjajah kerana merampas hasil negara dan menindas rakyat, namun setelah penjajah pergi kita pula menyambung tugas menindas rakyat yang diperintah.

Ogos 19, 2004

Hayatilah Erti Kemerdekaan

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 2:04 pm

BERKORBAN ATASI CABARAN – NAJIB

IPOH 17 Ogos – Generasi muda serta rakyat negara ini perlu bersedia dan sanggup berkorban bagi mengatasi segala cabaran yang muncul untuk membolehkan Malaysia terus maju dan membangun, kata Datuk Seri Najib Tun Razak

Timbalan Perdana Menteri berkata, di samping itu mereka juga perlu menghayati budaya sayang kepada negara, cintakan perpaduan dan sanggup berkorban yang menjadi pegangan pejuang kemerdekaan terdahulu.

“ Tiga unsur penting dalam hati ahli-ahli pejuang terdahulu ialah menghayati budaya sayang negara, cintakan kepada perpaduan dan sanggup berkorban dan unsur-unsur ini harus dihayati oleh generasi muda,”

Begitulah petikan ucapan Timbalan Perdana Menteri ketika berucap di Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibarkan Jalur gemilang di Padang Ipoh di sini. Ribuan pengunjung menghadiri program tersebut. Harapan saya kehadiran yang ramai bukan sekadar untuk menonton hiburan dari artis, tetapi yang lebih penting untuk menghayati erti kemerdekaan.

Tertarik benar saya mendengar mengenai tiga unsur penting yang menyumbang ke arah kejayaan pejuang kemerdekaan dahulu. Harapan saya, ianya akan menjadi pegangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Alangkah baiknya juga jika ianya bermula dari atas. Pemimpin Negara dan pemimpin masyarakat perlu menafsirkan rasa cinta negara, cinta perpaduan dan sanggup berkorban dalam segala tindak-tanduk dan amalan. Cinta Negara sepatutnya akan dimanifestasikan dengan menolak dengan tegas segala unsur rasuah dan penyelewengan juga menolak pelaku- pelakunya. Cinta negara juga meminta kita menjaga dan menyelia harta dan aset Negara, menjaga dan mempertahankan kemananan, keadilan dan kedaulatan negara.

Kepada kitalah amanah besar ini perlu ditanggung untuk menjaga kurniaan Allah yang sangat berharga ini.

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke 47.

Ogos 17, 2004

Jiwa Berani – William Wallace

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 11:30 am

Braveheart adalah tajuk sebuah filem berdasarkan kisah hidup mengenai pejuang lagenda Scotland di kurun ke 13, William Wallace. Filem arahan dan lakonan Mel Gibson ini telah berjaya memenangi 5 anugerah Academy di tahun 1995.

William Wallace adalah seorang rakyat biasa yang ingin meneruskan hidup mencari rezeki dan tidak begitu ambil peduli mengenai pemerintahan Raja Inggeris, Edward the Longshanks yang zalim. Semuanya berubah, apabila isteri beliau telah dibunuh dengan kejam oleh orang-orang Raja Inggeris. William berjuang menuntut bela di atas kematian isteri tersayang. Perjuangan yang bermula dengan menuntut bela itu diteruskan dengan perjuangan menuntut keadilan, kebebasan dan perjuangan menghalau penjajah Inggeris dari bumi Scotland.

Keberanian William telah memberikan semangat baru kepada rakyat Scotland yang dahagakan kepimpinan yang berjiwa berani. Rakyat biasa telah bersama-sama berjuang menentang Inggeris dalam beberapa siri pemberontakan.

Namun begitu, William akhirnya telah berjaya ditangkap. William diberi pilihan untuk meminta pengampunan dan memberikan taat setia kepada Raja Inggeris, ataupun dijatuhkan hukuman mati kerana melawan kerajaan Inggeris. Namun pejuang ini enggan tunduk kepada kerajaan zalim Edward Longshanks. Beliau enggan meminta pengampunan dan lebih rela mati sebagai pejuang. William mati dipancung dengan menjeritkan kalimah akhir……FREEDOM.

Kematian William tidak meruntuhkan semangat orang Scotland malah, jiwa berani William Wallace hidup segar dalam ingatan orang sebagai simbol perjuangan orang biasa yang berjaya memimpin rakyat Scotland.

Terima kasih Aida kerana tolong letakkan lagu latar dari soundtrack filem Braveheart di blog jiwarasa. Lagu dari soundtrack Braveheart ini telah digubah oleh James Horner, komposer terkenal yang juga penggubah soundtrack untuk filem Titanic.

Petikan dari salah satu adegan

Scene at the Battlefield at Stirling where William Wallace addressed the crowd before the battle.

William: William Wallace, and I see a whole army of my countrymen here in defiance of tyranny. You have come to fight as free men, and free men you are. What will you do with that freedom? Will you fight?

A Man in the crowd: (to William) Fight against that? No, we will run, and we will live.

William: (in reply) Aye, fight and you may die, run and you’ll live. At least a while. (shouting to all) And dying in your beds many years from now, would you be willing to trade all the days from this day to that for one chance, just one chance to come back here and tell our enemies that they may take our lives, but they’ll never take our freedom?!

Alba gu brath! (Scotland forever!)

Ogos 13, 2004

Akademi Fantasia Menuju Penghujung

Filed under: Uncategorized — jiwarasa @ 9:50 am

Akhirnya selepas 10 minggu mengikuti perkembangan dan menyaksikan kehidupan harian pelajar Akademi Fantasia, akhirnya Akademi Fantasia 2 akan melabuhkan tirainya.

Esok malam akan berlangsungnya konsert akhir Akademi Fantasia yang menandakan berakhirnya juga rutin para peminat AF yang setia menunggu Diari AF setiap hari dan menonton konsert setiap malam minggu. Saya pasti ramai yang telah terhibur melihat gelagat dan telatah para pelajar AF sepanjang program ini disiarkan. Menonton AF bagaikan menonton telenovela. Penonton dipaksa bermain dengan emosi. Ada riang gembira, gelak ketawa, ada juga sedih hiba.

Saya paling tertarik apabila dalam beberapa adegan dalam Diari AF, kita mendengar ibubapa pelajar berpesan supaya jangan meninggalkan solat. Yang pertama, sewaktu Fitri diberi peluang singkat untuk berbual dengan emak beliau melalui telephone tangan. Dalam kesempatan singkat itu, sempat si ibu bertanyakan anaknya mengenai solat. Yang kedua, pesan ibubapa Bob, melalui kad ucapan ulangtahun. Keluarga Bob sempat menyelitkan pesanan supaya jangan lupa solat. Fauziah Nawi juga ada mengingatkan pesan yang sama dalam salah sebuah kelas beliau.

Sebenarnya, pesanan itu jugalah, yang menjadi intipati harapan saya dan mungkin ramai lagi penonton lain. Kita mengharapkan mereka bukan sahaja lahir sebagai penghibur berbakat besar dalam bidang hiburan, tetapi juga tidak melupakan tujuan asal kita dilahirkan ke dunia ini. Setinggi manapun mereka `menuju puncak, impian di hati’, mereka harus kenal diri dan kembali berpijak di bumi nyata. Seorang artis harus mempunyai jiwa yang kuat dengan iman yang mantap yang dapat berhadapan dengan kehidupan yang penuh dengan berbagai cabaran, dugaan dan rintangan.

Rasulullah pernah berpesan dalam sebuah hadis,

“Sesiapa yang memelihara solatnya maka solat itu akan menjadi cahaya petunjuk dan jalan selamat baginya tetapi bagi sesiapa yang yang tidak memelihara solatnya maka solat itu tidak akan memberi cahaya petunjuk dan jalan selamat untuknya.”

Menjaga solat bagi seorang artis mungkin merupakan cabaran yang berat, tetapi jika ianya dapat dijaga, saya yakin, sekurang-kurangnya dapat menjadi peringatan yang akan sentiasa mengikat individu tersebut agar tidak jauh tersasar dari jalan yang lurus.

Bukan mudah menyusun tangga ke angkasa, bukan mudah mengubah mimpi jadi realiti, dan bukan mudah juga untuk bertahan sebagai insan berjiwa murni, berkeperibadian mulia.

Saya mungkin tidak dapat menonton konsert ini di TV kerana akan menghadiri majlis konvokesyen adik di UTM. Merayakan kegembiraan bersama keluarga. Tidak mengapalah. Siapapun yang muncul juara dari 6 orang peserta akhir ini, saya harap dapat menambah jumlah penghibur yang berkualiti dan menyumbang ke arah pembangunan insan mulia di tanah air ini. Apa yang mereka lakukan, akan menjadi ikutan ribuan peminat sentiasa yang telah berkorban mengundi mereka.

Kepada Zahid, Linda, Bob, Farah, Kaer dan Adam, Selamat kembali ke alam nyata dan selamat menempuh alam baru yang penuh cabaran. Semoga berjaya.

Older Posts »

Create a free website or blog at WordPress.com.